SHAH ALAM - Penjajaran sementara terhadap sumber manusia dalam sektor awam bagi menyokong perkhidmatan kesihatan dan keselamatan negara akan memberi kelegaan kepada petugas barisan hadapan khususnya kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Unit Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Pekerjaan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Marzuki Isahak berkata, langkah tersebut juga secara tidak langsung akan mengurangkan beban petugas berkenaan yang bekerja tanpa henti sejak setahun lalu.
"Kalau kita tengok, petugas kesihatan memang mereka tiada rehat, terus bekerja (menentang Covid-19 sejak lebih setahun lalu). Kekurangan kita bukan sahaja aspek infrastruktur dan kewangan tapi paling besar sekali adalah sumber manusia.
"Jadi beban kerja memang sentiasa bertambah dan tidak ada masa untuk berhenti sekejap bagi. Jadi dari segi bebanan, dari segi petugas itu memang kita tidak dapat nafikan sebenarnya memang berada pada tahap agak tinggi sekarang.
"Jadi saya alu-alukan penjajaran tersebut supaya beban kerja dan beban yang dialami KKM dapat dikurangkan sedikit dan dapat beri nafaslah kepada petugas kesihatan khususnya,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah kerajaan untuk melaksanakan penjajaran sementara terhadap kesemua sumber dan fasilitinya termasuk kakitangan awam berikutan pelaksanaan Ordinan Darurat bagi membendung Covid-19.
Sementara itu, ditanya sama ada sektor kesihatan negara berada dalam keadaan kritikal sehingga menyebabkan kerajaan membuat keputusan sedemikian, Dr Marzuki mengakui perkara tersebut.
Ini kerana katanya, tidak pernah sebelum ini penggunaan fasiliti kesihatan khususnya katil mencapai tahap 80 peratus seperti yang dialami sekarang.
Jelasnya, selain berdepan dengan jumlah pesakit Covid-19 yang naik mendadak ketika ini, hospital sama ada di daerah-daerah juga terus menerima pesakit lain yang sedia ada.
"Pesakit-pesakit di hospital ketika ini bukan sahaja membabitkan pesakit Covid-19 tetapi pesakit lain seperti buah pinggang, kanser dan sebagainya yang tidak menunjukkan penurunan.
"Jadi, amat bertepatanlah, langkah ini diambil kerajaan,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, pelbagai aspek perlu diambil kira sebelum penjajaran sumber manusia dilakukan kerana perkhidmatan kesihatan dan keselamatan tertakluk kepada etika amalan perubatan.
"Hanya orang-orang yang terlatih dan mempunyai kepakaran sahaja yang boleh memberikan perkhidmatan ini tetapi sekiranya kita mampu untuk melatih mereka (dia boleh dilakukan).
"Contohnya pemandu ambulans, kalau kita boleh latih pemandu dari sektor lain untuk membawa ambulans (di mana) dengan adanya latihan ia memang dapat mengurangkan beban pemandu ambulans,” katanya.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali pada Selasa memaklumkan kerajaan akan melakukan penjajaran sementara terhadap kesemua sumber dan fasilitinya termasuk kakitangan awam berikutan pelaksanaan Ordinan Darurat.
Katanya, tindakan itu merupakan antara fokus utama mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat dan telah dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Klik di sini untuk terus membaca