KESELAMATAN sesebuah negara bukan disebabkan kerana ramainya orang soleh atau Salihun. Ramainya bilangan golongan agamawan belum menjamin keselamatan sesebuah negara atau aman daripada azab dan seksaan ALLAH SWT tetapi yang sangat... Klik di sini untuk terus membaca

KESELAMATAN sesebuah negara bukan disebabkan kerana ramainya orang soleh atau Salihun. Ramainya bilangan golongan agamawan belum menjamin keselamatan sesebuah negara atau aman daripada azab dan seksaan ALLAH SWT tetapi yang sangat menentukan keselamatan sesebuah negara kerana adanya para Muslihun.

Hakikat itu tertera dengan jelas dalam al-Quran: "Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya Muslihun (orang-orang yang berbuat kebaikan). (Huud/11:117).

Dalam ayat tersebut, ALLAH SWT tidak menyebut - sedang penduduknya 'Salihun' tetapi ALLAH SWT menggunakan ungkapan - sedang penduduknya 'Muslihun'. Apakah perbezaan antara dua istilah 'Salihun' dan 'Muslihun' ?

Kewajipan umat Islam terhadap al-Quran bukan sekadar membacanya tetapi juga tadabbur atau memahami dan menghayati isi kandungannya. Tujuan utama al-Quran diturunkan kepada umat akhir zaman adalah untuk dijadikan pedoman.

ALLAH SWT berfirman: "Maka, apakah mereka tidak tadabbur (memperhatikan) al-Quran ataukah hati mereka terkunci?" (Muhammad/47: 24).

Perkataan 'Salihun' adalah bentuk jamak bagi 'Salih' yakni orang yang baik. Jadi 'Salihun' adalah orang-orang yang taat atau patuh kepada ALLAH SWT dengan melaksanakan suruhan ALLAH SWT dan menjauhi larangan-Nya. Mereka kuat beribadat dan pada masa yang sama mereka juga tidak melakukan maksiat.

Ada pun 'Muslihun' adalah bentuk jamak bagi 'Muslih' yakni orang yang selain dia memperbaiki dirinya sendiri agar menjadi manusia yang baik tetapi juga pada masa yang sama giat berusaha memperbaiki orang lain. Dengan istilah lain, mereka selain memperbaiki diri sendiri, mereka juga rajin berdakwah menyampaikan Al-Haq yakni kebenaran dengan menyuruh orang lain berbuat baik atau mencegah kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat.

Diharap kita mula faham bahawa maksud ALLAH SWT menggunakan perkataan 'Muslihun', bukan 'Salihun' dalam ayat di atas bahawa Dia sekali-kali tidak akan membinasakan sesuatu negeri jika dalam negeri tersebut masih terdapat pendakwah yang berani menyampaikan kebenaran dengan menyuruh berbuat makruf dan mencegah kemungkaran.

Jadi, keberadaan ramai agamawan dan cerdik pandai tentang ajaran Islam di sesebuah negara belum menjamin negara berkenaan terhindar daripada kebinasaan jika golongan agamawannya lebih memilih jalan selamat dan enggan berdakwah menasihati rakyatnya agar kembali ke jalan ALLAH yang lurus.

Hadis sahih daripada Abu Bakar Al-Siddiq RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: " Sesungguhnya manusia jika mereka melihat orang yang melakukan kezaliman (kemungkaran) lalu mereka tidak mau menegurnya, maka ALLAH SWT akan turunkan azab dan seksaan secara merata (ke seluruh negeri itu)." (HR Abu Daud, Tarmidzi, Al-Nasaai, Ibnu Majah dan Imam Ahmad – Hadis Sahih)

Maksud hadis: Bencana ditimpakan oleh ALLAH ke atas negara tersebut secara umum atau merata ke seluruh rakyat walaupun mereka tidak melakukan dosa disebabkan dua perkara iaitu pertama, kerana perbuatan pelaku perbuatan mungkar itu dan sebab kedua, kerana kelalaian atau kealpaan agamawan yang enggan menegur kemungkaran.

Kepentingan

Jadi, sekarang kita sungguh yakin berdasarkan ketetapan ALLAH SWT bahawa golongan yang paling berperanan menyelamatkan negara adalah golongan Muslihun, bukan golongan Salihun yang berpeluk tubuh dan enggan berdakwah menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar.

Satu hal yang tidak dapat diingkari bahawa menjadi insan yang Salih lebih mudah daripada menjadi insan yang Muslih. Orang Salih biasanya disanjung dan dipuji oleh orang ramai tetapi golongan Muslihun biasanya dibenci dan dicaci oleh pihak tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi dan kepentingan kelompok.

Golongan Muslihun dan pendakwah kebenaran sering dihalang dan diambil tindakan tidak sewajarnya. Ada antara mereka yang mati dalam penjara disebabkan keberanian mereka menegur pemimpin yang zalim.

Contoh mudah, perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW. Sejak kecil lagi baginda disanjung semua pihak kerana baiknya budi pekerti dan akhlaknya.

Namun, keadaan berubah secara drastik setelah baginda diangkat menjadi Rasul. Baginda cuba menyampaikan kebenaran dengan menyuruh masyarakat beribadat kepada Tuhan Yang Maha Esa dan melarang mereka melakukan syirik, berzina, minum arak, berjudi dan berbunuh-bunuhan.

Bermula dari saat itulah, baginda dicaci dan dituduh dengan pelbagai tuduhan liar seperti pembawa ajaran sesat, tukang sihir, penyair gila dan lain-lain. Mengapa demikian? Jawapannya kerana baginda ketika itu mula dengan misinya sebagai 'Muslih Agung' yang ingin memperbetul keadaan masyarakatnya yang bergelumang dosa dan maksiat dan ingin mengajak mereka menuju masyarakat yang mendapat keredaan ALLAH SWT agar mereka selamat di dunia dan di akhirat.

*Dr Abdullah Yasin ialah Pengerusi Majlis Syura Gasma

Klik di sini untuk terus membaca