KERANG merupakan antara makanan yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia tetapi kini ia sudah menjadi makanan untuk golongan kaya. Ini kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, harga kerang sudah melambung tinggi sehingga RM20 sekilogram... Klik di sini untuk terus membaca

KERANG merupakan antara makanan yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia tetapi kini ia sudah menjadi makanan untuk golongan kaya.

Ini kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, harga kerang sudah melambung tinggi sehingga RM20 sekilogram berbanding harga pada 10 tahun lalu yang hanya dijual RM6 sekilogram.

Ada dua faktor yang menyebabkan harga kerang meningkat. Pertama, pencemaran dan kedua, kerana tangkapan berlebihan.

Sebenarnya, spesies kerang di Malaysia ini memang unik kerana pengawalan hidupan laut itu telah dilakukan sejak tahun 1960-an lagi.

Selain spesies kerang darah yang banyak terdapat di negara ini, spesies yang turut dikawal ialah siput retak seribu atau popular dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai lala.

Di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang), untuk menangkap hidupan itu perlu mendapat permit apabila sudah mencapai saiz yang dibenarkan iaitu empat milimeter.

Jika ada mana-mana pihak yang melanggar peraturan, mereka yang terlibat boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kerang di negara ini juga hanya boleh didapati di sekitar kawasan pantai berlumpur di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor. Spesies ini akan membiak pada musim-musim tertentu.

Disebabkan permintaan kerang yang begitu tinggi dan mahal pada ketika ini menyebabkan kes-kes kecurian benih kerang semakin menjadi-jadi.

Menurut sumber, ada pihak tertentu telah mengupah orang untuk mencuri benih kerang sebelum ia dijual dan dibiakkan di kebun-kebun kerang.

Ada juga dakwaan yang mengatakan benih kerang yang dicuri itu diseludup ke Thailand untuk dibiakkan di negara tersebut sebelum dijual kembali ke Malaysia.

Difahamkan harga bagi benih-benih kerang boleh mencecah sehingga RM750 seguni.

Menurut satu laporan, jumlah pendaratan kerang yang dilaporkan cukup membimbangkan. Bermula pada tahun 2010 hingga 2016 mencatatkan penurunan amat tinggi iaitu sebanyak 80 peratus.

Di Perak, kemerosotannya mendadak kepada 7,000 tan metrik saja berbanding 70,000 tan metrik pendaratan kerang pernah direkodkan pada tahun 1995.

Di Pulau Pinang, kesannya juga ketara apabila pada tahun 2016 jumlah pendaratan tidak sampai 2,000 tan metrik berbanding 16,000 tan metrik pada 1996.

Jabatan Perikanan meramalkan kerang boleh pupus di negara ini jika langkah untuk mengawal kepupusan hidupan itu tidak dilakukan segera.

Sudah tentu kita semua tidak mahu kehilangan khazanah alam unik negara.

Tiga minggu lepas, Sinar Harian ada melaporkan pengusaha kerang dan penduduk setempat di Sekincan mengeluh berikutan kegiatan mencuri benih kerang semakin berleluasa di kawasan sekitar pesisir Pantai Sungai Leman.

Mereka mendakwa terdapat lebih 70 bot roto dikesan mengambil kerang secara haram di kawasan perairan itu dalam sesuatu masa.

Lebih membimbangkan kegiatan mengambil benih kerang itu dilakukan dengan menggunakan bot roto yang boleh mengakibatkan kemusnahan sumber laut lain.

Penggunaan bot roto membolehkan enjin bot melalui dasar tanah dan lumpur yang mengakibatkan kemusnahan habitat cengkerang lain seperti mentarang, kijing, lala, kupang dan siput.

Isu yang dibangkitkan rakyat ini bukan baharu sebaliknya sudah kerap disuarakan sehingga ada yang membuat tuduhan terhadap pihak berkuasa. Kita juga faham tentang kesukaran untuk bertindak terhadap kes-kes kecurian benih kerang ini.

Mungkin kita boleh cadangkan kepada pihak berkuasa, jika ada mana-mana pihak yang berani tampil dan membuat laporan, mereka boleh diberikan ganjaran yang lumayan.

* Junhairi Alyasa ialah Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca