PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu mengambil berat setiap dakwaan yang dilemparkan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman terhadap kedua-dua badan induk itu.
Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berkata, dakwaan itu telah mendedahkan beberapa perkara yang tidak diketahui sebelum ini yang sekali gus mencemarkan imej MFL dan FAM.
"Bagi saya perkara ini adalah masalah dalaman yang mungkin timbul sebelum ini. Kemungkinan bukan Kelantan sahaja yang menghadapinya tetapi mungkin juga beberapa pasukan lain.
"Namun, pasukan lain itu tidak berani bersuara kerana mungkin kekangan peraturan dan undang-undang atau sebagainya. Apabila pemilik Kelantan dah bersuara, ia seperti membuka rahsia yang sebelum ini orang tak tahu.
"Sama ada (dakwaan Norizam) benar atau tidak, saya berpendapat perkara seperti ini harus diambil berat oleh pihak FAM dan MFL untuk diselesaikan segera,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Konflik antara Norizam terhadap MFL dan FAM mula tercetus apabila Kelantan FC dikatakan bakal dipotong tiga mata dalam Liga Premier musim ini jika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal melunaskan tunggakan gaji 11 bekas pemainnya.
Biarpun Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam tampil menafikan ada mengeluarkan kenyataan seumpama itu, ia tetap mengundang kemarahan Norizam.
Menerusi kenyataan di media sosial, Norizam mendedahkan beberapa perkara selain mempersoalkan bayaran hak penyiaran saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan elaun pengadil yang belum dibayar.
Malah, Norizam terus menerus ‘menyerang’ MFL dan FAM menerusi hantaran di laman Facebooknya dengan terbaharu mendedahkan The Red Warriors tidak pernah menerima bayaran hasil kutipan tayangan atas talian MyCujoo.
Mengulas lanjut, Khalid percaya kontroversi yang berlaku itu boleh diselesaikan di meja rundingan tanpa mana-mana pihak memanjangkan perbalahan di media sosial.
"Saya tidak nampak ‘perang’ yang berlaku ini akan membawa kebaikan kepada industri bola sepak kita. Ada ruang untuk mereka berunding dalam menyelesaikan masalah ini. Kita tidak mahu perkara sebegini merosakkan imej bola sepak negara,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca