MERAK Jalanan setuju dengan pandangan beberapa pemimpin politik yang menggesa Kementerian Pendidikan supaya menangguhkan sesi persekolahan yang sepatutnya bermula pada 20 Januari ini kerana lebih banyak keburukan berbanding kebaikan jika murid-murid dibenarkan ke sekolah sedangkan orang dewasa kini lebih banyak bekerja dari rumah.
Orang dewasa juga masih gagal menjaga SOP hinggakan kes harian Covid-19 'meroket' hampir setiap hari.
Sebenarnya, dalam tempoh getir itu, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mengambil alih seketika tugas guru mendidik anak masing-masing.
Banyak idea atau peluang tersedia di internet untuk dijadikan panduan bagaimana untuk mendidik anak supaya mereka dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah.
Anak-anak boleh diajar skil-skil baharu seperti bermain alat muzik, memasak, menghafal sifir dan juga menghafaz surah-surah dalam al-Quran.
Banyak aktiviti yang boleh dirancang ibu bapa supaya masa lapang anak-anak terisi dengan ilmu baharu.
Pendidikan bukan semata-mata silibus tetapi kemahiran baharu juga ilmu yang berguna untuk mereka.
Bagi ibu bapa yang sibuk bekerja, mereka boleh memberikan tugasan untuk disiapkan mengikut tempoh tertentu yang dapat disemak pada hari ibu bapa tidak bekerja.
Bagi mereka yang berada di kawasan pedalaman yang tiada akses internet atau sebagainya, anak-anak boleh diajar kemahiran untuk bertani, kraf tangan dan kemahiran baharu supaya mereka tidak tertekan dengan situasi semasa.
Pendek kata, semuanya bergantung kepada ibu bapa bagaimana hendak mencorakkan anak masing-masing agar tidak mensia-siakan masa yang ada.
Inilah masanya untuk membuktikan bahawa ibu bapa juga mampu mencorak anak-anak dengan skil dan kemahiran baharu untuk kepentingan masa depan mereka.
Klik di sini untuk terus membaca