IPOH - Lebih 40 peratus hotel bajet di negeri ini beroperasi dalam keadaan ‘tenat’ apabila merekodkan sifar pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan tahun lalu. Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA)... Klik di sini untuk terus membaca

IPOH - Lebih 40 peratus hotel bajet di negeri ini beroperasi dalam keadaan ‘tenat’ apabila merekodkan sifar pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Perak, Zamari Muhyi berkata, sekiranya jumlah pengunjung terus merosot, tidak mustahil banyak hotel bajet di negeri ini akan menutup operasi mereka

Menurutnya, walaupun hotel dibenarkan beroperasi, namun dengan kes Covid-19 yang dilaporkan tinggi setiap hari menyebabkan rakyat takut untuk melancong.

"Untuk mendapatkan tempahan satu bilik sehari pun agak susah, itu belum dikira pembatalan tempahan yang dibuat disebabkan PKP.

"Jadi dalam keadaan ‘zero income’ ini, pengusaha hotel bajet sebenarnya sudah tidak mampu untuk menampung kos operasi, utiliti dan gaji kakitangan.

"Jika keadaan ini berterusan, jalan penyelesaiannya adalah menutup operasi perniagaan masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.

Zamari

Beliau berkata, di Perak terdapat 118 hotel bajet dengan 78 daripadanya berdaftar bersama MyBHA dan setakat ini, belum ada mana-mana pengusaha yang menutup operasi mereka.

Katanya, bagi meneruskan kelangsungan operasi, ada pengusaha terpaksa menawarkan cuti tanpa gaji dan pemberhentian secara sukarela kepada kakitangannya.

"Memang perit untuk menjana pendapatan ketika ini, ibarat seperti pesakit kanser tahap tiga yang perlu diberikan bantuan pernafasan.

"Lebih membimbangkan apabila ada antara pengusaha tidak menerima program subsidi upah yang disediakan kerajaan,” katanya.

Zamari berkata, oleh kerana sektor pelancongan mengambil masa lebih lama untuk pulih, kerajaan perlu menilai semula bentuk bantuan agar lebih bersifat secara terus kepada pemain industri pelancongan itu sendiri.

Selain subsidi upah katanya, kerajaan juga boleh mempertimbangkan pemberian diskaun sehingga 50 peratus bagi penggunaan tenaga elektrik dan air serta pengurangan cukai taksiran oleh pihak berkuasa tempatan.

"Terdapat juga cadangan agar kadar subsidi upah RM600 yang disediakan sebelum ini dinaikkan kepada RM1,200 dan dilanjutkan sehingga September depan.

"Sekiranya cadangan ini dapat direalisasikan, saya kira pengusaha hotel bajet masih boleh bertahan untuk mengekalkan operasi perniagaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Perak, Nurul Nuzairi Mohd Azahari pula berkata, pengusaha hotel memerlukan bantuan khas daripada kerajaan untuk meneruskan operasi.

Menurutnya, ketika ini hampir 100 peratus hotel di negeri ini berdepan tekanan dalam mencari sumber pendapatan berikutan tiada tempahan daripada pengunjung.

Nurul Nuzairi

Katanya, program subsidi upah serta kadar diskaun 10 peratus bagi penggunaan tenaga elektrik yang ditawarkan kerajaan tidak sepenuhnya membantu pembiayaan sebenar yang ditanggung.

"Walaupun dibenarkan beroperasi, kita sebenarnya telah kehilangan semua punca pendapatan.

"Cukai tanah, cukai taksiran masih dikenakan, lesen hotel dan bayaran levi bagi yang mengambil pekerja asing masih perlu dibayar, itu belum dikira bayaran pinjaman kepada bank.

"Memang ada pengusaha hotel mempunyai cabang perniagaan lain yang boleh digunakan sebagai sumber pendapatan, tetapi cara itu juga tidak mampu untuk bertahan dalam tempoh yang lama dan bagi mereka yang hanya tertumpu kepada perniagaan hotel pula, kesannya pasti lebih perit,” katanya.

Beliau berkata, cadangan MAH sebelum ini yang meminta kerajaan menaikkan kadar subsidi upah pada kadar 50 peratus untuk pekerja yang bergaji sehingga RM4,000 dan 30 peratus untuk yang bergaji sehingga RM8,000 sesuatu yang perlu dipertimbangkan.

Katanya, permohonan untuk diberikan diskaun sehingga 50 peratus bagi semua kadar cukai dan bayaran utiliti juga perlu diperhalusi oleh kerajaan bagi mengelak tanggungan kerugian kewangan yang lebih besar.

"Kita perlukan lebih support sistem daripada kerajaan sendiri secara terus kepada pengusaha hotel seperti peningkatan subsidi upah, ini boleh dianggap satu kaedah untuk melindungi industri dan pekerja.

"Sekiranya kedudukan kewangan hotel terus tergugat, sudah pasti pengusaha terpaksa membuat pertimbangan sukar dengan membuat pemberhentian kakitangan dalam skala lebih besar atau lebih buruk menutup terus operasi,” katanya.

Pengurus Besar Lost World Of Tambun (LWOT) itu berkata, di Perak terdapat hampir 70 hotel berdaftar dengan MAH dan setakat ini hanya satu hotel di Ipoh yang mengambil keputusan menutup operasi mereka secara kekal.

"Dianggarkan 20 peratus hotel di negeri ini telahpun menutup sementara operasi mereka sehingga penularan Covid-19 reda dan bakinya masih beroperasi, namun dalam keadaan cukup kritikal,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca