SELURUH Malaysia sudah mengetahui keretakan hubungan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sejak berkongsi kuasa melalui penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak tahun lalu.
Namun gerakan politik terkini UMNO untuk menyingkirkan Bersatu dengan segera sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pastinya menarik perhatian banyak pihak.
Ia bermula dengan lebih 180 UMNO bahagian di seluruh negara mengemukakan usul menolak parti diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu pada 3 Januari lalu.
UMNO dan Barisan Nasional (BN) kemudiannya bertindak memecat Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa daripada jawatan Setiausaha Agung BN dan Muafakat Nasional (MN) kerana dilihat terlalu condong kepada Bersatu.
UMNO seolah-olah tidak menoleh ke belakang lagi apabila berterusan mendesak Muhyiddin meletak jawatan dan membubarkan Parlimen dengan tiga ahli Parlimen mereka menarik sokongan terhadap kerajaan PN.
Bagaimanapun, usaha parti itu terbantut apabila proklamasi darurat diumumkan kerajaan PN pada Rabu, sekali gus menyaksikan sidang Parlimen digantung dengan PRU tidak akan dilaksanakan sekurang-kurangnya sehingga bulan Ogos hadapan.
Dalam keghairahan UMNO menuntut PRU dipercepatkan, spekulasi parti itu mahu membentuk gabungan baharu dengan parti pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin kuat diperkatakan.
Spekulasi itu secara tidak langsung menyebabkan perpecahan dalam parti itu dilihat semakin kritikal.
Hal ini ditambah dengan kewujudan satu kelompok pemimpin yang cenderung menyokong pengekalan kerjasama kerajaan PN yang turut disertai Pas.
Senario perpecahan dalaman UMNO diceritakan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo bahawa parti itu kini berdepan dilema mendepani perbezaan pandangan daripada tiga kelompok pemikiran berlainan.
Jelasnya, tiga kelompok UMNO berkenaan adalah terdiri kumpulan yang mahu bergerak bersendirian pada PRU15, kumpulan mahu kekal bersama PN dan satu lagi kumpulan menuntut penjajaran politik baharu dengan parti pembangkang.
"Kewujudan tiga kelompok yang bertentangan dalam UMNO pada ketika ini menyebabkan masalah dalaman semakin parah, sekali gus melemahkan parti bagi menghadapi PRU akan datang.
"Pandangan saya, langkah terbaik, pemimpin UMNO tidak perlu dispute, kita selesaikan melalui pemilihan UMNO. Kalau rasa Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tidak bagus, ahli boleh tentukan siapa yang lebih layak untuk jadi Presiden.
"UMNO perlu mempercepatkan pemilihan parti sebelum PRU15 bagi menyelesaikan konflik dalaman yang semakin kritikal,” katanya kepada Sinar Harian.
Secara tradisinya, proses pemilihan UMNO, sama ada di peringkat akar umbi sehingga pucuk kepimpinan parti kebiasaannya diadakan selepas pelaksanaan sesebuah pilihan raya.
Bagaimanapun, Mohamad Khir menegaskan usaha menyegerakan pemilihan UMNO penting bagi membolehkan lebih 3 juta ahli akar umbi menentukan mandat dan hala tuju baharu parti bagi mendepani PRU15.
"Ketika ini bukan sahaja akar umbi parti, bahkan rakyat pun tidak jelas dengan hala tuju sebenar UMNO sama ada mahu bersendirian, kekal dalam PN atau bergabung dengan pembangkang bagi menghadapi pilihan raya.
"Dengan PRU15 dijangka diadakan sejurus bekalan vaksin diedarkan pada hujung Februari, saya fikir pemilihan parti boleh diadakan sekitar bulan Julai atau Ogos.
"Kelak, bila akar umbi sudah memutuskan ke mana hala tuju parti yang ingin dipilih, semua pemimpin kena akur dengan keputusan itu dan kembali bersolidariti,” katanya.
Mengenai tuntutan PRU pada saat Covid-19 semakin kritikal, Mohamad Khir turut tidak bersetuju dan menyifatkan darurat sebagai jalan terbaik meredakan konflik politik negara yang tidak berkesudahan.
"Bila kita sudah janjikan sokongan kepada kerajaan PN sehingga PRU15, tunaikan sahaja janji. Jangan tambah masalah sedia ada. Jangan sampai rakyat kata kita gila kuasa,” katanya.
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman turut menyokong pendapat Mohamad Khir itu.
Menyifatkan masalah dalaman UMNO sudah sampai ke kemuncak disebabkan kepimpinan lemah, Abdul Aziz bersetuju sudah sampai masanya parti Melayu terbesar itu menerima mandat baharu daripada akar umbi.
"Cuma budaya pemilihan UMNO itu perlu diubah dan dihindari daripada politik wang atau pengaruh warlords.
"Proses pemilihan yang suci akan menentukan kesucian UMNO itu sendiri. Kalau budaya politik wang masih menjadi amalan dan pilihan, UMNO tidak akan berubah sampai bila-bila,” katanya.
Nada lebih keras disuarakan seorang tokoh veteran UMNO dengan menggesa mana-mana pemimpin bermasalah segera mengundurkan diri dan memberi lebih ruang kepada pemimpin lebih berkelayakan demi kelangsungan politik parti itu sendiri.
"Sekarang ini, soal beralah kepada yang pemimpin lebih layak menjadi masalah besar dalam UMNO kerana ada yang tidak mahu beralah.
"Ini namanya tidak bertimbang rasa, tidak kasihan dengan parti dan bersifat bodoh sombong. Akar umbi sepatutnya kena tahu beza mana kaca dan mana permata,” kata Penasihat UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar Selangor turut mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya tidak mengulangi kesilapan sewaktu PRU14 dengan hanya mengangkat pemimpin popular dalam parti sahaja, sedangkan calon tersebut ditolak rakyat.
"Soal sama ada pemilihan UMNO perlu disegerakan, itu saya serah kepada ahli-ahli parti.
"Kalau mahu winnable leadership, mereka akan buat ikut cara yang betul. Kalau mahu kalah PRU, kekalkan sahaja yang mana ada,” katanya.
Di sebalik desakan keras UMNO untuk menarik sokongan kerajaan PN dan menolak Bersatu, penganalisis politik veteran, Profesor Dr Hoo Kee Ping optimis parti Melayu itu akan mengekalkan kerjasama dengan Pas dan Bersatu bagi menghadapi PRU15.
Lebih menarik, gabungan tiga parti berkenaan dijangka mampu memenangi PRU15 dengan majoriti dua pertiga sekalipun pertembungan tiga penjuru untuk sebilangan kecil kerusi Parlimen antara mereka, tidak dapat dielakkan.
"UMNO sememangnya menyedari faktor Pas menyebabkan UMNO dan rakan komponen dalam BN, MCA kehilangan lebih 50 kerusi Parlimen kepada pembangkang pada PRU14.
"Mahu atau tidak, UMNO terpaksa mengekalkan kerjasama dengan PN kerana faktor kekuatan Pas mampu menghancurkan parti itu sekiranya mereka bersendirian atau bentuk jajaran baharu,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca