SHAH ALAM - Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) dijangka mengalami kerugian besar dan akan gulung tikar dalam tempoh enam bulan lagi disebabkan kehilangan sumber pendapatan.
Presiden Gabungan Pusat Latihan Kemahiran India Malaysia (GAPKIM), Datuk Ibrahim Shah berkata, semua ILKS di negara ini kini tidak mampu lagi untuk bertahan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Tanpa kemasukan baharu, ILKS tidak mampu untuk membayar gaji tenaga pengajar dan kakitangan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata, untuk memastikan institut latihan terbabit bernafas semula, kerajaan perlu memberikan kebenaran supaya mereka beroperasi semula.
"Kerajaan perlu membenarkan pelatih hadir ke ILKS mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diketatkan dan praktikal seperti yang dilaksanakan di industri perkilangan," ujarnya.
Beliau turut mencadangkan supaya pelajar dibenarkan untuk menjalani latihan praktikal secara bersemuka sebanyak tiga kali dan kelas dalam talian dua kali seminggu.
"Ini kerana pembelajaran melibatkan latihan kemahiran tidak sama dengan pembelajaran bagi bidang yang lain.
"Sebanyak 70 peratus perlaksanaan kursus menggunakan pembelajaran secara praktikal dan 30 peratus secara teori,” katanya.
Ibrahim juga berharap pihak kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia untuk membantu dalam menyelesaikan masalah yang melanda ILKS dengan segera.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Megatech Education Sdn Bhd, Ts. P. Sailanathan berkata, sejak perlaksanaan PKP pada Mac lalu menyebabkan pihaknya tidak mampu untuk membayar sewa bangunan dan membayar gaji pekerja.
Beliau menyeru kepada pihak kerajaan untuk menyediakan peruntukan kecemasan kepada pekerja dan modal bagi membina semula kejatuhan yang dihadapi oleh pihak mereka.
"Ini kerana, pihaknya sudah tidak mampu menampung bayaran sewa yang dikenakan dan terpaksa membuang pekerja bagi mengurangkan kos perbelanjaan,” katanya.
Beliau yang juga mantan Presiden Persekutuan Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia (FEMAC) itu turut meramalkan banyak ILKS tidak dapat bertahan lama jika usaha untuk membantu ILKS tidak dilakukan segera.
Klik di sini untuk terus membaca