KAMPUNG saya pada sekitar awal tahun 1970-an belum ada bekalan elektrik. Sumber lampunya adalah pelita minyak tanah atau pelita ‘cemeni’. Kalau ada majlis kenduri dan keramaian, lampu gasolin digunakan. Radio pula menggunakan sel... Klik di sini untuk terus membaca

KAMPUNG saya pada sekitar awal tahun 1970-an belum ada bekalan elektrik. Sumber lampunya adalah pelita minyak tanah atau pelita ‘cemeni’. Kalau ada majlis kenduri dan keramaian, lampu gasolin digunakan. Radio pula menggunakan sel kering, televisyen memang tiada.

"Satu-satunya rumah yang ada televisyen di kawasan itu hanyalah di kampung sebelah, rumah ketua kampung atau ketua parti. Televisyen hitam putih sebab ketika itu belum ada televisyen warna. Sumber karannya daripada enjin kubota. Kalau malam Sabtu, ketika ada tayangan gambar Melayu penuhlah segala ruang rumah itu dengan penonton yang datang dari kampung itu dan kampung-kampung berdekatan. Bayarannya, 10 sen seorang. Selepas siaran berceceran kencing anak-anak kecil. Lampin pakai buang pun belum ada,” cerita seorang rakan.

Saya lalui pengalaman itu. Tetapi seperti kanak-kanak lain yang sezaman, saya sangat biasa dengan televisyen hitam putih. Pada masa itu, seingat saya, tidak ada televisyen berlayar lebar seperti sekarang. Paling besar pun mungkin 24 inci. Yang saya biasa tengok, televisyen itu berkaki empat. Ada pintu gelongsor yang boleh dibuka dan ditutup.

Saiz televisyen itu besar gedabak. Sekali pandang nampak macam almari solek. Ia menggunakan aerial ala-ala ampai baju yang dipasang di atas bumbung.

Pada akhir tahun 1970-an muncul spesies televisyen transistor yang lebih mesra pengguna. Selain mudah dialih, aerialnya juga dipasang terus pada badan televisyen tersebut. Tetapi aerial itu harus dilaras-laraskan untuk mencari gelombang yang betul, jika tidak jenuh tengok ‘biji selasih’lah di skrinnya.

Bagi saya, pengalaman menonton televisyen hitam putih ini banyak manisnya. Paling tidak, kita lebih fokus pada apa yang ditayangkan. Tidaklah kita menyibuk warna baju si A tidak sepadan dengan warna seluarnya, solekan pada muka aktres itu tebal sangat, yang ini pula terlebih merah dan sebagainya. Yang kita nampak hanya hitam, putih, kelabu dan warna-warna tone berasaskan hitam putih sahaja.

Salah satu siri televisyen yang popular pada zaman kanak-kanak saya dahulu ialah Ultraman. Siri dari Jepun itu memang menjadi kegilaan kanak-kanak. Asal petang sahaja, ketika siri itu ditayangkan, masing-masing akan menganga di depan televisyen. Diajak ke mana pun pasti menolak. Maklumlah apa yang tersiar di televisyen pada masa itu jarang sangat diulang tayang.

Berbeza daripada yang ditayangkan di Astro sekarang ini. Kadangkala sehari semalam boleh diulang empat lima kali. Boleh bengkak biji mata kerana menonton program yang sama.

Kerana siaran televisyen pada masa itu hanya hitam putih, saya – dan tentunya budak-budak lain – tidak tahu warna sebenar pakaian watak-watak dalam cerita itu. Disebabkan itulah, pernah suatu masa saya melukis pakaian Urutoraman Kingu atau Ultraman King berwarna biru dengan jubah berwarna coklat; dua warna yang tiada kaitan langsung dengan pakaian watak tersebut.

Penarik

Televisyen hitam putih juga tentunya banyak menyelamatkan poket sebab secara langsung ia mengecilkan selera. Kita tidak teruja melihat warna-warna minuman yang menarik seperti sekarang sebab sama ada sirap, coklat, air oren atau kopi, warnanya tetap hitam, putih, kelabu.

Setakat manalah sangat terliurnya melihat warna minuman seperti itu. Lainlah sekarang, apabila tengok warna sirap yang merah menyala atau warna sirap bandung yang merah muda, manisnya sudah terasa sehingga ke tekak, lebih-lebih lagi jika pada waktu panas terik di bulan Ramadan!

Atas faktor yang samalah saya berpendapat kehendak para isteri pada masa dahulu tidak begitu banyak. Cita rasa mereka juga tidak terlalu tinggi. Paling lebih pun setakat merengek minta dibelikan mesin jahit. Pinggan mangkuk, sama ada yang muncul dalam iklan atau melalui adegan-adegan tertentu, tidak menjadi penggamit naluri sebab tanpa warna-warni, daya penariknya berkurangan.

Sebelum adanya televisyen warna seperti sekarang, masyarakat pada zaman 70-an dan awal 80-an menonton televisyen hitam putih yang ada pintu gelongsor yang boleh dibuka dan ditutup.

Bagi pelakon, penyanyi, model, penyampai berita dan sebagainya, televisyen hitam putih tidak memerlukan mereka disolek berlebih-lebihan. Kalau setakat muka berminyak sedikit, penonton tidak akan sempat perasan. Sekarang jangan cuba-cuba hendak bersolek ‘cincai-cincai’ begitu, silap haribulan jerawat sesat kelihatan bertabur penuh skrin!

Pada era televisyen hitam putih dahulu, saluran siaran cuma dua iaitu TV1 dan TV2. Jika tidak ada yang menarik di TV1, tukar keTV2. Jika tiada apa yang menarik juga, boleh terus masuk tidur. Kalau hendak menonton juga, pilih sahajalah satu antara dua saluran itu. Suka atau tak suka, tetap kena tengok. Tidak perlulah menghabiskan masa menekan-nekan punat alat kawalan jauh, lepas satu, satu lagi semata-mata untuk mencari rancangan yang berselera ditonton.

Siaran televisyen berwarna mula diperkenalkan di Malaysia pada sekitar tahun 1978. Tetapi ia tiba agak lambat di kawasan-kawasan luar bandar seperti di tempat saya. Lagipun harga televisyen itu dikatakan sangat mahal, mengikut ukuran pada masa itu, di mana gaji pokok lepasan ijazah pertama dengan kepujian pun hanya sekitar RM1,000.

Apabila televisyen berwarna mula masuk ke kampung-kampung, ia seolah-oleh meledakkan satu fenomena terutama dalam kalangan kanak-kanak. Itulah masanya kami menganga lama-lama di depan kaca televisysen.

Disebabkan bukan semua orang berkemampuan membelinya, maka rumah-rumah yang mempunyai televisyen berwarna menjadi tumpuan jiran tetangga. Jika yang datang itu ‘jenis yang tak reti nak balik-balik’, maka jenuhlah tuan rumah menguap sementara menunggu tetamu yang tidak diundang itu beredar.

Sekarang, semua itu tinggal kenangan.

Televisyen telah mengalami proses evolusi yang pantas. Daripada berat mengalahkan peti sejuk, kini sudah boleh diangkat dengan sebelah tangan. Daripada skrin tebal telah bertukar menjadi skrin nipis. Malah ada yang berskrin melengkung: sesuatu yang kita tidak pernah bayangkan pada masa dahulu. Bukan itu sahaja, ada juga ‘smart tv’ yang kadangkala menyebabkan kita, tuannya ini, menjadi ‘semak’.

Televisyen sekarang juga menyediakan pilihan siaran yang terlalu banyak. Sangat banyak. Beratus-ratus. Setiap satu dengan kelebihan dan keistimewaannya. Ironinya semakin hari kadar penontonnya semakin berkurangan.

Jika dahulu, waktu hitam putih orang berebut-rebut hendak tonton, sekarang ini orang menghadap skrinnya sekali-sekala sahaja. Itu pun kebanyakannya oleh angkatan yang berumur 40-an ke atas. Yang muda-muda, yang budak-budak, dunia mereka bukan di skrin televisyen tetapi di skrin telefon pintar.

Pintarkah mereka? Agaknya.

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar dengan nostalgia silam

Klik di sini untuk terus membaca