SHAH ALAM - Kegiatan scam poligami sudah lama wujud di Malaysia kerana kebanyakan suami enggan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang berpoligami. Pakar motivasi dan kaunselor, Hushim Salleh berkata, individu terlibat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kegiatan scam poligami sudah lama wujud di Malaysia kerana kebanyakan suami enggan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang berpoligami.

Pakar motivasi dan kaunselor, Hushim Salleh berkata, individu terlibat sanggup mengambil jalan mudah dengan mengupah pihak tertentu menguruskan perkahwinan tanpa perlu berurusan dengan pihak berwajib.

Hushim

Menurutnya, sekiranya suami mahu berkahwin lain untuk kali kedua, mereka perlu mengikut SOP antaranya mengisytiharkan pendapatan dan pekerjaan kepada pejabat agama serta mendapatkan surat persetujuan berpoligami daripada isteri pertama.

"Suami mahu mengambil jalan pintas untuk berpoligami dengan tidak mengikut SOP berkenaan.

"Mereka hanya keluarkan wang untuk membiayai kos urusan perkahwinan yang boleh dilakukan di negara ini atau di Thailand,” katanya kepada Sinar Ahad pada Sabtu.

Hushim berkata, majoriti suami mengambil pendekatan scam poligami dan tidak mendaftarkannya mengelak diketahui oleh isteri pertama kerana bimbang ia memberi kesan kepada hubungan mereka dan emosi anak-anak.

"Saya juga bimbang sekiranya perkara itu tidak dibendung, akan berlaku perkahwinan adik-beradik kerana perkahwinan yang dirahsiakan,” katanya.

Katanya, penularan scam poligami perlu dibendung dengan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat dan pihak berwajib yang terlibat lebih amanah melaksanakan tanggungjawab.

"Penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berwajib hanya seketika sahaja,” katanya.

Fauziah

Sementara itu, Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd Saad berkata, perkahwinan yang tidak mengikut undang-undang akan memberikan kesan yang besar kepada rumah tangga, institusi kekeluargaan dan masyarakat.

"Suami yang ingin berpoligami perlu menggunakan dokumen kerana ia penting untuk kehidupan yang seterusnya.

"Jika berlaku pemalsuan dokumen, ditakuti menyebabkan perkahwinan tidak sah dari sudut undang-undang Malaysia walaupun ia sah dari segi hukum Islam,” katanya.

Bagaimanapun katanya, untuk mengelakkan terjebak dengan scam poligami, suami perlu bertanggungjawab dengan berterus-terang kepada isteri pertama mengenainya keinginannya untuk mempunyai isteri kedua.

Semalam, Sinar Harian melaporkan mengenai sindiket poligami dipercayai didalangi ‘orang dalam’ institusi kehakiman syariah negara sebagai jalan pintas kepada lelaki yang ingin berkahwin lebih daripada satu tanpa pengetahuan isteri pertama.

Klik di sini untuk terus membaca