PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden telah mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari lalu, tetapi sehingga Khamis beliau masih lagi belum menghubungi sekutu kuat AS iaitu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu secara rasmi.
Keadaan itu berbeza ketika Presiden AS yang ke-45 iaitu Donald Trump yang bercakap dengan Netanyahu melalui telefon dua hari selepas beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden negara itu.
Dalam perbualan yang mesra itu, Trump mengundang Perdana Menteri Israel tersebut melawat Washington dan pada 15 Februari tahun yang sama, pemimpin negara Yahudi berkenaan melakukan lawatan ke AS.
Menurut portal berita NPR, ia merupakan antara perbualan pertama antara Trump dengan seorang pemimpin asing sejak beliau memegang jawatan tersebut selepas menggantikan Presiden AS ke-44, Barack Obama.
Pada 23 Januari 2017 pula, Netanyahu mendedahkan menerusi akaun Twitternya dengan memberitahu bahawa beliau telah berbual buat kali pertama dalam suasana mesra dengan Trump melalui telefon pada waktu malam.
Kelewatan perbualan telefon antara Biden dengan Netanyahu itu menjadi isu sehingga beberapa pemerhati melihatnya sebagai satu petunjuk bahawa AS tidak lagi memberikan kuasa penuh kepada sekutu utamanya itu.
Biden dan Netanyahu pernah berbual melalui telefon iaitu 10 hari selepas keputusan pilihan raya Presiden AS iaitu sebelum beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden AS pada 20 Januari lalu.
Ketika itu, Netanyahu mengucapkan tahniah kepada Biden dalam perbualan yang dilaporkan berlaku dalam suasana mesra.
Dalam satu ucapan tentang dasar luar AS baru-baru ini, Biden tidak pun menyentuh tentang isu Israel.
Bekas Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Danny Danon juga pada Rabu lalu mendedahkan nombor telefon pejabat Perdana Menteri Yahudi itu di laman Twitternya untuk perhatian Biden bagi membolehkan Netanyahu dihubungi.
Danon dilaporkan berkata, Netanyahu tidak berada dalam senarai pemimpin dunia yang telah dihubungi Presiden AS itu sejak beliau memegang jawatan itu pada 20 Januari lalu.
Menurut portal Middle East Eye, Pengarah Eksekutif Pusat Arab Washington D. C., Khalil Jahsan, kenyataan bekas Duta Israel itu menunjukkan suasana yang di luar kebiasaan tentang hubungan dua buah negara yang mana AS selama ini melayan negara Yahudi tersebut sebagai anak manja.
Biden yang merupakan penyokong kuat Israel sepanjang kerjaya politiknya didakwa telah berikrar tidak akan mengenakan apa-apa syarat berhubung bantuan tentera AS kepada negara Yahudi tersebut dan akan terus memastikan kedutaan AS terletak di Baitulmuqaddis dan bukannya di Tel Aviv sama seperti yang dilakukan oleh pentadbiran Trump.
Setiausaha Negara AS, Tony Blinken juga sebelum ini berkata, komitment Washington terhadap keselamatan Israel tidak boleh dipersoalkan manakala bakal Duta AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield telah berikrar akan melindungi negara Yahudi tersebut daripada kritikan komuniti antarabangsa.
Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS, Jake Sullivan juga pernah berkata, AS akan mengadakan perundingan dengan Israel berhubung masalah-masalah keselamatan di rantau Asia Barat.
Netanyahu mempunyai hubungan rapat dengan Trump ketika beliau menjadi Presiden AS dan mempunyai perhubungan yang pahit dengan Obama yang ketika itu Biden menjadi Naib Presiden negaranya.
Walaupun memberikan sokongan kepada Israel, Presiden AS itu menyatakan komitmen Washington terhadap penubuhan dua buah negara antara Israel dengan Palestin dan menyatakan hasrat untuk menyambung bantuan kepada Palestin.
Biden juga dilaporkan mahu memulihkan semula satu perjanjian nuklear dengan Iran yang mana Trump ketika memerintah bertindak menarik keluar AS daripada menjadi salah satu anggota Pelan Tindakan Komprehensif Bersama yang memantu program nuklear Teheran.
Netanyahu juga dilaporkan menafikan desas-desus tentang Biden lewat menghubunginya dan menyatakan Presiden AS itu sedang menghubungi para pemimpin dari Asia Barat dan hubungan antara Washington dengan Tel Aviv masih lagi kuat.
Menurut AFP, beberapa pemerhati Asia Barat dilaporkan menyatakan, Biden sedang mempertimbangkan bahawa kemungkinan beliau mempunyai sedikit insentif untuk menjalin perhubungan dengan Netanyahu sebelum Israel mengadakan pilihan raya umum pada 23 Mac depan.
Pilihan raya itu diadakan buat kali keempat dalam tempoh dua tahun yang mungkin menamatkan kerjaya Netanyahu yang turut menghadapi satu perbicaraan mengenai dakwaan rasuah dan membuat peraturan yang menguntungkan pihak media sebagai tukaran untuk mendapatkan liputan media yang lebih baik. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca