MAHAKARYA tidak lahir secara kebetulan. Semua karya besar adalah hasil dari rahim suatu zaman, daripada sebuah peristiwa sejarah, dan memiliki implikasi yang sangat pragmatik.
Lahirnya tepat pada masanya, dan membentuk pandangan dunia serta dikagumi kehadirannya.
Suatu zaman yang silam dunia telah hancur, manusia jadi pasrah, dan ada yang memilih bunuh diri. Malapetaka itu menusuk peradaban.
Ia telah berjaya menghilangkan kepercayaan kepada agama, sejarah dan masa hadapan. Itulah akibat Perang Dunia Pertama dan Kedua.
Di tengah-tengah kehancuran tamadun, penderitaan, kerumitan dan kenihilan perasaan dan fatalnya kemanusiaan, tiga orang pengarang, sedang memerhati dengan teliti akan situasi itu.
Mereka merenung, berfikir, mentafsir dan mencari signifikasinya. Di samping menekuni falsafah dunia, yang menjadi katalis kehancuran itu.
Pengarang pertama, merasakan bahawa manusia telah gagal berhadapan dengan impak peperangan, membunuh berjuta-juta manusia itu.
Yang hidup, hanya tinggal kerangka, dan sesetengahnya menjadi bangkai, serta sampah masyarakat.
Bagaimanapun, masih boleh disihatkan akal fikiran mereka, dengan menjana kognitifnya, dan disedarkan bahawa manusia boleh membina dan memilih jalan hidupnya sendiri.
Pengarang kedua, mendapati hidup manusia penuh dengan kekosongan.
Tidak ada ketentuan arah, dan seringkali mereka melarikan diri, lalu bunuh diri.
Timbul pertanyaan, mengapa dan untuk apa manusia hidup di dunia? Manusia tidak berjaya menjadikan dirinya. Sains dan teknologi merajai dan lebih berkuasa.
Akhirnya mereka tewas, dan luluh dalam perjalanan hayatnya.
Impaknya manusia diarah berhenti menjadi manusia.
Pengarang ketiga, manusia mencari makna hidup, tetapi tidak merujuk agama, hanya bersumberkan diri dan persekitarannya.
Masa dan konsepnya sudah jumud dan tidak bergerak.
Manusia menghadapi peristiwa sama yang berputar-putar. Kehidupan ditenun oleh waktu yang berulang-ulang.
Tiada sebarang perubahan. Semuanya tidak masuk akal, kerana rasionalisasi manusia sudah musnah.
Ketiga-tiga pengarang itu, cuba menafsir budaya dunia, warna manusia dan meramalkan masa hadapan mereka.
Pengarang pertama, mendapati kehidupan ini di luar perancangannya.
Mereka tidak tahu untuk apa dilahirkan, dan selepas itu ke mana arah perjalanan. Seakan-akan tidak percaya akan keberadaan Tuhan.
Oleh sebab itu manusia juga tidak percaya terhadap takdir, dan beranggapan bahawa seluruh perbuatannya tiada dimengerti, dan tanpa adanya campur tangan daripada Tuhan.
Pengarang kedua, mendapati manusia tersepit, antara keinginan untuk hidup dengan takut pada kematian.
Di tengah-tengahnya adalah kesepian, kemurungan dan kekosongan. Namun, masih mengimpikan harapan. Manusia perlu berani dan dianjurkan melakukan pemberontakan.
Pengarang ketiga, manusia bagaikan hanyut dalam mimpi yang tiada permulaan dan tiada akhiran.
Mereka ditimpa kesengsaraan, dan tiada upaya untuk berdiri sendiri dalam menyelesaikan konflik yang ditanggung. Hanya kesukaran silih berganti, hilang kewarasan, dan hidup ini bagaikan sebuah pelayaran tiada berhujung.
Ketiga-tiga pengarang itu, lama sekali tenggelam dalam lautan neurosis dan psikosis. Setelah lengkap pencernaan, diturunkan ke dalam sebuah teks.
Mereka yang dimaksudkan ialah Jean Paul Sartre (1905-1980), Albert Camus (1913-1960) dan Samuel Beckett (1903-1989).
Jean Paul Sartre, menghasilkan enam buah novel, karyanya Nausee (1938), merepresentasikan sangat autentik tentang manusia, master discourse seluruh karyanya.
Watak-wataknya secara skeptikal dan dialogikal, berbahas mencari pengertian kebebasan untuk menentukan kewujudan di dunia ini.
Pilihan sentiasa berada di hadapan, untuk menentukan perjalanan hidupnya, dan mereka harus bertanggungjawab dengan pilihannya itu.
Albert Camus, menulis empat novel. Novel, The Outsider (1942) karya kanonnya, mencitrakan kehidupan yang penuh kekosongan, tiada mengerti tujuannya dan tiada kudrat untuk penentuannya.
Meursault protgonisnya, sepatutnya pulang ke Algeria menghadiri majlis pengebumian ibunya, tetapi hanya menghabiskan masa dengan berfoya-foya. Karya ini suatu usaha pengarang untuk memahami zamannya.
Bagaikan penziarah mencari syurga di dunia, Meursault berhadapan dengan sebuah metafora pencarian, tetapi menemui mitos kenihilan. Semuanya tidak masuk akal, irrasional.
Samuel Beckett, sangat prolifik dengan 20 buah drama, sembilan novel dan lima kumpulan puisi. Tetapi karya besarnya ialah drama Waiting for Godot (1952), memperlihatkan ketidakrasionalan melalui pengwujudan masa dan tempat yang tergantung.
Subjeknya sukar untuk dikenal pasti, remang-remang tidak menemui penyelesaian. Implikasi dari kekejaman peperangan, nasib manusia tidak terbela.
Mereka terjebak dalam kancah teka-teki. Meski dibayangi harapan, tetapi hanya terngiang-ngiang, tidak pernah kunjung datang.
Itulah dasar kepercayaan surealisme Samuel Beckett.Nausee, The Outsider dan Waiting for Godot, tidak turun dari langit, dan tidak lahir secara kebetulan, tetapi hasil perahan memahami manusia, situasi zaman dan impian masa hadapan.
Bertahun-tahun tiga sasterawan ini, mengkaji falsafah Heidegar, Hegel, Kierkegaard, Husserl dan Nietzsche.
Terlebih dahulu Jean Paul Satre menulis La transcendence de l’ego (1937), Albert Camus Le mythe de Sisyphe (1942), dan Samuel Beckett Eleutheria (1947), yang mewacanakan fahaman aliran masing-masing.
Selepas masak berwacana, barulah diturunkan dalam karya keratif, Nausee, The Outsider, Waiting for Godot yang mencapai taraf maha karya, dan dianugerahkan sastera antarabangsa Nobel Prize, Camus 1957, Sartre 1967, dan Bekcett 1969.
Besar impaknya mahakarya itu, menandakan berakhirnya realisme, musnahnya narasi besar (empayar) strukturalisme, dan modenisme digantikan dengan pascamodenisme.
Dari Peranchis, 1950-an, menebarkan sayap kekuasaannya merayap ke Eropah dan seluruh dunia.
*Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca