PENGHUJUNG tahun 2020, kita dikejutkan dengan kejadian tidak perikemanusiaan seorang wanita terhadap dua ekor kucing hanya kerana haiwan kecil itu membuang najis di hadapan rumahnya.
Entah apa yang merasuk jiwanya sehingga sanggup bertindak kejam memukul kucing jalanan termasuk seekor kucing yang sedang bunting sehingga putus nyawa, manakala seekor lagi kucing parah pada kepala.
Mujur ada mata yang memerhati perilaku rakus wanita berkenaan dengan bertindak pantas menghubungi pihak berkuasa untuk memaklumkan kejadian tersebut.
Mereka bukan sahaja tidak berpuas hati dengan tindakan melampau wanita terbabit, malah penulis yakin mereka lebih simpati terhadap haiwan kecil itu yang tidak mampu berlawan saat tubuh mereka diayun batang besi berulang kali.
Sebaik sahaja kejadian itu tersebar dan dilaporkan di media sosial pada petang Rabu lalu, rata-rata netizen bersatu dan bersependapat mengenai nilai kemanusiaan serta kasih sayang.
Tanpa mengira bangsa, kaum mahupun agama, mereka mengecam perbuatan gila wanita berkenaan yang menzalimi makhluk Tuhan hanya kerana kesalahan kecil yang tidak setimpal dengan hukuman yang dikenakan.
Tidak kurang juga ramai yang menuntut agar perbuatan kejam itu dibalas dengan hukuman setimpal mengikut undang-undang.
Akta Kebajikan Haiwan 2015 menetapkan seseorang yang menzalimi haiwan boleh didenda maksimum sebanyak RM75,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Pelaku berkenaan telah pun ditangkap oleh sepasukan anggota Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar tidak lama kemudian dan kini sedang disiasat sebelum dibawa ke muka pengadilan.
Berdasarkan kejadian itu, kita boleh mengambil pengajaran daripada kisah penderaan haiwan. Kita yang mempunyai akal fikiran yang waras janganlah bertindak zalim terhadap haiwan.
Bantuan
Kedua, penulis kagum apabila semua lapisan masyarakat dan warganet boleh bersatu apabila bercerita mengenai nilai kemanusiaan terhadap haiwan dilaporkan, apatah lagi kisah mengenai kasih sayang sesama manusia menjadi berita.
Beberapa hari sebelum kisah kucing dipukul kejam itu tular, kisah mengenai sebuah keluarga yang selama berbulan-bulan menjadikan kereta sebagai rumah tempat mereka berlindung menjadi perbualan.
S Ganesh, 34, isteri, S Parameswary, 32, dan tiga orang anak mereka berusia antara enam tahun sehingga lapan bulan tinggal di dalam kereta selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran pada awal April lalu. Kisah mereka mendapat perhatian seorang pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew.
Ramai warganet yang tersentuh hati dengan keprihatinan dan bantuan yang dihulurkan apabila keluarga berkenaan diberikan tempat perlindungan yang lebih selesa serta bantuan kelengkapan yang lain.
Sememangnya kisah mengenai nilai kemanusiaan mampu menyatupadukan kita semua. Itulah hakikat yang perlu kita tahu. Naluri warga Malaysia masih kuat dengan nilai kasih sayang, perpaduan dan keharmonian.
Apa yang diharapkan selepas ini, tidak ada lagi cerita haiwan diseksa kejam seperti dimasukkan di dalam mesin pengering di kedai dobi mahupun ditembak tanpa sebab hingga mencetuskan rasa marah terutamanya pencinta haiwan.
Penulis juga berharap selepas ini tiada lagi kes keluarga yang tinggal di kaki lima, menjadi penghuni di pondok usang, apatah lagi berlindung di bawah jambatan tanpa sesiapa peduli dengan kebajikan mereka.
Lembaran baharu tahun 2021 diharap semuanya lebih prihatin dan bertanggungjawab, bukan sahaja sesama manusia, malah kepada haiwan yang berkongsi alam ini untuk menjalani kehidupan seharian.
Apabila semua bersatu, membantu dan berkasih sayang, pastinya episod kehidupan kita pada hari mendatang akan lebih bahagia.
Contohilah apa yang dilakukan Ebit Lew yang membantu sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang, bangsa mahupun agama. Itulah nilai kemanusiaan yang perlu menjadi ikutan rakyat Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca