SHAH ALAM - Ekonomi dan kesihatan merupakan dua perkara berbeza, namun kedua-duanya dilihat sama penting terutamanya ketika pandemik Covid-19. Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ekonomi dan kesihatan merupakan dua perkara berbeza, namun kedua-duanya dilihat sama penting terutamanya ketika pandemik Covid-19.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, namun dalam memastikan kes Covid-19 dapat diturunkan, kerajaan memerlukan sedikit pengubahsuaian dalam pendekatan berkenaan.

Beliau berkata, tidak dinafikan dari segi kesihatan awam, dalam situasi negara masih belum memperoleh vaksin, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah langkah terbaik untuk memastikan rantaian jangkitan dapat diputuskan.

Namun katanya, PKP yang perlu dilakukan kali ini perlu disesuaikan untuk membolehkan aktiviti ekonomi tidak terhenti.

"Berbanding dengan situasi PKP pusingan pertama yang pernah kita lalui sebelum ini yang didapati menyebabkan kerugian yang besar dalam sektor berkenaan, PKP pada gelombang ketiga ini perlu dilaksanakan secara bersasar.

"Hanya libatkan kawasan yang mempunyai kes-kes yang tinggi serta kawasan distratifikasikan (stratified) sebagai berisiko mengalami jangkitan mendadak akibat tingkah laku pencegahan negatif yang tidak terkawal iaitu gagal patuh prosedur operasi standard (SOP).

"Definisi zon merah perlu ditafsirkan menurut lokaliti setempat, bukan secara 'blanket' dilaksanakan secara menyeluruh dalam sebuah mukim atau daerah atau negara.

"Di sebahagian negara, ia dilaksanakan mengikut kawasan dalam lingkungan radius dua kilometer dari kawasan wabak,” katanya di sini pada Sabtu.

Dr Malina berkata, PKP juga perlu mengambil kira sama ada sesuatu SOP itu mempunyai badan pemantau ataupun hanya berdasarkan tanggungjawab kendiri.

Menurutnya, kesepakatan dalam melaksanakan keizinan untuk bergerak atau melaksanakan aktiviti perlu selaras, yang mana seandainya aktiviti ekonomi dibenarkan dengan pemantauan, maka aktiviti lain juga sepatutnya dibenarkan.

Katanya, bagi aktiviti yang mempunyai SOP dengan pemantauan yang cemerlang seperti aktiviti di masjid, ia wajar diteruskan oleh zon berkenaan walaupun dari segi definisi angka ia adalah zon merah.

"Satu lagi berkaitan institusi pendidikan, saya berpendapat sektor pendidikan sepatutnya tidak ‘bercuti’ terlalu lama.

"Sama seperti sektor ekonomi, ia wajar diteruskan di kawasan yang dikenakan TEMCO (Bersasar Secara Pentadbiran) dengan syarat ada badan pemantau, saringan yang ketat serta memperuntukkan tahun pengajian akhir atau yang menghadapi peperiksaan atau secara bergilir mengikut tahun pengajian/persekolahan,” katanya.

Dr Malina berkata, usaha komprehensif menangani pandemik yang kian getir ini perlu merangkumi aspek ekonomi, rohani (ibadah) serta pendidikan bagi mengelakkan implikasi terhadap salah satu isu berkenaan dengan lebih buruk.

Beliau berkata, bagi zon hijau, mereka sepatutnya dibenarkan menjalankan aktiviti harian tanpa sekatan dan pada masa yang sama usaha berterusan memastikan zon tersebut kekal hijau wajar dilaksanakan melalui ujian saringan dan tindakan kuarantin untuk mereka yang masuk dari zon merah.

"Secara kesimpulannya, kita memerlukan PKP untuk menurunkan jangkitan, namun skop perlu disasarkan pada kawasan yang mempunyai kes yang tinggi sahaja (lingkungan kawasan merah bukan ‘blanket’ mengikut mukim) dan ia perlu tertumpu kepada aktiviti yang tidak mempunyai sistem pemantauan SOP yang berkesan.

"Ia tidak wajar dilaksanakan ke seluruh negara atau negeri sehingga menyebabkan banyak aktiviti kehidupan oleh individu yang berkaitan tidak dapat diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Malina memberitahu sehingga Jumaat, kumulatif kes Covid-19 aktif yang dicatatkan ialah 25,140 kes berbanding angka tertinggi semasa gelombang kedua lalu iaitu sebanyak 2,569 kes.

Oleh itu, katanya, kes aktif yang perlu dikendalikan oleh petugas barisan hadapan adalah 10 kali ganda berbanding angka yang dihadapi sebelum ini.

"Seandainya peningkatan kes terus berlaku, angka mungkin melepasi paras ambang sehingga membawa kepada keadaan ia di luar kawalan pengendalian oleh barisan hadapan,” kata Dr Malina.

Tegasnya, pada masa ini semua individu diharapkan dapat memainkan peranan aktif dan drastik bagi mengelakkan jangkitan serta membolehkan kes-kes baharu dapat diturunkan, selain pematuhan SOP perlu dilaksanakan bersungguh-sungguh.

Katanya, ia adalah isu yang perlu masyarakat hadapi, bukan isu orang lain dan bukan hanya merupakan isu yang harus diserahkan kepada kerajaan sahaja.

Klik di sini untuk terus membaca