MERAK Jalanan geram betul dengan perbuatan sesetengah orang yang suka menyebar fitnah di media sosial.
Apatah lagi pada saat semua orang termasuklah Merak Jalanan sendiri sedang cemas dengan kes Covid-19 yang semakin menular dengan angka kes baharu yang mencanak setiap hari.
Beberapa hari lalu tular satu video yang menunjukkan seolah-olah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Maeps, Serdang sesak dengan pesakit.
Merak Jalanan yang tengok video itu pun terfikir, kalau positif memang tidak mahulah ke sana. Macam mana nak tidur, nak makan, nak ke tandas, nak solat...eh macam-macamlah difikirkannya.
Sehari selepas video itu viral, tidak disangka dua rakan sekerja Merak Jalanan menjadi pesakit Covid-19 dan terpaksa dikuaratin di sana.
Dalam bertanya khabar, sempat juga Merak Jalanan menyelidik mengenai keadaan di sana.
Ternyata apa yang digambar menerusi video yang tular itu tidak benar sama sekali.
"Layanan tip top. Sarapan makan nasi goreng, makan tengah hari lauk ayam. Tandas pun bersih. Warga asing pun tidak dicampur-campur dengan pesakit tempatan.
"Tempat lelaki depan sahaja penuh, sebelah belakang tidak ramai orang. Ibaratnya masih separuh kosong di Maeps ini,” kata kawan Merak Jalanan itu yang sebelum ini tidak menunjukkan sebarang simptom.
"Frontliners pun baik-baik, kalau tak sihat terus terus pergi ke kaunter ambil ubat. Cuma kepada sesiapa yang nak check-in sini, bawalah jaket atau selimut tebal sebab sejuk sungguh, aircond dia kuat. Tidur menggigil,” kongsi seorang lagi rakan Merak Jalanan.
Merak Jalanan tidak pasti apa niat perakaman video itu, tetapi sebaiknya berhentilah berbuat demikian. Ia memburukkan imej sistem kesihatan negara dan lebih teruk menjatuhkan semangat frontliners serta menakutkan pesakit Covid-19 yang lain.
Klik di sini untuk terus membaca