PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang terkenal dengan julukan ‘Raja Drama’ sekali lagi mencetuskan kontroversi menjelang hari-hari terakhir beliau di Rumah Putih apabila beliau berjaya memperdaya penyokongnya dengan dakwaan kononnya berlaku penipuan undi pada Pilihan Raya Presiden AS 2020.
Rusuhan ganas dicetuskan ribuan penunjuk perasaan pro-Trump ke atas bangunan Capitol itu turut ‘mendapat publisiti percuma’ apabila ia menjadi tajuk utama muka depan akhbar antarabangsa selain menerima kritikan kebanyakan pemimpin dunia pada Khamis.
Kebanyakan media antarabangsa juga memperlekeh tindakan bilionair hartanah tersebut yang mengancam demokrasi Amerika dan menghasut keganasan ketika Kongres sedang bersidang untuk mengesahkan kemenangan bakal Presiden ke-46 AS, Joe Biden.
‘Huru-hara’ dan ‘memalukan’ adalah perkataan yang paling banyak digunakan kebanyakan akhbar utama di Eropah untuk merujuk kepada insiden kekecohan yang mencalarkan imej AS kira-kira dua minggu sebelum tampuk pemerintahan negara itu diambil alih oleh Biden pada 20 Januari depan.
Akhbar Die Welt menerusi laporan ‘Hari Memalukan untuk Demokrasi Amerika’ menyifatkan AS berdepan cubaan rampasan kuasa yang ganas.
"Trump, pembohongannya dan parti Republikan yang lemah bertanggungjawab atas kejadian itu,” tegas wartawan yang menulis artikel itu, Clemens Wergin.
Di China, hashtag ‘Penyokong Trump serbu Capitol AS’ menjadi trending di laman blog mikro, Weibo dan mendapat sehingga 570 juta tontonan.
Pengguna media sosial turut membandingkan sokongan global terhadap protes prodemokrasi yang menyerbu Kompleks Majlis Perundangan di Hong Kong pada 2019 dengan kecaman ke atas perusuh pro-Trump.
"@SpeakerPelosi pernah menyebut demonstrasi di Hong Kong sebagai ‘pemandangan yang indah untuk dilihat’.
"Masih tidak jelas sama ada beliau akan menyatakan perkara sama dengan situasi huru-hara di Capitoll Hill?” sindir Global Times menerusi Twitter merujuk kepada kenyataan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi pada Jun 2019.
Rusia turut mempertikaikan sistem ‘kuno’ pilihan raya AS yang didakwa tidak mematuhi standard demokrasi dan pempolitikan media harus dipersalahkan atas perpecahan rakyat dan rusuhan ganas yang tercetus di Washington.
"Sistem pilihan raya di AS mewujudkan lebih banyak peluang untuk berlaku pelanggaran seperti itu dan media Amerika telah dijadikan alat perjuangan politik,” kata jurucakap Kementerian Luar, Maria Zakharova.
Jerman yang mengikuti perkembangan di AS memaklumkan ia akan meningkatkan perlindungan keselamatan di Bundestag selepas bangunan Parlimen terbabit pernah berdepan insiden kumpulan protes yang cuba menceroboh masuk premis tersebut pada musim panas lalu.
Pencerobohan ke atas bangunan Capitol kini meletakkan AS yang merupakan negara kuasa besar dunia kini berada ‘sekumpulan’ dengan Guatemala, Armenia dan Kyrgyzstan yang berdepan kejadian rusuhan menyasarkan Parlimen pada tahun lalu.