FOKUS dan semangat barisan atlet negara dalam misi memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetap tinggi biarpun dunia kini masih diancam pandemik Covid-19.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, setiap atlet negara tetap menanam azam untuk melayakkan diri ke Tokyo sekalipun mereka terpaksa ‘berehat’ panjang tahun lalu.
"Saya percaya atlet-atlet masih mempunyai keazaman dan semangat berkobar-kobar untuk melayakkan diri secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo.
"Selepas hampir setahun kebanyakan atlet kita tidak beraksi di peringkat antarabangsa, saya yakin mereka mahu menjadikan tahun 2021 ini sebagai tahun kebangkitan.
"Setakat ini, seramai 12 atlet telah layak ke Olimpik dan saya yakin jumlah itu akan bertambah menjelang Sukan Olimpik Tokyo Julai depan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sukan Olimpik Tokyo 2020 dijadualkan berlangsung mulai 23 Julai hingga 8 Ogos depan, genap setahun daripada tarikh asal penganjuran Sukan Olimpik tahun lalu.
Di kem Malaysia, seramai 12 atlet sudah mengesahkan tiket Olimpik 2020 secara merit, masing-masing empat daripada sukan terjun dan empat lagi dalam acara pelayaran.
Sukan memanah dan gimnastik artistik juga mempunyai seorang wakil setakat ini.
Tumpuan sudah pasti disandarkan kepada jagoan berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang.
Tanpa kelibat jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei yang sudah bersara, prospek emas kini disandarkan kepada Azizulhasni.
Selepas membawa pulang pingat gangsa dari bumi Brazil pada edisi 2016, Sukan Olimpik Tokyo 2020 dianggap platform terbaik Azizulhasni untuk menjelmakan kilauan emas sulung buat Malaysia.
Pada masa sama, Mohamad Norza berharap arena sukan Malaysia akan kembali menyinar tahun ini di sebalik krisis ketidaktentuan ekoran pandemik Covid-19.
"Sebagai seorang pentadbir dan penggiat sukan negara, sudah pasti saya mengharapkan industri sukan bukan sahaja di Malaysia, malahan di peringkat antarabangsa kembali aktif.
"Jadi marilah sama-sama kita berdoa agar dunia tidak lagi diancam pandemik Covid-19 seterusnya industri sukan kembali berlangsung seperti biasa,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca