SHAH ALAM - Penipuan dalam urusan dokumentasi poligami boleh mendatangkan kesan mudarat kepada perkahwinan yang baru dibina.
Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, keadaan itu boleh berlaku sekiranya isteri pertama memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk menyemak semula kelulusan perkahwinan tanpa pengetahuannya itu.
Katanya, jika didapati dokumen poligami yang diberikan itu dibuktikan tidak sah ia boleh menyebabkan suami tersebut terhalang untuk berkahwin lebih daripada satu.
"Sebenarnya sistem mahkamah ini kalau isteri pertama tahu prosedur tidak betul (dokumentasi poligami) dan permohonan (untuk berpoligami) itu lulus dia boleh buat rayuan. Itu yang baiknya (untuk pihak isteri pertama).
"Katalah dia tidak puas hati dengan keputusan mahkamah membenarkan suaminya berkahwin satu lagi (dan) bukti-bukti dokumen yang dibuat (suami) itu tidak betul. Maka isteri dia ada hak untuk merayu supaya keputusan yang dibuat itu dibaca atau dilihat semula oleh mahkamah rayuan.
"Jadi, kalau bercanggah (dengan dengan dokumen pihak suami), dia (isteri) boleh kemukakan bukti yang tidak betul kepada mahkamah yang keadaan (dokumen poligami) menipu dan sebagainya. Mahkamah boleh ambil tindakan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, secara jelas Islam melarang semua bentuk penipuan termasuk menipu dalam urusan dokumentasi poligami kerana ia jelas bercanggah dengan hukum syarak.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad turut mengingatkan pihak suami yang berhasrat berpoligami supaya menghormati undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
Beliau berkata, Islam dan undang-undang itu telah menggariskan peraturan yang sebaiknya untuk menjaga kepentingan semua pihak.
"Kita kahwin ini adalah untuk menjunjung perintah Tuhan. Bukan hendak melakukan penzinaan.
"Jadi ikutlah prosedur, kenapa hendak sembunyikan daripada isteri pertama atau kedua. Masing-masing kalau sudah rasa dia bertanggungjawab (untuk berkahwin lebih seorang), dia kena berterus terang (kepada isteri pertama),” katanya.
Menurutnya, dengan menyembunyikan perkahwinan daripada isteri pertama juga ia dikhuatiri mendatangkan lebih banyak perkara negatif.
Klik di sini untuk terus membaca