SERANGAN anggota-anggota kumpulan militan ke atas satu rombongan anggota tentera yang menyebabkan hampir 40 askar terbunuh di Deir Ezzor, timur Syria pada minggu lalu menimbulkan persoalan sama ada kumpulan Islamic State (IS) muncul semula... Klik di sini untuk terus membaca

SERANGAN anggota-anggota kumpulan militan ke atas satu rombongan anggota tentera yang menyebabkan hampir 40 askar terbunuh di Deir Ezzor, timur Syria pada minggu lalu menimbulkan persoalan sama ada kumpulan Islamic State (IS) muncul semula selepas kalah di negara itu pada tahun 2017.

Pada Rabu lalu, seramai 37 askar Syria terbunuh dan menurut AFP, kumpulan tersebut mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu apabila anggota-anggotanya melakukan serangan hendap ke atas sebuah bas yang mereka naiki.

Badan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia (SOHR) dilaporkan berkata, IS melakukan serangan ke atas anggota-anggota tentera tersebut ketika mereka kembali untuk pulang bercuti ke rumah masing-masing.

Sumber-sumber perisikan Barat turut menyatakan terdapat peningkatan serangan hendap sejak beberapa bulan lalu oleh saki baki kumpulan IS yang dikatakan berlindung di dalam gua-gua di kawasan gurun Syria./p>

Anggota-anggota Kumpulan Negara Islam yang menyerah diri kepada Pasukan Demokratik Syria menaiki sebuah trak keluar dari Baghouz di wilayah Deir Ezzor, Syria pada Februari 2019. - Foto AFP
<

Seramai sembilan orang dengan tujuh daripadanya ialah askar juga dilaporkan terbunuh apabila satu serangan dilakukan oleh anggota-anggota kumpulan militan ke atas sebuah bas di Syria, kata SOHR.

Serangan yang turut mencederakan 16 orang itu berlaku ketika kenderaan berkenaan bergerak dari bandar Raqqa di utara Syria menuju ke Damsyik tetapi agensi rasmi Sana menyatakan kesemua yang terbunuh dalam kejadian berkenaan adalah orang awam.

Bagaimanapun, kekuatan yang dimiliki oleh IS beberapa tahun lalu sehingga ia mendakwa berjaya mewujudkan pemerintahan khalifah pada Jun 2014 dari Aleppo di Syria sehingga ke Diyala di Iraq.

Ketika itu, pemimpinnya, Abu Bakar al-Baghdadi menamakan semula kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIL) menjadi IS sebelum beliau terbunuh dalam satu serangan udara tentera Amerika Syarikat (AS) pada Oktober 2019 di barat laut Syria.

Pengumuman kematian itu dilakukan oleh Presiden AS, Donald Trump yang akan meninggalkan Rumah Putih pada 20 Januari tahun ini selepas kalah kepada bekas Naib

Presiden AS, Joe Biden dan akan menggantikan tempatnya.

Sebelum itu, pada 19 Disember 2018, Trump telah mengisytiharkan bahawa ISIS telah kalah dan memberi petunjuk bahawa beliau akan menarik semula semua 2,000 anggota tentera yang menyokong Pasukan Demokratik Syria (SDF) dari negara tersebut.

Pada tahun 2014, ketika AS di bawah pentadbiran Barack Obama sebagai Presiden, negara itu melancarkan kempen ketenteraan dengan menggunakan askar-askar AS dan sekutu-sekutunya untuk memerangi IS.

Pasukan SDF dikatakan ditubuhkan pada Oktober 2015 dengan misi untuk memperjuangkan sebuah negara sekular, demokratik dan persekutuan Syria dan dianggotai antaranya oleh etnik Kurdistan.

Ia juga terlibat dalam perang saudara Syria sejak tahun 2011 yang tercetus ekoran kebangkitan Arab Spring sehingga rakyat tidak berpuas hati dan menentang pemerintahan korup Presiden Bashar Al-Assad.

Perang itu telah menyebabkan lebih 387,000 orang terbunuh dan berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal.

Ia juga melibatkan kumpulan-kumpulan bersenjata yang mendapat sokongan Iran, Hezbollah, IS, SDF dan penglibatan tentera Turki, AS dan Rusia.

Bagaimanapun, menurut portal berita Deutsche Welle baru-baru ini, Peter Neumann iaitu seorang profesor tentang kajian keselamatan di Kolej King's London, Britain berkata, IS kelihatan lemah berbanding lima tahun lalu.

Katanya, pada tahun 2014, terdapat banyak tekanan di Iraq yang menyebabkan ia sukar untuk bersatu semula, mendapatkan senjata-senjata serta mengambil anggota-anggota baharu sekali gus menyebabkan IS menjadi lemah di Iraq dan Syria.

Justeru, beliau menyatakan pendapatnya bahawa IS juga masih aktif di Eropah walaupun taktiknya sudah berubah tidak seperti beberapa tahun lalu ketika ia mampu melancarkan serangan berskala besar.

Menurut Wilson Center, ketika di zaman kemuncaknya, IS yang turut dikenali sebagai Negara Islam Iraq dan Syam (ISIS) dan Daesh menguasai kira-kira satu pertiga Syria dan 40 peratus Iraq.

Seorang lagi penyelidik keganasan yang mengendalikan laman web www.europarabct.com, Jassim Mohamad pula membuat kesimpulan kepada portal tersebut dengan menyatakan ISIS hilang kubu kuat di Syria dan Iraq.

Beliau berkata, IS cuba mendapatkan senjata-senjata dan berdasarkan maklumat dalaman yang diterimanya daripada kerajaan Iraq, pertubuhan tersebut hanya memperoleh senjata ringan dan tidak mempunyai senjata berat.

Kebanyakan anggota IS kini dilaporkan masih lagi bergerak dan kumpulan itu dikatakan masih lagi menyusun para pengikutnya untuk melancarkan serangan. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca