TEKANAN yang sedang dihadapi manusia penghuni dunia kini iaitu pandemik Covid-19 amat kritikal. Ia mengakibatkan tekanan fizikal, mental dan emosi yang secara langsung mencabar keberkesanan pendidikan, formal dan tidak formal di rumah serta... Klik di sini untuk terus membaca

TEKANAN yang sedang dihadapi manusia penghuni dunia kini iaitu pandemik Covid-19 amat kritikal.

Ia mengakibatkan tekanan fizikal, mental dan emosi yang secara langsung mencabar keberkesanan pendidikan, formal dan tidak formal di rumah serta pusat pengajian.

Tanpa menghubungkan isu pendidikan secara langsung dengan Covid-19, saya ingin membicarakan realiti pendidikan Islam dari sudut pemikiran sebahagian besar sarjana selama ini.

Walaupun terdapat banyak penyelidikan dan kajian serta seminar dan persidangan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa, namun kemajuannya dari segi pelaksanaan satu sistem pendidikan yang mantap masih ketinggalan di belakang.

Cabaran yang dihadapi terlalu banyak iaitu cabaran dalaman masyarakat dan pemikir Islam sendiri yang mempunyai pelbagai corak idea serta visi membawa kepada cabaran luaran dari dunia moden dan global, ledakan teknologi maklumat yang amat sukar, tekanan ekonomi, politik serta tamadun yang menghimpit kemajuan umat Islam keseluruhannya.

Paling besar adalah gambaran dan pentafsiran tentang agama Islam sebagai cara hidup yang lengkap.

Namun, perbezaan pandangan itu dapat diringankan sedikit dengan berlangsungnya Kongres Pendidikan Islam Sedunia yang diadakan di Makkah pada tahun 1977 yang telah berjaya mengumpul ramai sarjana Islam dalam pelbagai disiplin ilmu terutama bidang pendidikan.

Mereka bersetuju dengan rumusan kongres tentang kesepaduan ilmu dan falsafah pendidikan Islam yang berpaksikan tauhid.

Maka, satu rangka kurikulum, kaedah mengajar, buku teks, latihan guru dan segala sesuatu yang menjadi teras falsafah itu haruslah disusun semula dalam mengembalikan keagungan pendidikan Islam yang telah berjaya membangunkan tamadun kemanusiaan yang unggul dalam sejarah kegemilangan umat Islam pada masa lalu.

Menurut rumusan kongres tersebut, pendidikan Islam haruslah mempunyai pendekatan dan kaedah integrasi ilmu iaitu integrasi antara ilmu wahyu dan ilmu akal manusia berkonsepkan tauhid.

Jadi, telah diputuskan supaya negara-negara Islam melibatkan diri dalam melaksanakan projek besar itu iaitu mewujudkan institusi pendidikan yang dapat mengendalikan keputusan tersebut, memobilisasikan segala sumber kewangan, tenaga manusia dan kuasa politik dalam merangka kurikulum, menghasilkan buku teks dan rujukan serta melatih tenaga pengajar dan perancangan lain ke arah merealisasikan falsafah dan perlaksanaan resolusi tersebut.

Malaysia merupakan negara terawal yang mengambil keputusan melaksanakan resolusi kongres itu dan mengguna segala sumber kewangan serta manusia beserta kuasa politiknya sehingga resolusi dalam bentuk konsepsual dan teori berjaya diterjemahkan dengan tertubuhnya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 1983.

Semangat

Sayangnya, semangat kongres tersebut nampaknya tidak dapat diterjemahkan sepenuhnya dalam negara Islam atau di mana-mana sahaja istitusi pengajian tinggi 'Islam’ didirikan.

Perubahan kecil-kecilan sahaja dilakukan dalam kerangka kurikulum pendidikan atau penghasilan buku teks tanpa menyentuh dasar umum dan struktur sistem pendidikan yang telah diwarisi yang cuba dilakukan perubahan asas oleh kongres tersebut dari sudut pendekatan dan falsafah kesatuan ilmunya.

Hal itu berlaku mungkin disebabkan oleh minda dan cara berfikir yang lebih kepada simplistik dan pemikiran tradisional yang masih berleluasa dalam masyarakat sehingga kini.

Kefahaman tentang pendidikan Islam dan sarwajagatnya masih bergantung kepada pemahaman Islam secara lama dan literal tanpa melibatkan pe-ngertian Islam yang lebih menyeluruh dan holistik.

Seorang profesor ulung negara kita pernah menjelaskan tentang pemikiran simplistik dan literal rakyat Malaysia dengan menyatakan bahawa konsep kesepaduan kaum itu telah direalisasikan dengan duduk beramai-ramai memakan durian dan berbual serta bergurau bersama, itulah maknanya perpaduan kaum.

Oleh itu, norma baharu yang kita bicarakan dalam proses membebaskan diri daripada Covid-19 juga haruslah kita fahami dengan pengertian mendalam dan menyeluruh tentang agama Islam supaya falsafah dan konsepnya yang agung itu dapat meresap masuk ke dalam jiwa serta pemikiran sebagai satu rahmat ALLAH SWT.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca