"ELOK kita selesai cara keluarga.” Itu gesaan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi dalam menyelesaikan isu salah faham antara pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman dengan FAM dan Liga Bola Sepak... Klik di sini untuk terus membaca

"ELOK kita selesai cara keluarga.”

Itu gesaan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi dalam menyelesaikan isu salah faham antara pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman dengan FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung kedudukan kelab dari pantai timur itu.

Menurut Mohd Yusoff, masalah yang timbul sejak beberapa hari itu mampu diselesaikan secara baik sekiranya semua pihak terlibat dapat berkumpul di meja rundingan.

"Orang macam Zamsaham (Norizam) tidak ramai. Kita sedar tidak ramai yang mahu melabur duit mereka sendiri dengan banyak.

"Keluarga bola sepak tempatan tentu menyambut baik kehadiran tokoh seperti Zamsaham untuk mewarnai dan membantu industri bola sepak negara.

"Eloklah kita selesaikan salah faham ini dengan cara baik. Saya diberi mandat untuk menjemput Norizam berbincang dengan baik bersama (Setiausaha Agung FAM) Stuart (Ramalingam) dan Datuk Ghani (Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan) dalam tempoh terdekat,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau turut menegaskan, kemelut itu berpunca daripada salah faham gara-gara laporan media yang tidak patut dibiarkan berpanjangan di saat industri bola sepak tempatan sedang bergelut dengan cabaran wabak Covid-19.

"Sebab itu saya serahkan kepada FAM dan MFL untuk berbincang dengan elok seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tidak berselerak,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca