SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disifatkan sebagai pilihan raya membentuk wajah dan harapan baharu bagi mengubah landskap politik negara untuk mendapatkan semula sokongan rakyat.
Penganalisis politik menyifatkan ia masa paling sesuai bagi parti politik memanfaatkan pilihan raya itu dengan menampilkan muka-muka baharu lebih dinamik, muda dan bersifat terbuka.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Alsagoff berkata, ia menunjukkan suatu anjakan paradigma yang menguji kematangan sistem politik negara.
Menurutnya, selama ini negara didominasi sebilangan besar ahli politik veteran di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.
"Bagaimanapun, kebangkitan pemimpin muka baharu dan anak-anak muda (dalam kerajaan dan pembangkang) mula mengisi warisan kepimpinan negara sejak kebelakangan ini.
"Ia membuktikan negara bakal diterajui mereka yang disifatkan lebih dinamik, terbuka serta mementingkan keperluan masyarakat berbanding kedudukan politik,” katanya kepada Sinar Ahad pada Sabtu.
Terdahulu, kumpulan 11 ahli Parlimen pembangkang tampil mengumumkan inisiatif ‘Kita Unite’ pada ambang tahun baharu dengan bertemakan ‘Malaysia 2021-Tetapkan Semula dan Bangkit Bersama-Sama!’.
Mereka ialah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Datuk Azis Jamman (Sepanggar), Hannah Yeoh (Segambut), Yeo Bee Yin (Bakri) dan Baru Bian (Selangau).
Selain itu, Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh), Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai) dan Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).
Turut disenaraikan Teo Nie Ching (Kulai) dan Isnaraissah Munirah (Kota Belud) dan kesemua mereka daripada parti berbeza ketika Pakatan Harapan (PH) menguasai kerajaan sebelum ini.
Kumpulan berkenaan mengetengahkan tujuh ciri-ciri politik yang mahu diperjuangkan menjelang tahun ini; antaranya menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk yang bersatu padu, demokratik, adil dan bermoral.
Syed Agil berkata, pemimpin terbabit dilihat selesa menterjemahkan konsep masyarakat majmuk untuk sama-sama mendokong aspirasi negara, tidak mengenal kaum, keturunan dan agama.
Beliau berkata lagi, tumpuan mereka juga untuk menyebarluaskan konsep kebebasan rakyat berasaskan Rukun Negara supaya semua kaum anak muda dapat berusaha merealisasikan aspirasi negara."Namun, secara sinisnya kebangkitan muka baharu dan anak-anak muda sebagai peneraju politik negara tidak akan tercapai jika golongan tersebut gagal mengimbangi komposisi dan keperluan semua golongan di negara ini.
"Dalam erti kata lain, gandingan mereka haruslah mengambil kira kesemua rakyat Malaysia bagi memastikan kelestarian kepimpinan politik dapat dilaksanakan dengan baik,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca