SHAH ALAM - Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan surat dihantar Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menggesa sidang Parlimen diadakan dalam masa terdekat adalah atas kehendak parti,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan surat dihantar Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menggesa sidang Parlimen diadakan dalam masa terdekat adalah atas kehendak parti, bukan individu.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) turut mengesahkan surat yang dihantar kepada semua 41 ahli Parlimen UMNO dan BN itu diutuskan Ahmad selepas mesyuarat Biro Politik UMNO diadakan baru-baru ini.

Menurutnya, sebagai ahli UMNO yang setia, beliau menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Pontian itu sebagai langkah tepat dan wajar.

"Saya cuma tahu surat itu diutuskan selepas satu mesyuarat Biro Politik UMNO diadakan baru-baru ini. Surat itu kehendak parti, bukan individu.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Surat SUA UMNO cubaan menderhaka kepada Agong'

Surat pekeliling tersebar, usaha jelas UMNO tolak darurat

"Saya secara peribadi menyokong langkah Ahmad dan parti menggesa sidang Parlimen khas diadakan pada saat darurat kerana tindakan itu tepat dan wajar,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan kononnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi dalang kepada usaha UMNO mahukan ahli Parlimen parti itu menyokong gesaan sidang khas Parlimen diadakan berhubung proklamasi darurat.

Sebuah portal berita melaporkan sumber terdekat UMNO mendakwa usaha Najib itu gagal selepas hanya tujuh ahli Parlimen parti itu sahaja yang bersetuju, manakala lebihan 35 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tidak bersetuju kerana langkah itu dilihat menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri turut menyifatkan langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan darurat atas alasan mendepani pandemik Covid-19 sebagai satu usaha ‘menghukum’ amalan demokrasi.

Beliau turut menempelak beberapa ahli Parlimen UMNO yang cuba mempertikaikan tuntutan terkini parti berkenaan dan seolah-olah mahu mengelirukan rakyat.

"Kita sekarang duduk di bawah kerajaan minoriti, maknanya segala keputusan dibuat parti, semua ahli Parlimen UMNO dan BN kena akur.

"Surat itu dikeluarkan di bawah mesyuarat Biro Politik, jadi tak usah mana-mana ahli Parlimen (UMNO dan BN) pandai sangat hendak ‘argue’. Jangan pandai-pandai keluarkan kenyataan untuk kelirukan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Ahmad dilapor menghantar surat kepada ahli Parlimen parti itu untuk menyatakan persetujuan untuk mengadakan satu sidang Parlimen khas berhubung Proklamasi Darurat.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menempelak tindakan Ahmad dan menafsirkannya percubaan menderhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong yang berkenan mengisytiharkan darurat pada 12 Januari lepas.

Isham Jalil

Sementara itu, Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil membidas Annuar susulan dakwaan baharu Menteri Wilayah Persekutuan itu menyatakan pemimpin UMNO kononnya ingin menjadikan parti itu sebagai parti 'sendirian berhad'.

Menurutnya, selaku salah seorang menteri Kabinet dalam kerajaan PN, Annuar sepatutnya lebih gigih mencari jalan membantu kerajaan menurunkan penularan pandemik Covid-19.

Beliau turut menggesa Annuar supaya tidak sibuk berpolitik menyerang rakan-rakan sendiri dalam parti.

"Nampak jelas bahawa Annuar Musa begitu terasa terhadap sentimen akar umbi yang tidak bersetuju dengan beliau dan sudah boleh baca akan niat beliau sedang cuba untuk menjual UMNO kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

"Sebagai sahabat, saya sarankan Annuar usah sibuk berpolitik menyerang rakan-rakan sendiri dalam parti seumpama cuba untuk memecahbelahkan UMNO dan memberi kelebihan kepada Bersatu pula. UMNO bukan untuk dijual," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca