SURVIVAL Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Malaysia dispekulasi akan berdepan dengan ancaman penutupan gara-gara kemerosotan jumlah kemasukan murid-murid baharu sejak beberapa tahun yang lalu. Baru-baru ini pihak kerajaan melalui... Klik di sini untuk terus membaca

SURVIVAL Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Malaysia dispekulasi akan berdepan dengan ancaman penutupan gara-gara kemerosotan jumlah kemasukan murid-murid baharu sejak beberapa tahun yang lalu.

Baru-baru ini pihak kerajaan melalui satu laporan membongkar telah mengenal pasti sejumlah SJKT memiliki jumlah murid kurang daripada 10 orang yang kemungkinan besar bakal ditutup.

Spekulasi SJKT di negara ini berhadapan dengan ancaman penutupan menjadi agak kencang apabila akhbar harian Makkal Osai melaporkan bahawa seramai 281 guru di SJKT sudah diberhenti kerja.

Figura pendidik terkenal, Profesor Datuk Dr N S Rajendran dalam laporan Makkal Osai berkata, Kementerian Pendidikan telah merekodkan sejumlah 281 guru-guru SJKT telah kehilangan karier dan punca pendapatan mereka.

Lebih membimbangkan adalah kesemua guru diberhenti kerja dan pintu rezeki mereka ditutup buat selama-lamanya itu meneruskan kelangsungan hidup masing-masing tanpa sebarang khabar tentang nasib seterusnya.

Rajendran menjelaskan bahawa sejumlah 281 guru-guru SJKT tersebut terpaksa diberhenti kerja puncanya daripada kemerosotan kemasukan jumlah murid ke sekolah vernakular Tamil pada sesi persekolahan baharu saban tahun.

Laporan Kementerian Pendidikan berkenaan memaparkan pada tahun 2018 jumlah guru di SJKT telah direkodkan sebanyak 9,154 dan angka itu susut kepada 8,873 pada tahun 2019.

Penyusutan jumlah guru di SJKT itu bagi tahun 2020 dan 2021 turut dijangka akan berterusan.

Dalam pada itu, menurut Makkal Osai jumlah murid di SJKT pada tahun 2018 dari Tahun 1 hingga Enam adalah sebanyak 81,488 orang murid manakala pada tahun 2019 pula ia dicatatkan sebanyak 81,321 orang murid.

Kekurangan sebanyak 167 orang murid itu sememangnya mengundang masalah besar pada realitinya kepada survival dan pembangunan sekolah vernakular Tamil.

Tambahan pula, senario itu juga merampas peluang pekerjaan sebagai guru daripada graduan-graduan dalam kalangan masyarakat India.

Akhbar-akhbar Tamil setempat yang diibaratkan sebagai wadah suara minoriti masyarakat India telah mengisytiharkan satu kempen khas untuk membela survival SJKT.

Kempen istimewa bertemakan Sekolah Tamil Pilihan Kita dan Bela Sekolah Tamil itu turut menerima pujian daripada masyarakat India kerana dikerahkan tepat pada masanya.

Masih tinggal 10 hari lagi untuk takwim sesi persekolahan baharu bermula, jadi kempen seumpama itu tentu dapat memberi kesedaran dan dorongan kepada para ibu bapa untuk memilih sekolah Tamil.

Pelbagai pihak terutama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ahli akademik, parti politik, para pemimpin masyarakat India dan golongan generasi mudah turut tampil untuk menularkan inisiatif kempen khas berkenaan.

Sementara itu, golongan elit yang terdiri daripada barisan jutawan, pengusaha perniagaan gergasi, para usahawan berjaya dalam kalangan masyarakat India turut dipelawa untuk memelihara sekolah vernakular Tamil.

Penglibatan golongan T20 itu amat diperlukan dari segi pemberian peruntukan ataupun sumbangan kewangan supaya SJKT tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada pihak kerajaan sebaliknya dapat berdiri sendiri.

Kumpulan T20 tersebut boleh melabur dalam membantu SJKT didirikan di tanah hak milik usahawan dan jutawan India, ironinya usah menunggu giliran untuk memperoleh tanah hak milik kerajaan yang menuntut tempoh masa lama.

Sekolah vernakular Tamil merupakan lambang kegemilangan masyarakat minoriti India di negara ini, justeru singkir sikap sentiasa bergantung kepada pihak kerajaan untuk memeliharanya.

Sebaliknya bangkit untuk membangunkan SJKT dengan solidariti masyarakat India tersendiri.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor

Klik di sini untuk terus membaca