SHAH ALAM - Stesen televisyen (TV) swasta disarankan bersama-sama memberi sumbangan bagi memantapkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kepada pelajar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini.
Pakar Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Hasnah Toran berkata, stesen TV swasta dicadangkan mewujudkan program TV pendidikan sebagai alternatif khususnya untuk membantu pelajar yang mempunyai masalah akses internet.
"Program pendidikan itu boleh disiarkan setiap hari dengan tajuk tertentu mengikut kategori umur pelajar.
"Program itu juga tak perlu lama, mungkin setengah jam sehari dengan menjemput pakar tertentu dalam bidang pendidikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Katanya, jika inisiatif ini dapat dilakukan stesen TV swasta, ia dapat membantu usaha Kementerian Pendidikan yang difahamkan juga akan menggemblengkan TV pendidikan bagi memastikan pelajar yang berada di rumah dapat belajar dan tidak ketinggalan dalam tempoh kritikal ini.
Sementara itu, Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Insan Akademi Profesor Malaysia, Profesor Dr Rosna Awang Hashim berkata, pemerkasaan komuniti secara komprehensif amat penting dalam membantu proses PdPR dapat dilaksanakan sebaiknya.
Katanya, pemerkasaan komuniti dimaksudkan adalah melibatkan kerjasama antara masyarakat, Jabatan Pendidikan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), sektor korporat, syarikat swasta termasuk syarikat telekomunikasi.
"Umpamanya pihak industri mungkin boleh bantu dari segi sumbangan kemudahan tablet asas untuk pelajar B40 belajar sementara syarikat telekomunikasi mungkin dapat membantu dari segi kemudahan capaian akses internet.
"Apabila komuniti yang ada ini dapat memainkan peranan mereka untuk membantu ibu bapa dan Kementerian Pendidikan, sekurang-kurangnya masalah PdPR dapat diselesaikan,” katanya.
Pensyarah di Jabatan Bahasa Dan Komunikasi, Pusat Pendidikan Asas Dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Che Hasniza Che Noh turut menyatakan kebimbangan apabila pelaksanaan PdPR ini dilihat akan memberi kesan besar kepada golongan pelajar kurang berkemampuan.
Beliau berkata, satu perkara yang amat penting untuk diberi perhatian adalah untuk memastikan tiada keciciran berlaku kepada mana-mana pelajar yang tidak mampu sama ada dari aspek kewangan, psikologi dan sebagainya.
"Kenal pasti juga pelajar yang mempunyai keluarga bermasalah yang sukar untuk belajar di rumah kerana persekitaran rumah yang tidak kondusif.
"Peranan kaunselor amat perlu bagi membantu pelajar tersebut dan kerajaan juga perlu memberi kemudahan pinjaman komputer serta langganan internet percuma untuk keluarga B40 yang memenuhi kriteria,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca