Pagi itu, Bos Jalil lalu di depan meja kerja ku, lain benar beliau pagi ni. Langkahnya cepat, badannya tegak dengan muka yang berseri-seri sambil senyum lebar.
Beliau melihatku sekilas dengan mata bercahaya dan mengangguk tanda mendengar pertanyaan ku sebelum mengangkat mukanya memandang ke hadapan. Ku perhatikan langkahnya yang semakin menjauh menuju ke ruang kerja editorial Sinar Harian.
Di situ terletak pejabatnya bersebelahan pejabat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Sinar Harian, Farah Hussamuddin dan Ketua Pengarang, Datuk Baharom Mahusin.
Sesekali ku lihat beliau berlari-lari anak seakan tidak sabar untuk melaksanakan tugas hariannya.
Lain benar ku lihat beliau pagi itu, jika sebelum ini jalannya perlahan-lahan sambil berhati-hati menyusun langkah. Bimbang kalau-kalau terjatuh dengan penglihatan yang sudah tidak lagi terang.
Dengan keadaan begitupun, dia sering menolak jika ada yang ingin membantu. Sering pelawaan ku ditolak katanya, "aku tahu kau busy, pegi siapkan kerja."
Aku tersedar apabila terdengar kokok pertama ayam Peking belaan suamiku.
Allah! Aku mimpi rupanya. Aku menyeka air mata yang mengalir. Dengan mata terpisat-pisat ku mencari jam di telefon bimbit. 3.30 pagi!
Sehari sebelum itu (8 Ogos) industri media dikejutkan dengan pemergian sebutir permata yang tiada galang gantinya, Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali.
Sinar Harian menangis!
Kebetulan ketika itu, aku sedang bercuti panjang dan hari terakhir berjumpa beliau sebulan yang lalu. Ketika itupun beliau bukanlah sihat sangat, penyakit diabetes dan masalah buah pinggang yang dialami banyak mempengaruhi keadaan kesihatannya.
Pada usia 66 tahun, keadaannya kesihatan yang terjejas membuatkan beliau nampak lebih tua daripada usianya.