SHAH ALAM - Masalah peniaga kecil dan penjaja di negara ini dicengkam hutang pinjaman ah long atau ceti haram dan dianiaya sindiket berkenaan disebabkan kumpulan itu dilindungi segelintir anggota penguat kuasa undang-undang yang korup.
Peniaga burger kontroversi, Mohd Asri Hamid, 43, mendedahkan modus operasi sindiket pinjaman ah long ini bermula melalui operasi mesin judi haram sebelum berkembang menjadi sebuah syarikat pinjaman wang berlesen.
Menurutnya, hal ini diburukkan lagi dengan kerenah birokrasi sebilangan agensi kerajaan yang menyukarkan permohonan golongan peniaga kecil dan penjaja untuk membuat pinjaman perniagaan.
"Faktor utama ramai peniaga dan penjaja dibebani hutang ah long disebabkan mereka sukar membuat pinjaman daripada agensi kerajaan berkaitan dan bank.
"Modus operandi kewujudan sindiket ah long pula bermula dengan perniagaan mesin judi haram yang kemudiannya dikembangkan kepada bisnes pinjaman berlesen.
"Sindiket itu memang ada hubungan baik dengan segelintir anggota penguatkuasa undang-undang sewaktu menjalani bisnes judi haram lagi. Jadi tidak hairan mereka berani menganiaya dan menzalimi peniaga yang membuat pinjaman ah long,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Asri Janggut berkata demikian sewaktu mengulas mengenai impak amalan rasuah terhadap nasib peniaga dan penjaja kecil di negara ini.
Nama Mohd Asri yang juga pengasas Hot Burger Malaysia menjadi sensasi pada tahun lalu susulan pendedahan beraninya mengenai kegiatan judi di Sungai Buloh.
Mengulas lanjut Mohd Asri berkata, usaha menggempur operasi rangkaian sindiket ah long yang meluas ini perlu dimulakan dengan membersihkan agensi kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang daripada sebarang unsur rasuah.
Beliau turut mendakwa sebilangan anggota penjawat awam yang dipercayai membuat pinjaman ah long akhirnya ‘dipegang’ sindiket berkenaan setelah sukar melunaskan hutang.
"Bila mereka sudah dikawal, sindiket ah long kemudiannya menggunakan penjawat awam berkenaan untuk melicinkan aktiviti jenayah dibuat.
"Bagi saya, sebelum kita gempur operasi sindiket ah long, kerajaan kena selidik dahulu hasil kekayaan penjawat awam dan teliti semula gaya hidup mereka supaya mereka tidak terperangkap dengan amalan rasuah,” katanya.
Mohd Asri turut menyokong inisiatif kempen ‘Rasuah Busters’ yang dianjurkan Sinar Harian dan berharap usaha membanteras rasuah akan dapat direalisasikan sepenuhnya.
Klik di sini untuk terus membaca