TAHUN 2020 terbukti luar biasa: satu tahun keramat untuk Malaysia yang bertukar menjadi annus horribilis akibat pandemik Covid-19 yang mencetuskan penguncupan ekonomi dan memberikan kesan mendalam kepada rakyat, perniagaan dan golongan rentan.
Namun syukur, ekonomi Malaysia menempuh tahun 2020 dengan daya tahan yang tinggi.
Kita bergerak di landasan yang kukuh hasil pengawalan Covid-19 ini, serta komitmen kerajaan melindungi rakyat dan perniagaan daripada impak pandemik tersebut melalui empat pakej rangsangan ekonomi iaitu Prihatin, Prihatin PKS+, Penjana dan Kita Prihatin.
Semakin kita memahami ciri-ciri penularan virus tersebut, semakin kita berani membuat keputusan untuk membuka semula ekonomi agar perniagaan mampu membuat penyesuaian dan beroperasi semula.
Langkah melindungi nyawa dan kehidupan ini membantu negara mencatat penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar -2.7 peratus pada suku ketiga 2020, berbanding ekonomi serantau seperti Indonesia (-3.49 peratus), Singapura (-5.8 peratus), Thailand (-6.4 peratus), Filipina (-11.5 peratus), dan juga ekonomi utama lain seperti Amerika Syarikat (-2.9 peratus).
Tahun 2020 ini juga memberikan ruang untuk kita bermuhasabah diri, dan menawarkan satu peluang berharga untuk menilai semula perjalanan masa depan Malaysia.
Sempena kita mengucapkan selamat tinggal kepada 2020, saya merasakan inilah waktu terbaik untuk mengingatkan diri kita tentang asas kukuh yang boleh terus dipupuk: tentang perkara yang menyatukan kita, bukan yang memecahbelahkan masyarakat; dan ciri-ciri positif yang boleh membantu kita membina semula ekonomi pada tahun 2021 dan seterusnya melalui inisiatif-inisiatif Belanjawan 2021.
Asas kukuh
Pertama sekali, saya ingin memberikan sedikit penjelasan tentang unjuran hasil negara pada tahun 2021. Ada yang menyatakan unjuran itu terlalu optimistik memandangkan sistem cukai sedia ada, dan bagaimana ketidaktentuan ekonomi global telah membantutkan prospek pertumbuhan negara.
Ya, unjuran hasil 2021 berjumlah RM236.9 bilion adalah lebih rendah daripada pungutan hasil 2019 berjumlah RM264.4 bilion. Unjuran ini berdasarkan pengalaman semasa Global Financial Crisis 2008-2009, di mana cukai pendapatan individu dan korporat meningkat 18.1 peratus tahun ke tahun pada 2010.
Bagi 2021, jumlah pungutan dijangka lebih konservatif dengan unjuran 12.3 peratus. Jadi, kerajaan tidak terlebih optimistik dalam unjurannya seperti yang diperkatakan beberapa pihak.
Unjuran ini juga konsisten dengan jangkaan pertumbuhan KDNK negara pada 6.5 peratus hingga 7.5 peratus pada tahun 2021, selaras dengan unjuran Bank Dunia (6.7 peratus) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (7.8 peratus).
Selain itu, IMF menjangkakan pertumbuhan KDNK dunia pada kadar 5.2 peratus pada tahun 2021, manakala Bank Pembangunan Asia mengunjurkan pertumbuhan 6.8 peratus bagi Asia Membangun dan 7.2 peratus bagi Asia Selatan.
Pemulihan ekonomi serantau juga bakal menyumbang kepada peningkatan semula aktiviti perdagangan.
Penyaluran bekalan vaksin Covid-19 di serata dunia memberikan gambaran yang lebih optimistik untuk tahun 2021, termasuk Malaysia yang dijangka menerima bekalan pertama vaksin seawal suku pertama 2021.
Kedua, untuk mengatasi penurunan hasil, usaha bersepadu dirangka bagi mengurangkan ketirisan melalui ekonomi bayangan (shadow economy) khususnya dalam penyeludupan barangan berduti tinggi.
Ekonomi bayangan Malaysia dianggarkan bersaiz 18.2 peratus KDNK pada tahun 2019 (atau RM258.7 bilion pada harga malar 2015). Jika dimanfaatkan dan dikawal selia, ini boleh memberikan sumbangan hasil yang besar untuk negara.
Ketiga, kerajaan akan melaksanakan Strategi Hasil Jangka Sederhana yang antara lainnya akan menambah baik kerangka percukaian bagi mencapai sasaran hasil dalam jangka masa sederhana.
Sebarang kajian semula perlu menghasilkan sistem percukaian yang saksama untuk semua, dilaksanakan pada masa yang sesuai, dan mengambil kira kesan kepada rakyat dan perniagaan secara menyeluruh.
Akhir sekali, Kerangka Fiskal Jangka Sederhana bermatlamat menurunkan defisit fiskal daripada kadar 5.4 peratus kepada KDNK pada tahun 2021, kepada purata 4.5 peratus dari 2021 hingga 2023.
Untuk tujuan ini, salah satu inisiatif yang sedang dirumuskan adalah Akta Tanggungjawab Fiskal, demi menambah baik pengurusan fiskal yang berhemah, akauntabiliti dan ketelusan, berdasarkan amalan pengurusan terbaik antarabangsa.
Berkembang maju
Kepelbagaian sektor ekonomi negara juga adalah satu faktor mengapa Malaysia mampu menangani kejutan Covid-19. Pada tahun 2020, pertumbuhan dalam sektor pembuatan dan eksport seperti peralatan perubatan dan elektrikal dan elektronik sedikit sebanyak membantu mengimbangi kesan pandemik terhadap sektor perkhidmatan negara, khususnya dengan penutupan sempadan negara.
Dari Januari ke September 2020, Malaysia mencatat pelaburan diluluskan berjumlah RM109.8 bilion, merangkumi RM42.6 bilion untuk pelaburan langsung asing (FDI).
Kerajaan kekal fokus dalam usaha menarik pelaburan impak tinggi yang akan merancakkan pemindahan pengetahuan, dan membantu meningkatkan kemahiran warga kerja tempatan sekali gus menjana pembangunan yang lebih mampan untuk Malaysia.
Buat pertama kalinya, kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara yang antara fungsi utamanya adalah untuk menyelaras strategi antara kementerian dan agensi terbabit dalam melatih semula dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja negara.
Namun, masih banyak kelebihan negara kita yang belum dimanfaatkan sepenuhnya. Kita mempunyai kemampuan pertanian dan perladangan yang boleh ditingkatkan melalui agritech, kepelbagaian tanaman, dan pembangunan industri hiliran.
Kita belum memanfaatkan sepenuhnya kemampuan kita dalam teknologi hijau, termasuk pembuatan panel solar, dan pembangunan hijau.
Negara kita mempunyai kemampuan untuk menjadi sebuah hab bagi industri kewangan Islam, serta pasaran halal global yang bernilai lebih AS$1.4 trilion. Usaha bersepadu perlu dilaksanakan untuk sektor-sektor ini, serta sektor utama lain seperti pendidikan, pembuatan dan juga yang lebih tertumpu, contohnya industri kreatif.
Sebagai langkah awal mencapai potensi tersebut, Belanjawan 2021 melandaskan inisiatif seperti pakej insentif khas RM1 bilion untuk pelaburan dalam industri bernilai tambah tinggi, peruntukan dana RM1 bilion oleh Bank Negara Malaysia untuk menyokong syarikat yang inovatif dan berteknologi tinggi, lanjutan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau 3.0 dengan dana RM2 bilion, serta pelbagai pelepasan, rebat dan potongan cukai, termasuk untuk pengkomersialan R&D yang kini dilanjutkan juga kepada pusat pengajian tinggi awam.
Antara langkah jangka sederhana dan panjang dalam mencetus peluang pertumbuhan ekonomi di sektor-sektor baharu termasuklah penubuhan Penjana Kapital, yang baru-baru ini telah memudah cara pelaburan oleh lapan pengurus dana modal teroka dan kerajaan, bernilai sehingga RM1.57 bilion bagi syarikat pemula Malaysia dalam bidang fintech, edutech, agritech, mobiliti dan kecerdasan buatan (AI).
Proses ini juga dijangka menghasilkan 1,800 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Kesemua usaha ini membentuk lima langkah awal dalam strategi pemulihan ekonomi 6R oleh kerajaan iaitu ketegasan (Resolve), ketahanan (Resilience), pembukaan semula (Restart), pemulihan (Recovery) dan memperkasa (Revitalise).
Ini semua menetapkan batu asas untuk langkah terakhir iaitu penyusunan semula (Reform) melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). RMK12 akan merangka sebuah pelan tindakan untuk fasa seterusnya dalam pembentukan ekonomi Malaysia.
Tentunya 2020 merupakan sebuah tahun yang sukar untuk kita semua.
Suntikan fiskal RM55 bilion di bawah pakej rangsangan ekonomi sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka yang memerlukan, di mana RM18 bilion disalurkan sebagai Bantuan Prihatin Nasional, kesinambungan RM4.74 bilion Bantuan Sara Hidup pada tahun yang sama.
Kerajaan faham bahawa aktiviti pemulihan akan mengambil masa, dan perjalanan tahun 2021 mungkin sesukar tahun lepas.
Oleh itu, untuk terus meringankan beban rakyat, Belanjawan 2021 memperuntukkan RM30.8 bilion dalam bentuk bantuan bersasar, bantuan langsung, subsidi serta bantuan-bantuan lain untuk golongan rentan.
Berhemah
Saya juga ingin menekankan bahawa pelaksanaan dasar oleh kerajaan semestinya dilakukan untuk mencapai faedah yang terbanyak untuk rakyat, dengan mengguna pakai sumber yang ada secara berhemah.
Ada yang membandingkan usaha Malaysia dengan negara lain. Namun, kita perlu faham bahawa setiap negara mempunyai ciri-ciri sosioekonomi yang berlainan, dan memerlukan langkah penyelesaian yang unik dan tersendiri.
Namun, saya ingin mengingatkan bahawa nilai pakej rangsangan ekonomi yang telah diperkenalkan kerajaan adalah antara yang terbesar dalam kalangan negara-negara Asia.
Setelah dua dekad dalam dunia korporat dan kini sebagai pegawai kerajaan, saya kini lebih menghargai betapa beratnya amanah menjaga kewangan negara.
Sememangnya mudah untuk membuat segala tuntutan yang tidak munasabah jika kita tidak mengambil peduli peri pentingnya mengimbangi keperluan menguruskan kewangan negara dengan perlindungan nyawa dan punca rezeki rakyat.
Mudah juga jika kita hanya memberi fokus kepada perkara-perkara negatif tanpa mengendahkan pencapaian yang telah dikecapi semasa kita menghadapi wabak Covid-19 ini, walaupun data pencapaian amat jelas dan tidak boleh dinafikan.
Apa-apa pun, dalam kita memulakan tahun baharu, inilah masanya untuk semua pihak mengetepikan perbezaan masing-masing, dan waktu penentu untuk penggubal dasar memastikan usaha memenuhi keperluan rakyat dan perniagaan diteruskan.
Kementerian Kewangan juga terbuka untuk bekerja dengan pelbagai institusi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), pihak swasta, NGO dan CSO serta individu yang bertekad memainkan peranan yang lebih penting dalam memulihkan keadaan sosioekonomi negara.
Dalam norma baharu ini, saya optimis terhadap masa depan Malaysia dengan mengambil kira pembukaan semula aktiviti perniagaan, perkembangan positif dalam pembekalan vaksin Covid-19 di seluruh dunia, dan usaha Kerajaan dalam memperkasa dan menyusun semula ekonomi negara.
Kita telah berdiri teguh menghadapi pelbagai situasi kesihatan awam; kini kita perlu bertahan untuk memenangi perang terhadap Covid-19 ini. Kita telah melandaikan lekuk penularan sebelum ini, maka kita boleh lakukannya sekali lagi.
Yang penting, kita perlu mengambil iktibar daripada pengalaman krisis ini untuk muncul lebih kuat lagi.
Sejarah mengajar kita untuk bersatu di saat-saat kesukaran. Negara kita mempunyai peluang yang begitu besar untuk berkembang maju, dan kita mampu melakukannya, terutamanya memandangkan bagaimana kita berjaya menempuh satu tahun yang paling sukar dalam sejarah negara kita.
Saya percaya kepada kekuatan rakyat Malaysia apabila kita bersatu padu, dan saya yakin kita semua mampu menstabilkan ekonomi, dan mampu mencapai potensi kemajuan yang disasarkan.
*Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Kewangan Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca