HARIMAU Malaya bagaikan mendapat suntikan semangat menjelang Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 selepas dibenarkan menjalankan kem latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil secara kuarantin.
Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, perkhabaran itu jelas melegakannya selain memberikan ruang untuk pasukan negara membuat persiapan sekiranya saingan kelayakan tersebut tetap berlangsung Mac depan.
"Pertama sekali kami harus berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican). Tanpa usaha beliau, sudah tentu sukar bagi kami untuk kembali berlatih.
"Sememangnya saya sangat gembira kerana dibenarkan untuk memulakan latihan. Namun, buat masa sekarang kami masih berbincang dengan pihak FAM untuk menentukan tarikh untuk memulakan latihan.
"Setakat ini, kami belum bincang sama ada akan bermula latihan awal atau tidak dan kami akan melihat keadaan Covid-19 ini sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Terdahulu, Reezal Merican dalam satu kenyataan mengesahkan skuad bola sepak kebangsaan dibenarkan untuk menjalani kem latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN) dengan pendekatan kuarantin dalam masa terdekat.
FAM sebelum ini terpaksa membatalkan kem latihan pusat skuad Harimau Malaya yang sepatutnya dijadualkan berlangsung selama 10 hari bermula 16 hingga 25 Januari ini.
Ia susulan pihak kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kebanyakan negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor selama dua minggu mulai 13 Januari lalu.
Dalam pada itu, Cheng Hoe menjelaskan, barisan pemain sedia untuk menjalani latihan walaupun perlu melalui pendekatan kuarantin dan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.
"Jika kami perlu mengikuti pendekatan kuarantin dan SOP seperti yang dimahukan kerajaan, kami kena akur memandangkan ia melibatkan kesihatan semua pihak yang terlibat.
"Dalam masa sama, saya juga percaya semua pemain bersedia untuk menjalani latihan dalam pendekatan tersebut apatah lagi ia demi pasukan kebangsaan,” ujarnya.
Cheng Hoe turut memberikan bayangan beliau tidak akan melakukan rombakan besar dalam senarai pemain yang akan dipanggil seperti yang telah dirancang sebelum kem latihan pusat dibatalkan baru-baru ini.
"Saya belum muktamadkan lagi senarai nama tersebut kerana ada pertukaran tarikh dalam sesi latihan. Saya akan buat keputusan kemudian sama ada kekalkan nama sedia ada atau panggil pemain lain.
"Tetapi saya boleh bagi jaminan semua pemain terbabit sudah pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan sebelum ini,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca