SABAN hari, tugas dan peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilihat semakin meluas serta mencabar yang memerlukan anggotanya sentiasa bersiap sedia untuk menempuh apa jua halangan mendatang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Raub, Penolong Penguasa Bomba Khairul Anuar Yaacob berkata, tugas anggota bomba dan penyelamat bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
"Segelintir masyarakat beranggapan tugas anggota bomba dan penyelamat hanya memadam api, tetapi hakikatnya peranan mereka merangkumi pelbagai jenis tugas.
"Kita perlu sentiasa bersedia dari segala aspek untuk menghadapi apa jua rintangan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Khairul Anuar, 35, berkata, anggota bomba dan penyelamat juga harus menjaga disiplin dan nama baik jabatan pada setiap masa.
"Paling penting ialah kita perlu sentiasa menepati masa kerana dalam menjalankan tugas, setiap saat amat tinggi nilainya,” katanya.
Khairul Anuar berkata, beliau mula berkhidmat sebagai anggota bomba dan penyelamat pada 1 April 2010.
"Saya mahu ikut jejak langkah ayah sebagai askar, namun tidak dapat tawaran daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Saya turut menghantar permohonan pekerjaan kepada Jabatan Imigresen Malaysia dan JBPM,” katanya.
Beliau berkata, JBPM telah memanggilnya untuk menjalani latihan lebih tujuh bulan di Akademi Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Terengganu.
"Saya kemudian berpindah ke Akademi Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Selangor untuk menamatkan latihan,” katanya.
Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat KLIA, Sepang merupakan tempat pertamanya bertugas sebagai Pegawai Zon selama tiga tahun bermula pada 2010.
"Saya kemudian diberi tanggungjawab sebagai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih pada 2013,” katanya.
Khairul Anuar berkata, pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang tempoh tiga tahun berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih adalah nahas helikopter terhempas yang meragut enam nyawa termasuk bekas Menteri, Tan Sri Jamaluddin Jarjis di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih pada 4 April 2015.
"Sebelum nahas itu, saya bersama rakan sepasukan baru pulang ke balai bomba selepas terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Empangan Semenyih kira-kira 2.30 petang,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya telah menerima panggilan daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Selangor pada jam 4.55 petang mengenai kejadian nahas helikopter terhempas itu.
"Pada ketika itu, saya sedang menyiapkan laporan berhubung kes mangsa lemas, belum sempat merehatkan diri, saya bersama enam anggota bergegas ke lokasi kejadian nahas helikopter terhempas selepas menerima panggilan kecemasan itu,” katanya.
Khairul Anuar berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian kira-kira 13 minit kemudian untuk melakukan SAR.
"Pada ketika itu cuaca hujan, malah tiada klu dan asap yang menunjukkan insiden nahas helikopter terhempas di kawasan hutan tersebut.
"Saya bersama rakan sepasukan berpecah kepada dua kumpulan untuk melakukan pencarian lokasi nahas, turut bersama membantu operasi itu adalah beberapa orang kampung di kawasan itu,” katanya.
Menurutnya, sebuah helikopter lain yang terbang di kawasan itu turut membantu memberi petunjuk lokasi nahas tersebut.
"Pada mulanya kita telah jumpa kipas helikopter terhempas, sebelum menemui bangkai helikopter itu kira-kira 10 minit kemudian,” katanya.
Khairul berkata, pihaknya segera memadamkan api di helikopter tersebut dengan menggunakan fire extinguisher, jarak antara lokasi kejadian ke staging point kira-kira dua kilometer.
"Kita menjumpai tiga mayat berhampiran bangkai helikopter itu, 20 minit kemudian, tiga lagi mayat dijumpai di bawah helikopter itu,” katanya.
Helikopter awam jenis Dauphin 9M-IGB membawa Ahli Parlimen Rompin itu bersama lima penumpang lain, termasuk Ketua Setiausaha Sulit di Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias.
Semua mangsa dalam perjalanan ke Subang selepas menghadiri resepsi perkahwinan anak perempuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang.
Mangsa lain termasuk ahli perniagaan Kedah, Datuk Robert Tan, pembantu operasi, Aidana Baizieva, pengawal peribadi, Razakan B Seran dan juruterbang.
Bomba bantu tangkap pencuri
Khairul Anuar berkata, selain terlibat dalam operasi SAR dan memadamkan kebakaran, pihaknya turut membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas penjenayah.
"Saya bersama pasukan pernah membantu polis menangkap dua penjenayah warga asing yang disyaki terlibat dengan kes pecah rumah di Taman Pelangi, Semenyih pada 2014,” katanya.
Beliau berkata, dua penjenayah itu cuba melarikan diri melalui bumbung rumah mangsa selepas pemilik rumah berkenaan menyedari kediamannya dipecah masuk.
"Polis menghubungi bomba untuk membantu tangkapan di bumbung rumah dua tingkat itu, kita kemudian tiba di lokasi segera menyediakan tangga untuk memudahkan anggota polis tersebut melakukan tangkapan ke atas penjenayah itu,” katanya.
Cabaran berbeza bertugas di Raub
Khairul Anuar berkata, beliau berhadapan dengan cabaran berbeza sejak berpindah ke Balai Bomba dan Penyelamat Raub pada tahun 2016.
"Suasana dan cabaran di sini berbeza dengan berkhidmat di Semenyih seperti menghadapi cabaran dalam operasi menyelamatkan mangsa banjir di Raub,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman yang tidak boleh dilupakan ketika berkhidmat di Raub adalah operasi menyelamatkan seorang lelaki yang dipatuk ular kapak di Gunung Semangkuk berhampiran Fraser Hill pada tahun 2017.
"Pada ketika itu saya berada di pos kawalan untuk memantau operasi itu, manakala pasukan saya meredah hutan ke lokasi mangsa tersebut yang mengambil masa lebih 24 jam.
"Saya dimaklumkan mangsa bersama dua wanita melakukan eksplorasi rintis denai dari Bukit Fraser-Gunung Semangkuk, Tanjung Malim,” katanya.
Menurutnya, binatang berbisa itu telah mematuk tangan lelaki tersebut.
"Kita telah guide rakannya supaya bertenang sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi, akhirnya dengan bantuan helikopter kita berjaya mengeluarkan mangsa dari lokasi itu,” katanya.
Khairul Anuar menasihati golongan muda yang mahu menceburi kerjaya sebagai anggota bomba dan penyelamat perlu ada minat dan usaha.
"Mereka perlu menjalani latihan yang telah ditetapkan di samping menjaga fizikal dan stamina kerana kerjaya ini penuh dengan cabaran,” katanya.
INFO
Biodata nama: Khairul Anuar Yaacob
Umur: 35 Tahun
Tarikh lahir: 27 Mac 1985
Nama isteri: Nur Azlin Remli
Umur: 27 Tahun
Anak: Tiada
Anugerah
1. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014
2. Pegawai Penyiasatan Kebakaran Terbaik JBPM Negeri Selangor 2013
3. Anugerah Kecemerlangan Ketua Balai JBPM Negeri Selangor 2013
Klik di sini untuk terus membaca