SHAH ALAM - Kerajaan perlu melaksanakan kempen penerangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara besar-besaran dengan kadar segera supaya 26.5 juta rakyat Malaysia yang bakal menerima vaksin lebih cakna dan bersedia. Di sebalik... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan perlu melaksanakan kempen penerangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara besar-besaran dengan kadar segera supaya 26.5 juta rakyat Malaysia yang bakal menerima vaksin lebih cakna dan bersedia.

Di sebalik pengumuman dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai program vaksinasi terbesar dilaksanakan negara, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye masih menganggap perincian mengenai strategi pengedaran bekalan vaksin kepada rakyat selepas golongan petugas barisan hadapan, kurang jelas.

Menurutnya, sehingga kini, rakyat masih keliru mengenai tempoh masa mereka akan menerima vaksin, lokasi bekalan vaksin bakal diperoleh serta paling penting, golongan mana yang benar-benar dikecualikan daripada menerimanya.

"Selain itu, kerajaan juga perlu menyatakan jangkaan kesan sampingan akibat pengambilan vaksin Covid-19 serta nasib golongan kanak-kanak memandangkan mereka termasuk dalam kelompok berusia bawah 18 tahun yang dikecualikan daripada menerima bekalan itu.

"Perkara ini sepatutnya diperjelaskan secara berperingkat oleh kerajaan sejak enam bulan lalu. Hakikatnya aspek paling penting dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan gagal dilakukan dengan berkesan kerana tiada penekanan ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan bekalan vaksin Covid-19 fasa pertama yang dibeli kerajaan daripada syarikat farmaseutikal Pfizer dijangka tiba di Malaysia pada 26 Februari ini.

Pada 24 November lalu, Malaysia mengumumkan bahawa ia akan mendapatkan bekalan awal sebanyak 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

Dua hari sebelum itu, negara memeterai perjanjian dengan fasiliti Covax untuk memperoleh bekalan vaksin tersebut bagi menampung keperluan imunisasi 10 peratus lagi rakyat negara ini.

Bulan lalu, kerajaan menandatangani dokumen Term Sheet bersama dua syarikat pembekal mewakili syarikat Sinovac dari China serta Sputnik V dari Rusia bagi perolehan sebanyak 18.4 juta dos vaksin yang meliputi 28.75 peratus daripada populasi rakyat Malaysia.

Berikutan itu, Boon Chye yang juga Ahli Parlimen Gopeng menggesa kerajaan menganjurkan satu sesi dialog melibatkan ahli Parlimen pembangkang, syarikat farmasi serta pakar kesihatan dalam masa terdekat.

"Sesi dialog ini penting bagi mengenal pasti satu kaedah pengedaran bekalan vaksin paling efektif kepada rakyat dapat dicapai.

"Pada masa sama, kerajaan juga perlu memastikan bilangan kakitangan mencukupi bagi memenuhi keperluan logistik dan kawal selia bekalan vaksin itu kelak,” katanya.

Selain itu, Boon Chye berharap kerajaan bersikap lebih telus dalam memastikan mekanisme pengedaran vaksin Covid-19 dilaksanakan secara adil dan saksama.

Jelas beliau, kebimbangan berlakunya isu golongan kelas atasan dan kaya ‘potong barisan’ dan mendahului senarai keutamaan penerima bekalan vaksin hanya disebabkan mereka berkemampuan wajar dihindari.

"Kerajaan kena telus dan pastikan Program Imunisasi Covid-19 dilaksanakan atas kepentingan rakyat segenap lapisan, bukan golongan tertentu sahaja,” katanya.

INFO

Setakat ini 40 buah negara sudah memulakan program suntikan vaksin masing-masing.

Brazil - Vaksin AstraZeneca PLC

Brazil mula edar dua juta vaksin AstraZeneca PLC pada 23 Januari.

India - Vaksin Oxford-AstraZeneca dan vaksin buatan tempatan, Bharat Biotech

India melancarkan salah satu program vaksinasi terbesar di dunia pada 16 Januari lalu dengan memberi keutamaan kepada petugas barisan hadapan.

Amerika Syarikat- Vaksin Pfizer-BioNTech

Pada 14 Disember 2020, seorang jururawat dari New York menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 di AS

Vaksin Pfizer-BioNTech telah diberikan kepada lebih sejuta orang sejak program bermula, pada masa sama AS turut meluluskan vaksin buatan Moderna.

United Kingdom - Vaksin Pfizer-BioNTech

Pada 8 Disember, UK menjadi negara pertama di dunia memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada rakyatnya.

Penerima suntikan pertama vaksin di negara itu merupakan seorang wanita berusia 90 tahun bernama Margaret Keenan.

Singapura - Vaksin Pfizer-BioNTech

Singapura memulakan kempen vaksinasi pada 30 Disember 2020. Individu pertama menerima suntikan vaksin merupakan seorang jururawat yang bertugas menjalankan ujian saringan terhadap pesakit disyaki menghidap Covid-19.

Klik di sini untuk terus membaca