SELEPAS 62 hari dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-14, Datuk Saarani Mohamad telah mengambil langkah yang mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan peruntukan sama rata kepada semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan juga pembangkang.
Peruntukan sebanyak RM200,000 kepada setiap ADUN itu tidak pernah berlaku dalam sejarah politik di Perak.
"Rakyat dalam kawasan pembangkang juga perlukan pembangunan. Kalau saya tidak berikan wang itu kepada wakil rakyat pembangkang, macam mana dengan kebajikan bagi kawasan pembangkang? Jangan lupa dalam kawasan pembangkang, ada juga penyokong kerajaan," hujah Saarani.
Ikuti wawancara Sinar Ahad bersama Saarani yang dikendalikan oleh Penolong Pengarang Pengisian Berita, Junhairi Alyasa serta wartawan Mohammad Khairil Asyraf Mohd Khalid dan Raja Nur Faznie Aida.
SINAR AHAD: Selepas lebih 62 hari menjadi MB, bagaimana Datuk melihat pentadbiran kerajaan negeri Perak sebelum dan selepas Datuk mengambil alih pentadbiran negeri?
SAARANI: Alhamdulillah, saya angkat sumpah pada 10 Disember 2020. Maknanya, hari ini (Khamis) baru 62 hari.
Saya ada sedikit pengalaman setelah menjadi wakil rakyat di Perak selama lima penggal. Saya pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) biasa, kemudian Exco kerajaan negeri dan sekarang menjadi Menteri Besar.
Saya pernah berada di bawah pentadbiran tiga orang Menteri Besar, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali daripada tahun 1999 hingga tahun 2004 yang pada ketika itu saya menjadi ADUN biasa.
Saya dapat melihat dan berada bersama-sama dalam pentadbiran kerajaan. Umur saya 60 tahun sekarang dan mula menjadi wakil rakyat pada usia 38 tahun. Sebahagian besar kakitangan kerajaan yang ada sekarang berusia 60 tahun dan akan pencen tahun ini. Bermakna dia pernah bersama-sama saya selama 22 tahun. Disebabkan itu, saya dapat bersama-sama kakitangan Perak yang ada sekarang dan mengenali mereka serta mereka juga mengenali saya.
Sepintas lalu, saya rasa saya tidak ada masalah apa-apa. Saya mendapat sokongan yang kuat dan kerjasama yang baik daripada kakitangan kerajaan. Tetapi sudah tentu kita kena akui, terdapat perbezaan dari segi corak kepimpinan dan kaedah pentadbiran melibatkan Tan Sri Tajol Rosli Ghazali, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Orang kata ‘sekali air bah, sekali pantai berubah’. Perbezaannya ada, sudah pasti.
Bagaimanapun, saya gembira menyatakan bahawa kerajaan negeri Perak sentiasa berada di landasan yang betul dan mereka (kakitangan kerajaan negeri) ‘setia kepada kerajaan yang memerintah'.
Apakah cabaran paling besar buat Datuk sekarang?
Secara kebetulan, pada waktu saya menjadi Menteri Besar ini, kita berhadapan dengan masalah Covid-19. Oleh sebab cabaran ini besar, saya tahu saya tidak boleh memikulnya sendirian. Saya perlukan sokongan dan dokongan semua pihak.
Saya lihat kepada statistik, pungutan cukai hasil 2020 kita sangat jauh beza berbanding dengan pungutan hasil cukai pada 2019.
Kita kehilangan lebih kurang RM111.4 juta akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama bermula pada 18 Mac 2020 kerana punca pendapatan kerajaan negeri tersekat.
Apabila ‘lockdown’ bermakna industri pembalakan tidak boleh berfungsi. Tidak ada kayu balak yang ditebang, dieksport atau dihantar ke kilang papan. Kilang papan pun tutup. Tidak ada pekerjaan. Bila ‘lockdown’, kuari pun ditutup. Bila kuari ditutup, kita tidak dapat duit doket, tidak dapat premium, tidak dapat cukai.
Selepas itu, gerai makan dan restoran ditutup. Maka majlis daerah tidak dapat mengutip cukai. Pada 31 Disember 2020, kita mendapati akaun mengalami defisit RM77 juta. Maknanya, kita terhutang RM77 juta. Sedangkan 12 tahun berturut-turut sebelum itu, setiap hujung tahun kita lihat akaun kita surplus, ada lebihan.
Menyedari hakikat itu, maka dalam Executive Talk saya baru-baru ini, saya minta kita perlu menjadi kreatif dan inovatif dalam mencari jalan bagi kita menambah dana kerajaan.
Ada banyak benda kena buat. Di kampung-kampung sekarang, ada mak cik-mak cik pada waktu pagi menjual pisang goreng, nasi lemak dan roti canai menggunakan pemasaran digital, telefon pintar, WhatsApp dan Facebook. Itu adalah satu contoh kreativiti orang kampung. Maka, kerajaan negeri kena kreatif. Kita tidak boleh putus asa. Kalau kerajaan mengalah, rakyat pun akan mengalah.
Antara yang sering dibangkitkan ialah isu alam sekitar di Perak khususnya pembalakan dan aktiviti kuari. Apakah respons Datuk terhadap masalah yang diwarisi daripada kepimpinan terdahulu ini?
Saya adalah sebahagian daripada kerajaan terdahulu. Kalau saya menyalahkan kerajaan terdahulu, bermakna saya menyalahkan diri saya sendiri. Penyelesaian yang sebenar ialah hadapi dan ambil tanggungjawab isu alam sekitar seperti tanah runtuh dan pencemaran.
Sebab itu saya berjumpa dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat. Saya tidak melarikan diri daripada NGO. Hari Isnin lalu, saya menjemput tiga NGO alam sekitar untuk mengadakan perjumpaan bersemuka.
Mereka memberi pandangan atas keprihatinan terhadap kerosakan alam akibat penebangan hutan atau kuari.
Cuma, saya minta NGO ini hendaklah bertanggungjawab apabila mengkritik, pertama ikut saluran yang betul dan kedua, maklumat tersebut tepat.
Dalam perjumpaan itu saya jelaskan kepada NGO ini bahawa kuari dan pembalakan ini adalah sebahagian daripada sumber kerajaan negeri. Kalau saya hentikan pembalakan, kilang papan akan tutup, pekerja kilang papan akan hilang pekerjaan. Kalau saya tutup kuari, maka kontraktor kuari berhenti, pekerja juga berhenti.
Sekali lagi kita hilang pekerjaan dan kerajaan negeri hilang sumber pendapatan. Sebab daripada kuari dan pembalakan, kita dapat royalti yang kita gunakan untuk membayar gaji kakitangan kerajaan.
Di negara ini terdapat peraturan yang mensyaratkan semua kerajaan negeri kena ada sekurang-kurangnya 50 peratus hutan simpan. Di Perak, kita ada 52 peratus. Ada juga kawasan hutan yang dipanggil hutan pengeluaran yang kita boleh keluarkan kayu-kayan.
Namun, kalau kita dapati pembalakan di kawasan tadahan air mengakibatkan banjir, maka kita hentikan. Kita pindahkan konsesi balak itu ke kawasan lain. Kita juga berlaku adil termasuk kuari. Bila orang buat kuari, dia mesti mematuhi syarat berkaitan alam sekitar.
Kalau dia terus melanggar syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) pembalakan atau kuari, hingga menyebabkan berlakunya pencemaran alam, terjejasnya kesejahteraan dan kesihatan rakyat, yang itu kita kena hentikan.
Apakah perancangan Datuk untuk memulihkan syarikat GLC kerajaan negeri yang dilanda masalah seperti Perak Corporation dan Movie Animation Park Studios (MAPS) di Ipoh?
MAPS dan Perak Corporation ialah anak syarikat kerajaan negeri yang tersenarai di Bursa Malaysia. Ia ada pengerusi dan ahli lembaga pengarahnya sendiri manakala urus niaganya tertakluk kepada peraturan Bursa.
Tetapi harus diingat bahawa pemegang saham terbesar Perak Corporation ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang saya pengerusikan. Secara langsung atau tidak langsung, saya bertanggungjawab ke atas PKNP yang menjadi pemegang saham terbesar dalam Perak Corporation. Jadi saya tidak boleh lepas tangan.
Kerana itu, saya bersama Pengerusi dan Ketua Pengawai Eksekutif Perak Corporation mencari jalan bagaimana kita hendak menyelamatkan Perak Corporation ini daripada status PN-17 iaitu tindakan yang menyebabkannya terkeluar daripada Bursa.
Ada banyak perkara perlu dibuat. Saya telah menghadiri beberapa perjumpaan dan perundingan dengan pemiutang, bank-bank dan juga penyumbang pembiaya untuk berbincang dengan mereka supaya kami diberi sedikit tempoh bagi mencari jalan memulihkan semula Perak Corporation.
Kami akan berusaha keras untuk memastikan Perak Corporation ini dapat dipulihkan. Sebabnya ia ada harta yang boleh diselamatkan termasuk MAPS.
Datuk menerima sokongan yang kukuh sebagai MB termasuk DAP. Apakah erti sokongan itu kepada Datuk?
Pada saya, parti mana pun, asalkan ia parti politik, sudah tentu matlamatnya adalah untuk mendapatkan kuasa. Setelah mendapat kuasa, ia kena gunakan kuasa itu untuk menjaga kebajikan rakyat, tidak kira penyokong atau bukan penyokongnya semasa pilihan raya.
Jadi, mungkin satu kejutan kepada beberapa orang apabila membentangkan Bajet Negeri 2021, saya mengumumkan bahawa peruntukan untuk wakil rakyat negeri Perak, kita bagi sama rata. Wakil rakyat kerajaan dan wakil rakyat pembangkang sama-sama dapat RM200,000.
Berbanding dengan kerajaan Persekutuan, setiap ahli Parlimen kerajaan mendapat RM3.7 juta, melainkan lima orang iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Ahmad Jazlan Yaacob.
Mereka ini tidak dapat RM3.7 juta sebaliknya mendapat RM100,000 sahaja iaitu sama dengan peruntukan yang diberi kepada ahli Parlimen pembangkang daripada DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di peringkat Persekutuan.
Ada perbezaan yang ketara antara peruntukan ahli Parlimen kerajaan dengan ahli Parlimen pembangkang. Tetapi di Perak, ini kali pertama kita membuat perubahan iaitu kita bagi sama rata.
ADUN BN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan tiga orang ADUN Bebas kita beri RM200,000. Pada waktu sama, ada 24 ADUN pembangkang daripada DAP, Amanah dan PKR juga kita bagi.
Apa keistimewaan pembangkang dan kerajaan apabila bajetnya sama?
Rakyat dalam kawasan pembangkang juga perlukan pembangunan. Kalau saya tidak berikan wang itu kepada wakil rakyat pembangkang, macam mana dengan kebajikan bagi kawasan pembangkang? Jangan lupa dalam kawasan pembangkang, ada juga penyokong kerajaan.
Bila saya bagi, sekurang-kurangnya wakil rakyat pembangkang dapat berbelanja. Bila? Waktu Covid-19 rakyat di kawasan itu tidak boleh keluar rumah, tidak ada makanan. Siapa nak bantu? Wakil rakyat boleh keluarkan duit itu untuk membeli barang makanan dan dihantar ke rumah-rumah.
Sesiapa yang menjadi kerajaan, kita kena berkhidmat untuk seluruh rakyat. Jadi, kita bagi sama rata. Bukan itu sahaja. Ada perubahan lain kita buat iaitu dahulunya semasa BN menjadi kerajaan, Mesyuarat Jawatankuasa Daerah ini hanya dihadiri oleh wakil rakyat kerajaan. Akibatnya, dalam DUN, wakil rakyat pembangkang akan bantai benda yang patutnya boleh selesai di peringkat daerah.
Kita buat keputusan mengapa tidak memberi peluang kepada wakil rakyat pembangkang ini bercakap dalam peringkat daerah.
Selesai di situ sahaja. Dia nak longkang, jalan raya, pagar, boleh diselesaikan di peringkat daerah.
Perubahan yang ketiga dipanggil Mesyuarat Jawatankuasa Fokus Group Daerah. Ini mesyuarat jawatankuasa menjaga pembasmian kemiskinan. Selama ini, pembangkang tidak diberi peluang untuk duduk di dalam itu. Jadi, dia tidak boleh bercakap.
Bila tengok kawasan dia mundur, kita tidak boleh kata dia tidak bertugas sebab dia tidak diberi peluang memberikan pendapat dan pandangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fokus Group itu.
Kita berilah pada dia. Bukan kena bayar duit. Dia sekurang-kurangnya memberikan pandangannya. Soal bersetuju atau tidak bersetuju tajuk lain. Soalnya dia diberi peluang.
Yang keempat, selama ini wakil rakyat pembangkang tidak diberi peluang untuk menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Daerah.
Bila berlaku banjir atau ribut, wakil rakyat pembangkang duduk di rumah 'rileks' sahaja dia tidak peduli. Sebabnya dia tidak dilibatkan dalam jawatankuasa itu. Sekarang kita libatkan dia. Berlaku banjir atau ribut dia kena turun padang.
Sebab dia berada dalam jawatankuasa itu, dia pun tidak boleh menyalahkan pegawai daerah sebab dia sebahagian daripada jawatankuasa itu. Selama ini, dia balun pegawai daerah dan kerajaan disebabkan dia bukan sebahagian daripada jawatankuasa. Sekarang kita beri peluang.
Ada yang mengatakan pemberian peruntukan sama rata ini disebabkan Datuk ada buat perjanjian untuk menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada kerusi MB?
Tidak ada, tidak ada kena-mengena dengan itu. Apa yang nak dijanjikan pula? Peristiwa bertukarnya Menteri Besar ini tidak ada apa-apa janji. Saya tengok di luar sana pemikiran orang ramai telah berubah termasuklah generasi muda yang nampaknya lebih global.
Mereka nak tengok kerajaan yang telus, adil, memberi kebajikan kepada seluruh rakyat. Saya disebut mendapat sokongan pembangkang sebab saya meminimumkan jurang. Jadi dengan sendirinya saya mendapat sokongan bila diminta untuk undi bajet. Pada waktu itu ada usul percaya kepada Menteri Besar dan saya mendapat sokongan 100 peratus daripada semua ADUN yang hadir.
Tidak pernah ada perjanjian apa-apa tetapi mungkin orang rasa terkejut sedikit sebab saya buat perubahan. Tapi saya mengaku, saya berbincang dahulu dengan ADUN-ADUN BN jika saya mendapat penentangan daripada mereka tetapi semuanya bersetuju. Sebab itu pembaharuan boleh dibuat.
Adakah formula ini juga akan digunakan untuk menjamin kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang?
Seharusnya begitu. Saya percaya sebahagian daripada punca kekalahan BN kerana orang ingat BN setelah 60 tahun memerintah seolah-olah kita menekan pihak pembangkang, menganaktirikan penyokong pembangkang dan disebabkan itu mereka bangkit menentang kita.
Sekarang saya harap orang muda khususnya melihat perubahan ini. Ini saya panggil tawaran baru kerajaan BN kepada rakyat Perak dan rakyat Malaysia amnya.
ANEKDOT.
Perasaan umur 60 tahun baru nak masuk pejabat MB
Pertama, saya bersyukur kepada Allah SWT tetapi pada waktu yang sama saya sedar pelantikan sebagai Menteri Besar bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana di hadapan kita ada cabaran, tanggungjawab dan amanah yang sangat besar. Saya pernah menjadi ADUN biasa dan Exco kerajaan negeri. Menjadi wakil rakyat, saya bertanggungjawab ke atas kawasan yang saya wakili. Menjadi Exco kerajaan negeri saya bertanggungjawab untuk satu negeri tetapi portfolio saya sahaja.
Tetapi menjadi Menteri Besar, saya kena jaga satu negeri dengan semua portfolio. Ada 10 orang Exco yang akan merujuk kepada saya. Itulah besarnya tanggungjawab itu. Pada usia 60 waktu orang mula nak pencen, saya baru masuk pejabat MB. Kerana itu, saya bersedia untuk menerima pandangan, teguran, cadangan malahan kritikan daripada sesiapa sahaja supaya saya berada di landasan yang betul.
'Saya ikut skrip Tuhan sepenuhnya'
Dalam hidup saya, ada benda yang saya rancang kadangkala menjadi, ada juga benda yang tidak dirancang juga menjadi. Malah, ada benda yang saya rancang tetapi tidak menjadi.
Jadi, kita kena akur dengan perancangan ALLAH SWT. Jangan pula tidak merancang kerana ALLAH SWT menyeru kita supaya berikhtiar.
Bahkan jangan lupa sekiranya kita gagal mendapat apa yang dihajati, jangan sesekali kecewa dan sedih kerana ALLAH SWT adalah sebaik-baik perancang. Kita dapat lihat sewaktu berlakunya peralihan kerajaan pada bulan Mac lalu.
Ketika itu kita nak membentuk kerajaan baharu yang mana melibatkan UMNO, Pas dan Bersatu. Ramai yang menjangkakan bahawa UMNO yang sepatutnya memerintah kerajaan negeri.
Secara kebetulan pada ketika itu saya mewakili badan Pengerusi Perhubungan UMNO. Ada juga yang mengatakan bahawa saya yang layak menjadi Menteri Besar pada ketika itu.
Bagaimanapun, saya selalu ingatkan kepada diri saya itu hanyalah perancangan manusia. Pada 13 Mac 2020, Sultan Perak melantik semula Ahmad Faizal menjadi Menteri Besar. Ramai yang memberi nasihat kepada saya supaya jangan kecewa dan sedih.
Justeru, saya tulis dengan jelas kepada ahli-ahli saya bahawa saya terima ketentuan ALLAH SWT.
Kemudian, pada 10 Disember lalu, saya pula yang menjadi Menteri Besar. Sebab itu dari awal saya nak menjadi calon, saya sama sekali tidak melutut dengan mana-mana pihak kerana saya yakin dengan ketentuan ALLAH SWT. Dalam erti kata lain, saya ikut skrip Tuhan sepenuhnya.
PROFIL
Datuk Saarani Mohamad
Jawatan sekarang: Menteri Besar Perak (9 Disember 2020-sekarang)
Umur: 60 tahun (1961)
Asal: Kampung Raban, Lenggong, Perak
Pendidikan: Diploma Sains serta Pendidikan (Fizik dan Matematik) UiTM (1982); Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia, Open University Malaysia (2008)
Kerjaya:
-Guru (1982-1990)
-ADUN Lenggong (1995-1999) dan Kota Tampan (2004-sekarang)
-Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak (2018-sekarang)
Isteri: Datin Aezer Zubin
Klik di sini untuk terus membaca