SHAH ALAM - Pakar virologi negara, Prof Dr Sazaly Abu Bakar mendedahkan tempoh kuarantin selama tiga hari sebenarnya sudah memadai, namun dengan syarat ia perlu disusuli dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.
Katanya, SOP yang ketat tersebut turut memerlukan tiga kali saringan bagi memastikan individu itu benar-benar bebas Covid-19.
"Seperti sebelum ini ramai yang tidak berpuas hati dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai kuarantin tiga hari ini yang dikatakan hanya dibuat untuk menteri dan rata-ratanya menyalahkan kerajaan yang dilihat tidak adil.
"Sebenarnya, kuarantin selama tiga hari ini boleh dilakukan pada semua, bukan sahaja menteri namun syarat-syaratnya perlulah ketat iaitu sebelum individu itu berangkat ke luar negara dia akan disaring.
"Kemudian selepas tiga hari dia akan disaring semula dan apabila dia berlepas pulang ke Malaysia iaitu pada hari keempat individu terbabit akan disaring sekali lagi dan jika keputusan negatif tiada masalah,” katanya.
Sazaly berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba baru-baru ini yang mengeluarkan perintah melonggarkan peraturan kuarantin kepada anggota Kabinet yang melakukan perjalanan rasmi ke luar negara.
Perintah tersebut pada dasarnya mengurangkan tempoh kuarantin menteri daripada 10 kepada hanya tiga hari.
Perintah itu dinamakan 'Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021' diterbitkan Warta Persekutuan yang ditandatangani Dr Adham berkuat kuasa pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: 3 hari tempoh kuarantin menteri balik lawatan rasmi luar negara
Beliau berkata, perkara itu perlu diterangkan dengan betul kepada rakyat supaya mereka tidak menyalahkan kerajaan yang dilihat tidak konsisten.
"Berhubung perintah kuarantin tiga hari ini, ia bukan keputusan kerajaan, namun atas nasihat daripada pakar dan menteri hanya menyampaikan maklumat kepada rakyat.
"Maka perkara ini dilakukan atas nasihat pihak yang mempunyai autoriti, jadi tidak ada sebab untuk kita menidakkannya namun ia perlulah mengikut SOP ketat yang ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, melalui kajian saintifik dan perubatan juga, ada beberapa negara di Eropah yang telah memendekkan tempoh kuarantin kepada 10 hari, malah ada juga kepada hanya tujuh hari.
Menurutnya, Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 yang berkuat kuasa pada 9 Februari 2021 hingga 1 Ogos 2021 telah diwartakan dan dibuat oleh Menteri Kesihatan.
Mengulas lanjut Khairil berkata, perintah itu mengecualikan jemaah menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara daripada pemakaian Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Oleh sebab itu, katanya, perintah pengecualian yang dibuat oleh menteri adalah sah dan tiada sebab untuk dipertikaikan di bawah undang-undang yang sedia ada.
Klik di sini untuk terus membaca