PADA minggu lepas, kecoh di laman sosial seorang pemandu wanita memaki hamun pemandu lain dalam insiden pertengkaran selepas membuat pusingan U secara melulu. Kereta yang dipandu wanita yang dipercayai pensyarah Universiti Putra Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

PADA minggu lepas, kecoh di laman sosial seorang pemandu wanita memaki hamun pemandu lain dalam insiden pertengkaran selepas membuat pusingan U secara melulu.

Kereta yang dipandu wanita yang dipercayai pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) itu hampir bertembung dengan kereta pemuda tersebut dan tidak berpuas hati apabila dibunyikan hon.

Bagaimanapun, selepas dikritik hebat, wanita itu tampil membuat permohonan maaf. Malah, laporan polis turut dibuat dan kes kini sedang disiasat pihak berkuasa.

Pihak universiti juga mengeluarkan kenyataan dengan menyifatkan kelakuan wanita terbabit tidak mencerminkan sahsiah diri serta etika yang sepatutnya diterapkan oleh kakitangan UPM.

Namun, kita tidak tahu perkara sebenar yang terjadi kepada pemandu wanita tersebut yang menyebabkan dia gagal mengawal emosinya.

Sebagai pemandu, adakalanya kita terpaksa menahan sabar ketika memandu di jalan raya.

Tambahan apabila berdepan dengan kereta yang lembab di hadapan atau berdepan dengan pemandu yang pentingkan diri sendiri.

Penulis sendiri pernah berhadapan pengalaman itu tetapi setakat ini belum pernah lagi turun kereta bawa stereng lock untuk serang pemandu lain. Hanya mampu menarik nafas untuk menenangkan hati walaupun hati panas.

Sebenarnya banyak kes pemandu hilang sabar di jalan raya malah ada sesetengah insiden yang membawa kepada kematian. Seperti kejadian yang berlaku pada Ogos tahun 2019 di mana seorang lelaki meninggal dunia dipercayai akibat bergelut dengan seorang lagi lelaki ekoran perselisihan faham di antara mereka selepas terlibat dengan kemalangan di Kilometer 239 Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban (PLUS) berhampiran susur Bandar Baru Bangi.

Menurut polis, mangsa berusia 29 tahun itu dikatakan bergelut dengan suspek lelaki berusia awal 40-an di tepi jalan raya selepas terlibat dalam kemalangan kecil. Akibat pergelutan, mangsa dikejarkan ke Hospital Nilai dan disahkan meninggal dunia.

Tekanan

Sebenarnya kita sebagai pemandu perlu bijak mengawal tekanan dan emosi apabila berada di atas jalan raya. Emosi yang terganggu boleh menyebabkan kita lebih stres dan kesilapan kecil yang berlaku juga boleh menjadi isu besar.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), stres atau tekanan merupakan tindak balas fizikal, emosi dan mental yang dialami oleh seseorang apabila tuntutan tidak dapat dipenuhi.

Sesiapa sahaja sama ada kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas boleh mengalami stres. Umumnya tahap stres yang dihadapi oleh seseorang berbeza-beza mengikut beban tekanan yang dihadapi.

Bagaimanapun, stres yang berlebihan untuk jangka masa panjang dan tidak dapat ditangani akan menyebabkan kesan negatif sehingga boleh memudaratkan kesihatan serta meningkatkan risiko terhadap penyakit.

Tekanan itu boleh datang daripada pelbagai cara seperti perhubungan dengan rakan sekerja ketika di pejabat, urusan anak di rumah, bergaduh suami isteri, faktor kewangan dan bermacam-macam lagi.

Sebab itu kita seharusnya bijak mengawal emosi tidak kiralah di mana sahaja kita berada kerana bimbang boleh mengganggu atau menjejaskan orang lain. Orang dewasa pun belum tentu bijak mengawal emosi apatah lagi dalam kalangan belia.

Perlu diingat ketika di jalan raya kita tidak boleh mementingkan diri sendiri kerana kemudahan itu bukan disediakan untuk kegunaan individu tetapi hak semua orang.

Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa tenang dan bijak mengawal emosi apabila berdepan dengan pemandu hilang sabar yang cepat melakukan provokasi. Benda boleh ‘setel’, tidak perlu bertegang urat di tepi jalan. Selesaikan semua masalah cara yang bertamadun

Kita harap tidak akan berlaku lagi kes-kes hilang sabar di jalan raya sehingga mengakibatkan pergaduhan melampau sehingga kehilangan nyawa. Terlajak perahu boleh diundur, tetapi apabila terlajak kata memang buruk padahnya.

* Farah Nabila Mohamed Saris ialah Penyunting Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca