BARU-baru ini tular dua insiden ‘serangan maya’ membabitkan netizen terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di laman sosial menyebabkan imej negara tercalar.
Insiden pertama bermula ketika Perdana Menteri mengisytiharkan lawatannya ke Indonesia sangat berjaya.
Kehadiran Muhyiddin di Indonesia dalam tempoh 24 jam itu turut dikongsi Presiden Indonesia, Jokowi di Facebooknya, namun komen-komen yang dilontarkan kebanyakannya mengkritik dan menyindir Muhyiddin.
Ada juga netizen yang secara terbuka mahu Muhyiddin meletakkan jawatan. Ada juga yang menggunakan bahasa-bahasa kasar di ruangan komen sehinggakan Merak Jalanan membacanya juga turut rasa lemas dan 'tercekik'.
Lawatan Muhyiddin ke Indonesia merupakan lawatan pertama sejak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 pada 1 Mac 2020.
Selang sehari selepas lawatan itu, netizen sekali menyuarakan rasa tidak puas hati mereka menerusi ruangan komen di akaun Facebook Istana Negara.
Dalam satu hantaran yang memuat naik gambar Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong, netizen ‘mengadu’ kesukaran mereka sewaktu pandemik Covid-19.
Tidak kurang juga yang ‘menyerang’ pentadbiran Perdana Menteri.
Bukan Merak Jalanan tidak memahami keperitan dan kesukaran yang dihadapi netizen Malaysia.
Merak Jalanan pun terjejas juga, cuma apabila menulis komen itu beralaslah sedikit.
Setiap kali terjumpa komen-komen sedemikian rupa, Merak Jalanan tertanya-tanya, adakah begini bahasa yang ditutur di rumah bersama pasangan, ibu bapa ataupun anak-anak anda?
Cuma satu sahaja Merak Jalanan nasihat kepada semua netizen, atas dasar ‘keakraban’ kita selama ini, diharap kita akan lebih berhemah dan terus memberi komen yang boleh membina negara, bukannya meruntuhkan negara.
Klik di sini untuk terus membaca