SHAH ALAM - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong penuh cadangan supaya kerajaan melaksanakan pemberian baucar makanan dan barangan runcit kepada golongan rentan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Menurut Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Datuk Kamarudin Abdullah, cadangan tersebut wajar dilaksanakan memandangkan pihak IPSI sendiri tidak berupaya untuk membantu kesemua golongan yang terjejas.
"Kami hanya mampu agihkan bantuan makanan setakat 1,000 hingga 3,000 orang.
"Ini kerana pihak kami turut mendapatkan bantuan daripada ihsan pihak lain untuk sama-sama menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata, pemberian baucar makanan dan barangan runcit tersebut secara tidak langsung dapat mengatasi masalah salah guna bantuan.
Menurutnya, sebelum ini kerajaan sudah pun memberi bantuan dalam bentuk wang tunai, namun ada pihak yang tidak menggunakan manfaat tersebut dengan cara yang betul.
"Justeru, dengan adanya baucar ini, penerima boleh menggunakannya untuk mendapatkan barangan sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Nation of Women (NOW) Pusat, Syarul Ema Rena Abu Samah berkata, cadangan tersebut adalah sebagai tambahan kepada inisiatif sedia ada seperti bakul makanan.
Tambahnya, dengan adanya baucar makanan dan barangan runcit tersebut, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan B40.
"Apa yang penting, bantuan itu haruslah dalam pelbagai bentuk bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian baucar makanan dan barangan runcit kepada golongan rentan.
Klik di sini untuk terus membaca