BERBICARA tentang kelab kereta dan motosikal di Malaysia, ia bukan sesuatu yang asing kerana hampir setiap jenis model dan jenama pasti akan diwujudkan kelab atau persatuan. Langkah paling mudah bagi membuat carian berkaitan kelab kereta... Klik di sini untuk terus membaca

BERBICARA tentang kelab kereta dan motosikal di Malaysia, ia bukan sesuatu yang asing kerana hampir setiap jenis model dan jenama pasti akan diwujudkan kelab atau persatuan. Langkah paling mudah bagi membuat carian berkaitan kelab kereta dan motosikal adalah menerusi media sosial.

Penubuhan kelab juga mempunyai matlamat berbeza. Antaranya berkongsi maklumat, melaksanakan kerja-kerja kebajikan dan menggabungkan ahli daripada pelbagai latar belakang menerusi minat yang sama.

Menariknya, semangat kekeluargaan ahli kelab seperti dalam soal penyelenggaraan kenderaan, platform kelab atau persatuan berkenaan akan menjadi rujukan bertanyakan tentang punca kerosakan, berkongsi kedai alat ganti dengan harga berpatutan dan anggaran bagi membaiki kerosakan.

Dari sudut lain, kewujudan kelab itu juga menjadi alternatif rujukan bagi mereka yang kurang mahir tentang selok-belok kenderaan, selain merapatkan hubungan.

Selain itu, kebanyakan kelab permotoran kebiasaannya akan menjalankan aktiviti secara berkumpulan terutama berkonvoi pada hujung minggu atau cuti umum sebagai program bersama ahli mereka.

Sedar atau tidak, sebenarnya sebarang bentuk aktiviti permotoran seperti berkonvoi memerlukan kebenaran pihak berkuasa dan permohonan bagi pengiring oleh polis trafik. Namun, ada sebilangan kelab kenderaan tidak membuat sebarang permohonan dan menggunakan kuasa sendiri di atas jalan raya sehingga menimbulkan rasa kurang senang pengguna lain.

Ada dalam kalangan mereka ini bergelar marshal, kononnya 'diberikan’ kuasa terutama dalam soal mengawal lalu lintas tanpa menggunakan khidmat pengiring daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Malah, ada yang berlagak seperti samseng dengan memaksa kenderaan lain berhenti ke tepi semata-mata mahu memberi laluan kepada peserta konvoi. Lebih merisaukan jika mereka menjadi punca kepada kemalangan pihak lain.

Bahaya

Berdasarkan perkongsian pengalaman pengguna jalan raya di media sosial, ada antara mereka terpaksa memberhentikan kenderaan secara mengejut dan hampir melanggar kenderaan di hadapan kerana marshal memberi laluan kepada kenderaan berkonvoi terlebih dahulu.

Tidak kurang juga ada yang terpaksa memberhentikan kenderaan semata-mata untuk memberi laluan kepada peserta konvoi di lampu isyarat walaupun ketika itu lampu isyarat telah bertukar kepada hijau.

Walauapapun niat marshal, sama ada untuk melancarkan aliran trafik dan memberi keselesaan kepada mereka yang berkonvoi serta pengguna lain, sebenarnya mereka tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menahan, menyekat atau melencongkan trafik.

Menurut PDRM, pengiring atau marshal tidak dibenarkan mengawal lalu lintas dalam penganjuran sebarang program seperti pertandingan atau aktiviti berkonvoi, melainkan mendapat khidmat pengiring daripada polis trafik.

Orang awam dan pengguna jalan raya boleh mengingkari perintah marshal jika melakukan tugas-tugas polis trafik seperti meminta pemandu lain memberi laluan, memberhentikan kenderaan di persimpangan jalan dan melencongkan kenderaan.

Mana-mana individu atau kumpulan yang menjalankan tugas mengawal trafik tanpa anggota polis trafik boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967 atau Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebenarnya, permohonan mengadakan konvoi daripada polis telah wujud sekian lama di Bahagian Kawalan Lalulintas PDRM. Jadi, tiada sebarang alasan untuk melantik ahli daripada kelab kenderaan sebagai marshal.

Kehadiran polis pengiring dapat membantu melancarkan aliran trafik, selain mengelak wujudnya perlumbaan haram yang membahayakan nyawa pengguna lain.

Justeru diharapkan tiada lagi insiden yang membabitkan konvoi termasuk kes membuli pengguna jalan raya yang lain dan juga menyebabkan trafik menjadi sesak atau terhalang disebabkan ‘samseng’ segelintir peserta konvoi terutama yang menjadi marshal.

Tak ada masalah kalau nak berkonvoi, tapi jangan sampai mengambil kuasa polis trafik pula.

* Mohd Hafiz Ismail ialah Wartawan Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca