SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Perdagangan (KPDNHEP) bertindak menggempur peniaga peranti komputer, komunikasi dan peranti elektronik di seluruh negara dengan sejumlah 331 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dikeluarkan terhadap mereka.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, notis dikeluarkan kepada peniaga mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dibuat susulan KPDNHEP menerima sejumlah 34 aduan rasmi berkaitan peningkatan harga peranti elektronik bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Menurutnya, harga barangan yang disyaki dinaikkan segelintir golongan peniaga dan pembekal ialah komputer riba, tablet, komputer, telefon pintar dan mesin pencetak.
"Melalui penguatkuasaan Ops Catut 8.0 (Kelengkapan Elektronik dan Komunikasi) bermula 25 Januari hingga 4 Februari lalu, sebanyak 331 premis telah diperiksa melibatkan 628 item barangan kelengkapan elektronik dan komunikasi.
"Peniaga diberikan tempoh dua hari bekerja bagi mengemukakan semua maklumat dan dokuman diperlukan. Sekiranya notis gagal dipatuhi, mereka boleh dikenakan denda RM50,000 sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah terkini kerajaan bagi membendung salah laku atau manipulasi harga oleh peniaga susulan pelaksanaan PdPR dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Rosol berkata, daripada jumlah 331 NPMB yang dikeluarkan, Sabah mencatatkan mencatat bilangan penerima notis tertinggi iaitu seramai 38 peniaga, diikuti Sarawak (37) dan Kelantan (34).
Menurutnya, mengenai jumlah pemeriksaan barangan peranti elektronik terkumpul, negeri Sarawak mencatatkan angka tertinggi sebanyak 97 item, diikuti Sabah (80) dan Kelantan (65).
"Setelah NPMB diserahkan kepada kesemua peniaga terlibat, sejumlah 199 peniaga sudah memberikan maklum balas notis selepas tempoh dua hari ditetapkan.
"Bagaimanapun, masih ada 132 peniaga yang didapati masih gagal memberikan maklum balas NPMB dengan peniaga negeri Johor mendahului angka itu seramai 31 orang,” katanya.
Rosol juga menegaskan KPDNHEP masih berusaha mengenal pasti julat kenaikan harga peranti PdPR susulan Ops Catut 8.0 baru berakhir Ahad.
Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan kemungkinan berlakunya taktik menyorok bekalan peranti PdPR seperti dibimbangi golongan ibu bapa dan beberapa persatuan pengguna.
"Pelaksanaan PKP menyebabkan kilang-kilang pengeluar barangan peranti PdPR di negara ini tidak beroperasi. Selain itu, penghantaran bekalan peranti elektronik yang diimport dari China melalui kapal juga sukar dilakukan sewaktu PKP.
"Ditambah pula dengan kebanyakan pembekal dan peniaga bercuti sempena perayaan Tahun Baharu Cina minggu hadapan, KPDNHEP amat pasti tiada peniaga yang cuba menyorok barangan peranti itu,” katanya.
Rosol turut menegaskan amat sukar bagi peniaga mengaut keuntungan dengan taktik menyorok bekalan peranti PdPR kerana putaran model peranti elektronik dan gajet terlalu cepat dan tidak sampai tiga bulan sebelum model baharu atau model dikemaskini dikeluarkan di pasaran.
"Kementerian sentiasa memantau harga barangan keperluan ini, supaya peniaga tidak menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya khususnya ketika negara sedang dilanda pandemik," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca