HUJAN lebat tanpa henti, pasti banjir bakal melanda. Begitu juga dengan krisis dalaman sesebuah negara, jika ia berlarutan, keselamatan negara akan terancam dan rakyat pula menanggung bebannya.
Malaysia sejak dua tiga tahun lalu berdepan dengan beberapa siri krisis politik yang seakan tidak surut walaupun seketika.
Bila satu pihak sudah tutup mulut, muncul pihak lain yang bersuara dan tak kurangnya ada satu lagi pihak memulakan langkah mencetuskan krisis politik bagi episod baharu.
Baik dan buruknya politik bergantung kepada cara ahli politik mengendalikan sesuatu isu melibatkan kepentingan rakyat. Politik keterlaluan menyebabkan semua isu menjadi mainan ahli politik untuk berbahas dan bertelagah sesama sendiri terlebih dahulu berbanding mencari solusi segera.
Rakyat mengundi pada pilihan raya umum (PRU) kerana mahu memilih ahli politik yang mereka yakin dapat membentuk kerajaan stabil. Tiada harapan lain, rakyat ingin menjalani kehidupan dengan ekonomi lebih baik dalam suasana aman dan selamat.
Majoriti rakyat mencari rezeki bukan dalam pekerjaan berkaitan politik. Namun survival kebanyakan pekerjaan bergantung kepada kestabilan politik negara yang dikendalikan oleh kelompok kecil yang menjana pendapatan sebagai ahli politik.
Tersilap langkah, kelompok rakyat yang ramai itu menanggung akibat dan terpaksa membuang masa memikirkan hal-hal berkaitan politik ketika jumlah pendapatan mereka semakin mengucup.
Apabila krisis politik berlarutan, fikiran rakyat menjadi kusut dan akhirnya mereka meluahkan rasa meluat. Ahli politik yang ikhlas berjuang untuk rakyat juga dianggap sudah tidak memberi manfaat.
Rakyat faham bahawa sebagai ahli politik, sememangnya kerja ahli politik adalah berpolitik. Tetapi bukanlah berpolitik sepanjang masa.
Apa yang rakyat mahu politik yang baik. Sama seperti pekerjaan lain, adakah kita lebih suka jadi pekerja yang gemar melakukan perkara tidak baik?
Jangan kerana seorang ahli politik buat hal, habis satu parti dituduh melakukan kerosakan. Ahli politik orangnya bijak, matang dan bersifat membantu maka laksanakan tugas yang diamanahkan demi agama, bangsa serta negara.
Pandemik Covid-19 bukan sahaja melanda Malaysia tetapi seluruh dunia. Tunjukkan kemampuan negara ini mampu memerangi penularan Covid-19 lebih baik daripada negara lain.
Ya, ahli politik mahukan kuasa. Namun mengutamakan kuasa ketika dalam tempoh rakyat bergelut dengan ancaman wabak, bukan satu perbuatan yang mulia di mata rakyat.
Sekiranya rakyat mahu menukar kerajaan, tetapi tidak memilih untuk diadakan PRU pada masa ini.
Vaksin Covid-19 juga mengambil tempoh masa hampir setahun untuk diagihkan kepada rakyat. Bersabarlah dulu ahli politik kerana PRU15 pasti akan tiba.
Pengisytiharan darurat membuktikan kita sudah berada di fasa genting dalam membendung penularan pandemik yang semakin parah. PKP yang turut diumumkan bukan sahaja kepada rakyat tetapi kepada ahli politik iaitu Perintah Kawalan Politik.
Tidak kurangnya ada sebilangan rakyat yang menganggap darurat adalah langkah mengekang kewujudan episod baharu krisis politik.
Jika darurat juga tidak mampu menyuramkan krisis politik negara, maka apa pula yang akan berlaku selepas ini?
Virus Covid-19 sedang mengancam kehidupan dan nyawa rakyat. Duit dalam poket rakyat semakin menipis, maka sedar-sedarlah ahli politik. Rakyat amat mengharapkan anda.
* Mohd Ridzuan Abu Hassan ialah wartawan Sinar Harian Edisi Nasional
Klik di sini untuk terus membaca