SESI persekolahan yang sepatutnya dibuka pada 20 Januari ini terpaksa ditunda berikutan keadaan semasa jangkitan Covid-19. Pengumuman Kementerian Pendidikan itu ternyata meresahkan banyak pihak terutama ibu bapa. Mengikut pengamatan... Klik di sini untuk terus membaca

SESI persekolahan yang sepatutnya dibuka pada 20 Januari ini terpaksa ditunda berikutan keadaan semasa jangkitan Covid-19. Pengumuman Kementerian Pendidikan itu ternyata meresahkan banyak pihak terutama ibu bapa.

Mengikut pengamatan penulis, golongan ibu lebih banyak meluahkan rasa kecewa di media sosial berbanding bapa. Selepas mengorbankan masa membeli peralatan sekolah seperti baju, kasut, beg dan alat tulis, semuanya itu perlu disimpan dahulu.

Berkorban masa dan tenaga membeli pakaian dan peralatan sekolah baharu bukan menjadi masalah kepada ibu bapa. Masalah lebih besar yang bakal menanti ialah soalan bertubi-tubi daripada anak-anak yang ‘bersemangat’ luar biasa setelah sekian lama ‘bercuti’.

Penulis mempunyai seorang anak perempuan yang akan memasuki Tahun Satu pada 2021. Dia sudah tidak sabar hendak ke sekolah. Dia juga sudah siap menanda tarikh 20 Januari di kalendar untuk bangun awal pagi ke sekolah.

Penulis tidak banyak ilmu keibubapaan tetapi apa yang dipraktikkan ialah penulis hidangkan dahulu video-video yang boleh difahami mengenai bahaya Covid-19, kesan dan akibat sekiranya penyakit itu menjangkiti seseorang.

Daripada situ, penulis akan terangkan kepada anak mengapa sesi persekolahan secara bersemuka belum boleh dilakukan buat masa ini. Video yang mudah dan ringkas difahami amat membantu untuk menjawab persoalan anak-anak yang masih belum mengerti.

Berdasarkan pemerhatian penulis, ibu lebih banyak memainkan peranan mendidik dan mengajar berbanding bapa. Penulis tidak berniat untuk bersikap diskriminasi gender, namun itu adalah berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh kebanyakan ibu-ibu di dunia ini.

Tidak hairanlah lebih banyak golongan ibu yang berkongsi keluhan sebaik berita penangguhan sesi persekolahan dan mewajibkan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) oleh Kementerian Pendidikan. Nak mengajar anak di rumah bukan semudah yang disangka.

Tidak keterlaluan jika penulis katakan ada ibu yang mengajar dalam keadaan sudip masih di tangan, apron di badan atau mungkin juga ada yang berdepan tragedi sambal hangit di dapur dek kerana penangan mengajar anak di rumah.

Belum lagi terpaksa berdepan pelbagai kerenah anak-anak yang tidak mudah fokus - sekejap mahu ke tandas, mahu menonton televisyen. Tak sampai lima minit belajar sudah mengantuk walhal si bapa sibuk ‘menelaah’ telefon pintar.

Keadaan itu boleh menekan emosi ibu dan tidak hairanlah jika ada dalam kalangan mereka bertukar menjadi ‘hijau’ atau haiwan-haiwan jadian yang lain gara-gara tidak mampu menahan sabar.

Perlu diakui kaedah ibu bapa mengajar di rumah dan guru-guru di sekolah tidak sama. Di sekolah secara automatik anak-anak akan mendengar arahan dan akan lebih fokus.

Bukan kerana cikgu garang, kerana situasi yang berbeza antara di rumah dengan di sekolah membentuk keperibadian mereka secara semula jadi.

Sering kita dengar ibu bapa berkata, ‘anak saya di rumah lain, di sekolah lain.’ Ya, itulah yang sebetulnya berlaku kerana sekolah adalah sebuah institusi penting bukan sekadar untuk mendidik ia berperanan besar dalam mewujudkan keseimbangan dalam kalangan masyarakat.

Dalam situasi sekarang, mahu tidak mahu kita terpaksa berdepan juga dengan perubahan norma. Mungkin sukar, namun penulis percaya kesukaran mengajar anak di rumah boleh ditangani dengan baik sekiranya ibu bapa memainkan peranan itu secara bersama.

Usah diletakkan sepenuhnya kerja-kerja menguruskan rumah tangga dan mengajar anak di bahu ibu semata-mata kerana bapa juga turut memainkan peranan bahkan memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam mengemudi sesebuah rumah tangga termasuk mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak.

Jika boleh nombor telefon kedua-duanya perlu dimasukkan ke dalam grup WhatsApp sekolah anak-anak supaya lebih peka berhubung tugasan baharu dan maklumat terkini yang disalurkan oleh guru kelas atau pihak sekolah.

Ingat. Tugas membentuk sahsiah dan mendidik anak-anak bukanlah sepenuhnya terletak di bahu insan yang bergelar ibu, isteri dan wanita semata-mata.

* Norhaspida Yatim ialah wartawan Sinar Harian Edisi Terengganu

Klik di sini untuk terus membaca