ALOR SETAR - Kira-kira 60 kes berkaitan sindiket scam poligami dan scam perkahwinan dilaporkan berlaku di daerah Kota Setar pada setiap tahun. Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Syeikh Ahmad Faisol Omar berkata, jumlah itu merupakan anggaran... Klik di sini untuk terus membaca

ALOR SETAR - Kira-kira 60 kes berkaitan sindiket scam poligami dan scam perkahwinan dilaporkan berlaku di daerah Kota Setar pada setiap tahun.

Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Syeikh Ahmad Faisol Omar berkata, jumlah itu merupakan anggaran purata kes berkaitan sindiket berkenaan yang diperoleh pihaknya.

Beliau berkata, siasatan yang dijalankan oleh pihaknya mendapati terdapat pasangan yang sanggup mengeluarkan wang sehingga mencecah RM8,000 untuk melangsungkan perkahwinan menggunakan sindiket terbabit.

Syeikh Ahmad Faisol

Bagaimanapun, katanya, perbuatan itu terbongkar apabila pasangan berkenaan mahu mendaftarkan kelahiran anak mereka di Jabatan Pendaftaran Negara ( JPN).

"Lazimnya pihak JPN akan merujuk sijil nikah kepada pejabat agama terlebih dahulu sekiranya terdapat keraguan.

"Apabila semakan dibuat, ternyata surat nikah berkenaan palsu selain terdapat beberapa ciri sijil yang sangat ketara perbezaannya termasuk tandatangan pendaftar nikah yang meragukan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di sini pada Isnin.

Syeikh Ahmad Faisol berkata, sindiket berkenaan juga bergerak aktif di seluruh Malaysia dengan menyasarkan golongan yang menghadapi masalah untuk melangsungkan perkahwinan.

"Saya hendak ingatkan kepada pasangan, urusan pernikahan hanya boleh dilakukan oleh pejabat agama dan di dalam premis pejabat agama sahaja.

"Jika ada mana-mana individu yang mendakwa boleh membantu anda melaksanakan proses pendaftaran nikah termasuk mendapatkan sijil pernikahan dengan kos mencecah ribuan ringgit, jangan percaya, ia adalah sindiket," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca