POTENSI pulangan keuntungan sering mempengaruhi individu ketika membuat keputusan sehingga terlepas pandang satu perkara terpenting dalam pelaburan iaitu risiko. Risiko pelaburan merujuk kepada ketidakpastian atau potensi kerugian yang... Klik di sini untuk terus membaca

POTENSI pulangan keuntungan sering mempengaruhi individu ketika membuat keputusan sehingga terlepas pandang satu perkara terpenting dalam pelaburan iaitu risiko. Risiko pelaburan merujuk kepada ketidakpastian atau potensi kerugian yang wujud dalam pelaburan.

Sekiranya pelabur teruja untuk mendapat pulangan pelaburan 15 peratus, adakah pelabur telah bersedia jika pelaburan mengalami kerugian 15 peratus?

Sekiranya terdapat perubahan dalam kewangan seperti kehilangan pekerjaan, adakah pelabur bersedia jika pelaburan mengalami kerugian sebanyak 15 peratus? Kedua-dua soalan ini merujuk kepada toleransi risiko pelaburan yang menilai dari aspek selera risiko dan kapasiti risiko.

Selera risiko adalah jumlah risiko yang sanggup diambil individu bagi mendapatkan pulangan keuntungan. Jumlah selera risiko adalah berbeza-beza iaitu mengikut pulangan keuntungan dikehendaki.

Kapasiti risiko pula merujuk kepada kemampuan untuk menanggung kerugian. Kapasiti risiko ditentukan oleh tiga faktor utama iaitu tempoh pelaburan, berapa peratus wang digunakan untuk melabur berbanding jumlah keseluruhan aset dan jangkaan sumber pendapatan pada masa hadapan.

Berbeza dengan toleransi risiko, risiko pasaran merujuk kepada kemungkinan kerugian yang disebabkan oleh faktor-faktor yang mempengaruhi keseluruhan prestasi pasaran kewangan yang akan menyebabkan penurunan nilai pelaburan individu.

Risiko pasaran adalah risiko yang tidak dapat dielakkan ketika membuat pelaburan. Terdapat tiga jenis risiko pasaran yang utama yang perlu diambil berat oleh pelabur iaitu risiko ekuiti – kerugian apabila berlakunya penurunan harga saham, risiko kadar faedah – kerugian akibat perubahan kadar faedah (biasanya berlaku dalam pasaran bon) dan risiko mata wang – kerugian apabila perubahan kadar tukaran mata wang.

Walaupun risiko pasaran tidak dapat dielakkan, dengan memahami jenis-jenis risiko itu, pelabur dapat mengenal pasti, menganalisis dan menguruskan risiko pelaburan tepat pada waktunya.

Kebiasaannya pelabur akan mengisi profil risiko yang diberikan oleh ejen pelaburan semasa membuka akaun pelaburan dan membuat transaksi pelaburan.

Profil risiko bertujuan mengenal pasti tahap toleransi risiko pelabur, namun ia hanya mengukur tahap toleransi risiko ketika itu. Ia bermakna jika pelabur menerima berita gembira seperti mendapat bonus atau kenaikan gaji sebelum mengisi profil risiko, toleransi risiko ketika itu akan lebih tinggi. Keadaan itu jelas menunjukkan hubung kait psikologi dan toleransi risiko.

Psikologi memainkan peranan sangat penting dalam pelaburan kerana pelabur perlu membuat keputusan terus melabur atau tidak yang akan menentukan sama ada pelabur memperoleh keuntungan atau sebaliknya. Sebagai contoh, apakah reaksi anda sekiranya pelaburan mengalami kerugian 25 peratus dalam masa sebulan?

Dalam keadaan itu, keputusan pelaburan biasanya dipengaruhi persepsi pelabur terhadap pasaran (sekiranya pelabur dalam kerugian, pelabur cenderung untuk mempunyai persepsi negatif). Keadaan itu akan menyebabkan pelabur membuat keputusan yang berat sebelah.

Pengurusan pelaburan yang sistematik penting bagi memastikan setiap risiko yang ditanggung dapat memberi keuntungan. Oleh sebab tahap toleransi risiko berubah-ubah, pelabur dinasihatkan mengemas kini profil risiko secara berkala dan apabila berlaku perubahan dalam kedudukan kewangan pelabur seperti kelahiran, perkahwinan dan pendapatan. Mempunyai simpanan yang cukup dapat membantu mengurangkan kesan psikologi jika mengalami kerugian.

Sebelum membuat pelaburan, pelabur dinasihatkan mempunyai simpanan bersamaan empat hingga enam bulan gaji (bergantung kepada saiz isi rumah). Hanya lebihan daripada simpanan digunakan untuk melabur.

Dengan adanya simpanan yang cukup, ia dapat membantu pelabur menambah pelaburan apabila berlaku penurunan harga. Pelabur juga digalak mempelbagaikan jenis pelaburan seperti saham, bon, unit amanah, ETF dan REITs kerana ia dapat mengurangkan risiko kerugian.

* Mohd Sedek Jantan ialah Ketua Jabatan Pelaburan dan Perancangan Kewangan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd

Klik di sini untuk terus membaca