TIRAI tahun baharu 2021 bagi Johor, Pahang dan Sabah agak suram apabila tiga negeri itu paling teruk dilanda banjir. Banjir adalah bencana alam yang tidak dapat dielakkan bagi negara tropika beriklim khatulistiwa seperti Malaysia. Sebagai... Klik di sini untuk terus membaca

TIRAI tahun baharu 2021 bagi Johor, Pahang dan Sabah agak suram apabila tiga negeri itu paling teruk dilanda banjir.

Banjir adalah bencana alam yang tidak dapat dielakkan bagi negara tropika beriklim khatulistiwa seperti Malaysia.

Sebagai fenomena berkala, kejadian banjir bukan sesuatu yang mengejutkan kerana Malaysia mempunyai 189 sistem sungai yang merangkumi 1,800 sungai dan anak sungai.

Walaupun banjir merupakan fenomena semula jadi, ia turut dipengaruhi oleh tindakan dan aktiviti manusia yang mengubah pandangan darat daripada kawasan yang boleh menyerap air kepada kawasan tidak telap air.

Pembinaan kawasan penempatan menyebabkan kawasan permukaan tanah diliputi oleh lapisan tidak telap air sebanyak 80 peratus dan hanya meninggalkan 20 peratus ruang yang membenarkan penyerapan berlaku.

Natijahnya, perubahan dan gangguan keterlaluan manusia terhadap alam sekitar fizikal lembangan saliran telah menambahkan tahap keseriusan banjir.

Pembangunan pesat dan pantas di dataran banjir seperti di Georgetown, Pulau Pinang dan Kota Bharu, Kelantan telah menyebabkan perubahan ketara guna tanah yang membawa kepada peningkatan bencana banjir.

Banjir berlaku secara mengejut, bersifat kompleks dan berpotensi mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda, infrastruktur serta menjejaskan aktiviti seharian.

Pada tahun 2014, ‘bah kuning’ yang melanda Kelantan mengakibatkan kemusnahan yang menelan kos melebihi RM200 juta tidak termasuk kos pembaikan kerosakan rumah kediaman dan harta awam, selain kehilangan nyawa.

Banjir juga boleh membawa kepada peningkatan wabak penyakit bawaan air dan makanan serta memberi teka-nan dan kesan psikologi kepada mangsa.

Oleh sebab banjir merupakan interaksi antara dua unsur iaitu semula jadi dan manusia, maka pengurusannya perlu berasaskan pendekatan multidisiplin yang menggabungkan kaedah berstruktur dan bukan berstruktur.

Kaedah berstruktur melibatkan pembinaan struktur kejuruteraan seperti kolam takungan banjir, kerja peningkatan saliran sungai dan lencongan banjir.

Kaedah tidak berstruktur melengkapi kaedah berstruktur yang terbatas untuk mengawal banjir seperti pengawalan guna tanah, penguatkuasaan dan undang-undang, pemetaan risiko bencana, ramalan dan amaran banjir.

Kesedaran

Komuniti setempat juga berperanan meminimumkan kesan banjir, antaranya dengan meningkatkan kesedaran agar menjaga kawasan masing-masing supaya laluan air tidak terganggu, membersihkan sistem saliran yang tersumbat, meningkatkan pengawasan, pemantauan dan bersiap siaga sekiranya berlaku hujan lebat luar biasa.

Sistem pengawalan banjir di Belanda merupakan antara yang terbaik di dunia melalui penyimpanan air bawah tanah dan dalam takungan bagi menangani kenaikan air mendadak.

Bandar raya Rotterdam pula telah memulakan projek pembinaan rumah terapung (rumah amfibia) untuk menangani kejadian kenaikan paras laut yang mendadak.

Di United Kingdom, dalam mengatasi masalah banjir, pihak berkuasa Britain juga telah memulakan konsep rumah amfibia di tebing Sungai Thames. Konsep itu juga telah dipraktikan di Kanada, Belanda dan Jerman.

Rumah amfibia adalah konsep baharu penempatan di kawasan tanah rendah sebagai strategi tebatan banjir.

Rumah tersebut akan terapung dengan kenaikan paras air. Pembinaan rumah amfibia adalah langkah dan usaha kerajaan dalam menghadapi situasi perubahan cuaca yang semakin kritikal akibat pemanasan global.

Thailand juga telah menimbang secara serius untuk menggalakkan lebih banyak projek pembinaan hartanah secara pembangunan terapung sebagai kaedah penyelesaian terbaik dan bersifat jangka panjang bagi menghadapi bencana banjir, selain kawasan tarikan pelancong.

Konsep yang sama juga boleh dipertimbangkan di Malaysia bagi menghadapi bencana banjir.

*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca