MINGGU lalu telah tular berita tentang ratusan pelarian Rohingya yang hilang dari kem pelarian di Lhokseumawe, Aceh. Daripada 400 pelarian Rohingya di kem tersebut, kini dikatakan hanya tinggal 112 pelarian sahaja. Dan semua yang lain... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU lalu telah tular berita tentang ratusan pelarian Rohingya yang hilang dari kem pelarian di Lhokseumawe, Aceh.

Daripada 400 pelarian Rohingya di kem tersebut, kini dikatakan hanya tinggal 112 pelarian sahaja. Dan semua yang lain disyaki telah diseludup masuk ke Malaysia.

Sejurus selepas menularnya berita pelarian Rohingya telah bolos, Komander National Task Force (NTF), Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah memberitahu bahawa pasukannya telah siap siaga di Selat Melaka untuk mengusir pelarian Rohingya tersebut dari masuk ke sempadan perairan negara.Ia membabitkan Tentera Laut Diraja Malaysia dan dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Polis Diraja Malaysia.

Namun, pada 5 Februari, puluhan pelarian Rohingya yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dari Tanjung Balai, Sumatera telah berjaya mendarat di perairan Malaysia.

Bagaimana satu bot kayu tidak dikesan radar, dron dan lain-lain peralatan cangih serta oleh semua pasukan dalam NTF telah menjadi tanda tanya ramai.

Nampaknya, begitu mudah untuk sebuah bot yang sarat dengan pelarian dapat membolosi pengawasan, masuk dalam perairan Malaysia dan selamat mendarat di pantai kita adalah sesuatu yang menakjubkan.

Mengikut UNCHR Malaysia, sehingga hari ini terdapat lebih kurang 150,000 pelarian Rohingya terdaftar di Malaysia.

Jumlah ini tidak termasuk ribuan lagi Rohingya yang berada di Malaysia yang belum dikesan atau belum didaftarkan.

Bermula dengan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Hadi Awang pada 3 Disember 2016 yang berkongsi pentas dalam Perhimpunan Solidariti Rohingya, mesej yang telah sampai kepada pelarian Rohingya ialah Malaysia mengalu-alukan kedatangan mereka.

Semenjak itu, Malaysia menjadi magnet untuk pelarian Rohingya dari kem-kem pelarian terbesar di Bangladesh, dengan memberi fokus untuk berhijrah ke Malaysia.

Hari ini, gelombang demi gelombang pelarian Rohingya telah sampai di Malaysia. Malaysia masih menjadi tumpuan pelarian Rohingya di kem-kem pelarian di Bangladesh, Indonesia dan juga mereka yang masih berada di Myanmar.

Bagi pelarian Rohingya, Malaysia ibarat syurga. Jika di Bangladesh mereka ditempatkan di kem-kem pelarian dan dikawal, tetapi di negara kita pelarian Rohingya bebas berkelana satu Malaysia.

Malah di Malaysia, semua tersedia untuk mereka. Bukan sahaja mereka tidak ditempatkan dalam kem-kem pelarian, mereka boleh bekerja menjana pendapatan, pekerjaan sudah tersedia (walaupun secara tidak sah).

Mereka boleh mendapat rawatan hospital, pendidikan dan bantuan sara hidup daripada pelbagai NGO dan hak mereka dijaga dan dilindungi pelbagai hak asasi manusia. Belum cukup dengan itu, pelarian Rohingya sudah ada pertubuhan-pertubuhan sendiri dengan pemimpin-pemimpin di kalangan mereka.

Ada pula orang politik tersohor dan kenamaan tempatan menjadi penasihat dan penaung pertubuhan tersebut.

Tidak kurang juga ada di kalangan mereka bermaharajalela dengan kumpulan samseng. Malahan, ada pejabat zakat negeri yang bermurah hati menghulurkan wang zakat untuk meringankan keperitan hidup mereka.

Keadaan mereka cukup berbeza dengan pelarian Vietnam yang suatu masa mengungsi di Malaysia.

Bermula dengan bot pertama membawa 47 pelarian Vietnam yang sampai di perairan Malaysia pada sekitar Mei 1975, dan sehingga pelarian terakhir Vietnam yang meninggalkan Malaysia pada 30 Ogos 2005, Malaysia untuk hampir 30 tahun telah menjadi tuan rumah dan memberi perlindungan untuk hampir 250,000 pelarian Vietnam.

Kesemua mereka telah ditempatkan di kem-kem pelarian di Pulau Bidong dan Sungai Besi sementara menunggu penempatan semula di negara ketiga.

Dalam masa hampir 30 tahun pelarian Vietnam berada di Malaysia, akhirnya mereka diterima untuk penempatan semula oleh negara-negara seperti Australia, Amerika Syarikat, Perancis dan lain-lain negara di benua Eropah.

Yang kurang bernasib baik akhirnya pulang ke Vietnam dengan Doan Van Viet menjadi pelarian terakhir meninggalkan Malaysia pada 30 Ogos 1975.

Berbeza dengan 250,000 pelarian Vietnam yang pernah berada di Malaysia untuk hampir 30 tahun, jumlah pelarian Rohingya dalam masa singkat sudah mencecah 150,000 orang.

Pada masa ini, terdapat lebih kurang 860,000 pelarian Rohingya di kem-kem pelarian di Bangladesh. Lebih kurang 600,000 orang Rohingya masih berada di Myanmar. Tidak keterlaluan untuk mengatakan kesemua mereka mahu datang ke Malaysia. Justeru itu, pelarian Rohingya sanggup bayar sebanyak mana pun kepada penyeludup untuk diseludup masuk ke Malaysia.

Apatah lagi pelarian Rohingya yang berada di sini sudah mempunyai keupayaan kewangan untuk menguruskan perjalanan saudara-mara dari kem-kem pelarian di Bangladesh.

Malahan, ramai lelaki Rohingya dengan bantuan penyeludup, sudah dapat membawa bakal pasangan hidup dari kem-kem pelarian untuk memulakan kehidupan baru berkeluarga di Malaysia.

Seperkara yang perlu disebut ialah politik dunia hari ini berbeza dengan semasa krisis pelarian perang Vietnam.

Hakikatnya, tidak kelihatan kelibat mana-mana negara Eropah yang mengambil berat untuk menempatkan pelarian Rohingya di negara mereka.

Simpati dan empati untuk pelarian sudah menurun apatah lagi dengan keadaan ekonomi dan politik dunia lebih-lebih lagi pasca pandemik Covid-19.

Lebih parah, hari ini fobia dan anti orang Islam sudah begitu mendalam di negara-negara Barat. Dalam keadaan sedemikian, pelarian Rohingya yang kesemuanya adalah Islam tidak mungkin mendapat pertimbangan penempatan semula. Bagi mereka pelarian orang Islam hanya mengundang masalah.

Walaupun Malaysia anggota pertubuhan 57 negara OIC, tidak juga kelihatan mana-mana negara Islam bersedia mengambil dan menempatkan pelarian Rohingya yang berada di Malaysia.

Malahan, Indonesia yang merupakan negara Islam terbesar di dunia dengan 17,508 pulau dan banyak pulau yang tidak berpenghuni, tidak bersedia menawarkan satu pulau untuk menempatkan pelarian Rohingya.

Ada negara Islam yang sanggup memberi bantuan kewangan tetapi bersikap not in my backyard dalam isu menyediakan penempatan semula pelarian Rohingya. Realiti ngeri ialah pelarian Rohingya yang berada di sini dan yang sedang merancang untuk masuk ke Malaysia menjadi beban kekal buat kita.

Jika di Sabah, pelarian Filipina selepas berabad-abad sudah sebati tinggal di sana dan juga telah mengubah demografi Sabah, nescaya hal yang sama akan berlaku di Semenanjung Malaysia suatu ketika nanti.

Demografi Malaysia dan Melayu lambat-laun akan berubah. Anak-anak Rohingya yang lahir di Malaysia dan seumur hidup mereka menetap di sini, selepas menerap budaya Melayu, petah bercakap Melayu dan beragama Islam, akan mendesak diberikan hak yang sama dengan orang Melayu atau sekurang-kurangnya bantuan daripada institusi-institusi Islam seperti pejabat zakat.

Menerima realiti pelarian Rohingya akan kekal berada di Malaysia (khususnya di Semenjung Malaysia) dan jumlah mereka akan meningkat mendadak, kita semua wajar memikirkan satu pendekatan yang berbeza.

Langkah pertama ialah menghentikan kebebasan pelarian Rohingya untuk berkelana di seluruh negara.

Tidak keterlaluan untuk mencadangkan agar Malaysia wajar mempertimbangkan untuk mewakafkan satu daripada 878 pulau di perairan kita sebagai pulau khusus untuk penempatan pelarian Rohingya.

Selepas itu, bolehlah institusi seperti pejabat kebajikan, pejabat zakat atau lain-lain agensi kerajaan menjaga kebajikan pelarian Rohingya. Mungkin, Malaysia juga boleh memohon bantuan ihsan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) atau OIC.

Malaysia wajar menerima hakikat bahawa hampir mustahil (biar dalam jangka masa panjang) untuk pelarian Rohingya mendapat penempatan semula sama ada di negara-negara Barat mahu pun di negara-negara Islam lain.

Hakikatnya, beban menjaga kebajikan saudara seiman pelarian Rohingya hanya jatuh di bahu Malaysia dan telah dipertanggungjawabkan kepada Malaysia.

Justeru itu, eloklah dalam kadar segera jika Malaysia mengikut langkah kerajaan Bangladesh yang sudah menempatkan pelarian Rohingya di Pulau Bhasan Char, sebuah pulau khusus dan eksklusif untuk semua pelarian Rohingya. Jelas, Malaysia tidak berupaya membendung kemasukan mereka yang begitu mudah boleh membolos segala benteng pertahanan negara yang dipertanggungjawabkan kepada NTF.

Eloklah Malaysia mula berfikir bagaimana mahu mengurus gelombang kemasukan pelarian Rohingya yang tidak akan terhenti.

* Norman Fernandez adalah seorang peguam yang menjalankan amalan guaman di Johor Baharu.

Klik di sini untuk terus membaca