SHAH ALAM - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 perlu diperketatkan terlebih dahulu sebelum kerajaan memikirkan untuk melanjutkannya, kata pengamal perubatan am, Dr Zubaidi Ahmad.
Beliau berkata, penguatkuasaan PKP yang dilaksanakan pada 13 Januari tahun ini agak longgar berbanding PKP pada Mac tahun lalu.
Menurutnya, memadai jika PKP diperketatkan dalam tempoh dua minggu untuk menurunkan kadar jangkitan virus Covid-19.
"Contoh kita melihat pasar raya dan juga pasar raya besar yang mana orang ramai bertumpu membeli barang.
"Memang betul kita membenarkannya tetapi kita kena pastikan bahawa mereka betul-betul melakukan penjarakan sosial, membasuh tangan menggunakan air atau sanitizer dan menutup hidung dan mulut dengan betul.
"Pada saya pihak berkuasa seperti polis perlu ada disana. Sebab bila orang tengok polis, mereka merasa takut dan patuh,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Selain itu, beliau mencadangkan lawatan ke kawasan-kawasan kilang perlu dijalankan bagi melihat penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) dipraktikkan atau tidak.
Katanya, kebanyakan kes Covid-19 amat tinggi dalam kalangan pekerja kilang berikutan tempat tinggal mereka seperti asrama yang menyebabkan mereka tidak mengamalkan penjarakan sosial.
"Jika kita dapat melihat benda-benda sebegini, mungkin kita akan dapat mengurangkan kadar peningkatan Covid-19,” jelasnya.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman pula berpendapat pihak kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan telahpun mempunyai pelan tindakan untuk menyusun semula tanggungjawab dan peranan dalam memastikan aspek-aspek pencegahan dilaksanakan melalui strategi yang telah dikenal pasti.
Jelasnya, usaha daripada masyarakat juga memainkan peranan dalam tindakan mengatasi penularan pandemik pada masa kini.
"Bagi pihak individu dalam masyarakat juga, kita mempunyai peranan yang penting dalam memastikan penularan dapat dihentikan melalui pematuhan SOP serta mengelakkan diri daripada terdedah kepada risiko-risiko jangkitan.
"Peranan masyarakat melalui penglibatan secara langsung dalam memastikan kepatuhan SOP dilaksanakan adalah sangat penting.
"Sekiranya kita benar-benar ikut SOP dan penjarakan fizikal, sudah tentu kes jangkitan Covid-19 dapat diturunkan dan dalam masa yang sama sektor ekonomi turut dapat digerakkan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca