"SAYA ada tiga kerja iaitu ahli Parlimen, Timbalan Menteri dan Ketua Penerangan UMNO. Ramai di Malaysia buat dua kerja. Berusaha gigih cari rezeki yang halal.” Itu kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 2015... Klik di sini untuk terus membaca

"SAYA ada tiga kerja iaitu ahli Parlimen, Timbalan Menteri dan Ketua Penerangan UMNO. Ramai di Malaysia buat dua kerja. Berusaha gigih cari rezeki yang halal.”

Itu kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 2015 berkenaan melakukan lebih daripada satu pekerjaan untuk menampung kehidupan seharian akibat kenaikan kos sara hidup ketika itu.

Ketika itu ramai yang ‘panas hati’ dengan Ahmad Maslan seolah-olah menyuruh mereka mengerah lebih tenaga dan masa untuk mencari pendapatan tambahan di luar waktu pejabat.

Jika dilihat 10 atau 20 tahun ke belakang, ketua keluarga boleh menyara keluarganya dengan hanya melakukan satu pekerjaan sahaja.

Walaupun bekerja lima hari seminggu, tapi masih mampu untuk menampung perbelanjaan harian sekeluarga tanpa perlu bekerja lebih masa.

Banyak faktor mendorong untuk buat dua kerja ni, salah satunya yang pasti adalah sebab kos sara hidup yang semakin meningkat.

Dengan kenaikan kos sara hidup juga menyebabkan individu bujang tidak dapat menampung perbelanjaan harian jika hanya bergantung pada satu pekerjaan.

Keadaan bertambah parah apabila negara dilanda pandemik Covid-19. Ramai yang tidak dibayar gaji, dipotong elaun, malah dibuang kerja.

Jadi, masyarakat terpaksa melakukan pekerjaan tambahan lain seperti menjadi penghantar makanan, ejen jualan ‘kain kayangan’, penjual produk kecantikan yang hampir semuanya boleh dilakukan secara dalam talian.

Tapi yang menjadi persoalan apa keperluan untuk rakyat melakukan lebih daripada satu pekerjaan?

Adakah gaji bulanan yang mereka peroleh tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan mereka?

Mari kita imbas kembali pada 2019 ketika Kementerian Sumber Manusia memaklumkan untuk menaikkan gaji minimum daripada RM1,100 kepada RM1,200 di di bandar-bandar utama di bawah pentadbiran 57 majlis bandaraya.

Kalau ikut manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, mereka menjanjikan gaji minimum sebanyak RM1,600 tetapi gagal dilaksanakan.

Namun apabila gaji minimum naik, kos kehidupan juga semakin naik menyebabkan pendapatan bulanan masih tidak mencukupi.

Lebih pahit, laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah (HES) 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati rakyat Malaysia membelanjakan purata sebanyak RM4,646 sebulan, yang mana perbelanjaan paling tinggi adalah pada pembayaran sewa rumah dan utiliti, diikuti dengan pembelian barangan keperluan harian dan

Laporan tersebut juga mendapati golongan B40 membelanjakan purata sebanyak RM2,480 sebulan, manakala golongan M40 sebanyak RM4,540 dan golongan T20 sebanyak RM9,245.

Walaupun peratusan perbelanjaan ke atas produk makanan dan minuman menurun kepada 6.5 peratus daripada tahun 1993 hingga 2019, namun perbelanjaan lain seperti restoran dan hotel, komunikasi dan kesihatan masih mencatatkan kenaikan sebanyak 1.4 peratus, 2.9 peratus dan 0.2 peratus masing-masing sepanjang tahun-tahun tersebut.

Selepas melihat gaji minimum dan purata perbelanjaan bulanan tersebut, apa lagi pilihan yang ada?

Akhirnya masyarakat terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaan untuk menambah pendapatan mereka demi meneruskan kelangsungan hidup.

Walaupun kerajaan tidak henti memberi bantuan kepada masyarakat tidak kira sebelum atau semasa era pandemik berlaku, namun ia masih tidak mencukupi untuk mereka menempuh hari-hari mendatang.

Penulis merasakan bahawa pihak kerajaan perlu mengkaji semula penetapan gaji minimum yang diumumkan sebelum ini kerana jumlah RM1,200 sudah tidak relevan jika mahu dibandingkan dengan apa yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lalu.

Penulis tidak mengatakan bahawa melakukan pekerjaan lebih daripada satu itu salah dan membebankan, cuma adalah lebih wajar untuk menaikkan gaji minimum ke tahap yang berpadanan dengan keadaan semasa.

Sebabnya, bukan semua orang boleh buat dua kerja dalam satu masa.

* Engku Shariful Azni ialah wartawan Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca