SEMINGGU sebelum bermulanya sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), empat orang sahabat menghubungi Merak Jalanan bagi meminta pendapat mengenai peralatan komputer yang sesuai untuk anak-anak di rumah.
Merak Jalanan tidaklah mahir sangat mengenai komputer tetapi tahulah serba sedikit peralatan yang sesuai. Merak Jalanan ikut juga perkembangan teknologi terutama perkakasan desktop.
Semua sahabat Merak Jalanan mempunyai bajet yang agak kecil untuk membeli komputer riba yang rata-ratanya berharga RM1,500 ke atas. Mereka buntu dan tidak tahu ke mana lagi mahu mencari komputer yang sesuai. Apatah lagi pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang yang menyebabkan pendapatan mereka terganggu.
Tidak mahu menghampakan sahabat, Merak Jalanan terus menghubungi sebuah kedai komputer yang Merak Jalanan kenal pemiliknya. Alhamdulillah, stok masih ada dan Merak Jalanan dapat tawaran harga yang baik.
Sahabat Merak Jalanan bersetuju untuk mendapatkan komputer desktop dan bukannya komputer riba kerana sekarang mereka memang berada di rumah sahaja.
Selesai sahaja menghantar komputer desktop itu ke rumah sahabat, mereka mengucapkan terima kasih. Merak Jalanan dapat melihat wajah kegembiraan anak mereka. Apa yang Merak Jalanan boleh simpulkan, masih ramai anak di luar sana yang tidak mempunyai akses internet dan langsung tidak boleh mengikuti proses PdPR. Mereka hanya menunggu kerja rumah dan mengharapkan ahli keluarga lain mengajar mereka. Alhamdulillah, guru-guru kita memahami dan ada yang sanggup membantu sehingga pergi ke rumah anak murid.
Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak terutama dari segi pendidikan. Semoga Covid-19 cepat reda agar anak-anak kita boleh kembali ke sekolah. Kasihan murid Tahun Satu kerana hari pertama persekolahan mereka adalah di rumah.
Klik di sini untuk terus membaca