KEDATANGAN tahun baharu 2021 diharapkan membawa sinar baharu namun kita pula diuji dengan rentetan tragedi pilu yang meruntun jiwa.
Sembilan sekeluarga maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terjunam ke dalam sungai ketika sedang menunggu feri di pangkalan feri Triso dekat Sebuyau, Betong, Sarawak dilaporkan dalam satu tragedi petang Jumaat.
Di saat pemergian mereka masih ditangisi, kita dikejutkan pula dengan bencana banjir yang melanda enam negeri iaitu Kelantan, Perak Johor, Pahang, Terengganu dan Selangor hingga meragut nyawa.
Di Pahang seorang kakitangan Pejabat Hutan Daerah Jerantut, Zulkarnain Hitam, 58, lemas manakala anaknya, Ukai Iskandar Zulkarnain, 23, masih hilang dibawa arus ketika meredah banjir di Kampung Gintong, Kuantan pada 3 Januari lalu.
Dalam insiden yang berlainan, dua beranak dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki empat sekeluarga terbalik di Kampung Bertang,Ulu Jelai, Lipis. Mangsa yang hilang dikenali sebagai Rozi Omar, 52, dan anak perempuannya, Zakirah Ahmad Husin, 19.
Di Johor, mayat Md Rajihan Junaidi, 28, yang hanyut bersama kereta dipandunya ketika meredah banjir di Jalan Kluang-Kahang, Kluang ditemukan dalam kebun pisang pada Isnin.
Banjir di negeri itu turut meragut dua lagi nyawa iaitu penuntut tahun pertama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan, Ikmal Hakimi Mahasan, 20, yang lemas di Kampung Bentong pada Isnin dan seorang wanita, Halijah Majid, 61, yang tergelincir dalam parit di Kampung Contoh, Kahang pada Sabtu.
Setakat jam 8 malam semalam, lebih 23,000 mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negara.
Menurut Tinjauan Cuaca Jangka Panjang di laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), musim tengkujuh yang bermula pada 11 November lalu dijangka akan berlanjutan hingga Mac ini.
Selama tempoh ini, negara akan menerima tiupan angin Timur Laut yang stabil dengan angin kencang sekali-sekala dengan kelajuan antara 10 dan 20 kilometer sejam. Hujan lebat berturut-turut dijangka berlaku terutama di negeri-negeri pantai timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.
Jabatan itu juga memberi amaran, hujan lebat berterusan selama beberapa hari boleh menyebabkan berlaku banjir di kawasan rendah yang sering banjir, dengan risiko banjir menjadi teruk jika hujan beberapa hari disertai air pasang.
Dalam berjaga-jaga untuk mengelakkan diri dijangkiti wabak dengan mematuhi SOP dan amalan norma baharu, orang ramai diminta berwaspada dengan keadaan musim tengkujuh yang melanda kini bagi mengelak musibah.
Menyentuh mengenai prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara untuk mengekang penularan Covid-19, penulis berpandangan sudah tiba masanya semua acara dan sidang akhbar diadakan secara maya sepenuhnya bagi mengelakkan jangkitan wabak.
Banyak pihak dilihat semakin galak menganjurkan majlis, tidak kiralah pelancaran produk atau sidang media dengan mengundang tetamu serta petugas media. Seperti melupakan pandemik yang belum berakhir, keselamatan tetamu diambil ringan.
Ya, mungkin SOP dipatuhi tetapi risikonya terlalu tinggi. Demi tuntutan tugas petugas media kini berdepan risiko dijangkiti Covid-19. Mengapa perlu dianjur acara, sedangkan boleh dibuat secara maya? Kalau liputan melibatkan bencana, lain cerita.
Kita tidak mahu angka pesakit Covid-19 terus mencanak, justeru acara yang tidak berapa penting elok ditangguhkan.
Fokus dan usaha wajar diberikan kepada melawan Covid-19, menyantuni golongan yang terjejas akibat wabak itu serta membantu kesemua mangsa banjir di negeri-negeri terlibat.
Kita belum menang dan perjalanan memerangi pandemik dilihat masih jauh namun pada masa sama kita perlu meredakan pemergian, meninggalkan kepahitan serta melupakan derita 2020.
Jangan juga berputus harap. Semoga tahun 2021 akan membawa sinar dan 1,001 kemanisan kepada umat manusia di seluruh dunia.
* Asmaliza Mansor adalah Koordinator Advertorial Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca