PELAKSANAAN Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 1 April 2015 menimbulkan pelbagai reaksi dan kontroversi daripada segenap lapisan masyarakat.
Hakikatnya, GST sebenarnya bukanlah satu perkara baharu apabila sistem percukaian itu sudah diimplementasi di 160 negara di seluruh dunia.
Bagaimanapun, pelaksanaannya hanya mampu bertahan selama tiga tahun setelah GST dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018 dan digantikan kembali dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Namun, pada saat negara berdepan kemelut ekonomi susulan pandemik Covid-19, cakap-cakap mengenai usaha memperkenalkan semula GST kembali timbul.
Dalam satu program bual bicara Minda Profesor Negara edisi bicara negarawan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengakui GST adalah satu sistem cukai paling telus.
Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpandangan satu kajian semula wajar dilakukan dengan langkah pengecualian dan syarat lebih ketat perlu diimplementasi sekiranya GST mahu dikembalikan pada masa hadapan.
Dalam menilai kerelevanan GST dilaksanakan semula, seorang pakar ekonomi daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali mengakui cadangan mengembalikan GST perlu diperhalusi demi masa hadapan negara.
Sama ada setuju atau tidak, Nuradli Ridzwan Shah menegaskan sistem kutipan cukai melalui GST adalah solusi terbaik kerajaan untuk mengatasi masalah defisit belanjawan dihadapi ketika ini.
"Bila GST dimansuhkan, kerajaan sebenarnya hilang pendapatan lebih RM20 bilion setahun.
"Dalam konteks negara berdepan ancaman pandemik Covid-19, sememangnya kerajaan kena cari jalan terbaik bagaimana untuk meningkatkan pendapatan tanpa membebankan rakyat.
"Sistem GST wajar diperkenalkan semula, namun pelaksanaannya mesti tidak memberi implikasi negatif kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40)," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Ditanya sama ada pelaksanaan GST sewaktu pandemik wajar dilaksanakan, beliau bagaimanapun menolak cadangan itu.
Beliau sebaliknya menyifatkan langkah pengenalan semula GST hanya sesuai dilaksanakan selepas tempoh pandemik berakhir dengan ekonomi negara kembali pulih.
"Dalam keadaan ekonomi tidak berapa baik, permintaan terhadap barangan kehendak dan mewah juga kurang mendapat sambutan. Ini kerana rakyat lebih berhati-hati dalam melakukan perbelanjaan dan lebih tertumpu membeli barangan keperluan semata-mata.
"Waktu sesuai GST dilaksanakan adalah pada saat ekonomi negara dalam proses pemulihan. Ketika itu, barulah rakyat tidak bising kerana GST kurang memberi impak 'kneejerk reaction' kepada mereka," katanya.
Sementara itu, seorang pemimpin PKR menolak dakwaan keputusan pemansuhan GST oleh kerajaan PH adalah bermotifkan politik semata-mata.
Sebaliknya, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman menyifatkan pelaksanaan GST sebelum ini seolah-olah menekan kehidupan rakyat yang 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' berbanding golongan berkemampuan.
"Macam dahulu bila BN laksana GST, idea memang bagus tetapi inisiatif penyelarasan kepada rakyat tiada. Segala item dikenakan cukai enam peratus tanpa mengira taraf ekonomi mereka.
"Sebab itu Anwar mahukan satu kajian menyeluruh dibuat terlebih dahulu. Bila satu kajian khusus dibuat mengambil kira sudut ekonomi dan kesediaan rakyat, barulah satu pelan komprehensif pelaksanaan semula GST boleh dicadangkan," ujarnya.
Syed Badli Shah turut melihat keperluan kerajaan melaksanakan GST dengan permulaan kadar lebih rendah daripada kadar enam peratus yang diimplementasi kerajaan BN sebelum ini.
Hal ini kerana kerajaan perlu mengambil kira faktor jurang pendapatan antara rakyat di negara ini masih terlalu jauh dengan kadar gaji minimum masih rendah berbanding negara-negara lain yang melaksanakan GST.
"Sebagai langkah permulaan, kerajaan mungkin boleh kenakan kadar dua peratus terlebih dahulu sebelum dinaikkan secara berperingkat mengikut peningkatan taraf kehidupan rakyat.
"Paling penting, GST hanya boleh dilaksanakan apabila ekonomi negara kembali stabil dengan kerajaan berjaya mengharungi ancaman pandemik Covid-19 sepenuhnya," katanya.
TRIVIA GST
- Diperkenalkan pada 1 April 2015.
- Kadar standard untuk GST adalah 6 peratus dengan ianya dikumpulkan pada setiap peringkat rantaian bekalan.
- Sistem cukai GST digunakan lebih 160 negara di seluruh dunia termasuk negara-negara maju
- Berdasarkan rekod Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2017, hanya 19 negara belum mengamalkan GST.
- Pelaksanaannya dipertikaikan pihak pembangkang dengan mendakwa cukai berkenaan membebankan golongan peniaga dan rakyat berpendapatan rendah.
- Pas mendakwa pelaksanaan GST perlu dihapuskan kerana kaedah percukaiannya haram dan tidak menepati syariat Islam.
- Kerajaan telah mengutip RM44 bilion pada tahun 2017.
- Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diketuai Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad kemudiannya memansuhkan sistem cukai GST dan digantikan semula dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September 2018.
- Kutipan cukai kerajaan melalui SST merosot daripada RM44 bilion kepada RM22 bilion pada tahun 2019.
Klik di sini untuk terus membaca