TANGGAL 12 Januari 2021, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa darurat akan dilaksanakan sehingga Ogos depan berikutan angka kes jangkitan Covid-19 kian meruncing.
Susulan pengumuman itu, bertalu-talu persoalan timbul di media sosial mengenai situasi dan kesan proklamasi darurat yang mencetuskan panik dalam kalangan rakyat.
Bagaimanapun, penjelasan demi penjelasan oleh Muhyiddin bahawa ‘darurat’ yang dilaksanakan itu sebenarnya tidaklah seteruk perintah berkurung atau berbentuk rampasan kuasa tentera seperti dilaksanakan di negara luar sana.
Menurut Muhyiddin, proklamasi darurat kita hanya untuk meningkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam bagi mengurangkan jangkitan pandemik Covid-19 termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jadi, penulis rasa tidak perlulah untuk kita panik semacam. Darurat pun, kita masih boleh buat pesanan KFC ataupun nasi lemak Mak Cik Kiah menerusi telefon bimbit. Internet tidak disekat, masih boleh pergi ke pasar untuk membeli barangan, cumanya operasi kedai dan perniagaan wajib ditutup pada jam 10 malam.
Itu untuk kita sebagai rakyat Malaysia tetapi situasi dihadapi oleh masyarakat di Myanmar, sungguh menekan jiwa apabila pemerintahan angkatan tentera Myanmar (Tatmadaw) mengambil alih negara dan mengisytiharkan darurat selama setahun.
Pengumuman tersebut dibuat selepas Tatmadaw yang dikepalai Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Ming Min Aung Hlaing menahan Penasihat Negara, Aung San Suu Kyi; Presiden Myanmar, U Win Myin dan beberapa pegawai kanan lain atas alasan untuk menjaga kestabilan negara termasuk kegagalan menangani penyelewengan ketika pilihan raya pada November 2020.
Sekali lagi, Tatmadaw berjaya jadikan Suu Kyi sebagai ‘tawanan’.
Lebih memeritkan kepada rakyat marhaen di Myanmar apabila Tatmadaw menyekat kemudahan hakiki termasuk internet.
Jadi, komunikasi seperti WhatsApp, Facebook, Twitter dan Instagram sudah tidak berfungsi. Tiada lagi kerja dari rumah, pesanan makanan secara online ataupun bersekolah di rumah. Cuba bayangkan seandainya situasi itu berlaku di Malaysia, jangankan kata hendak pesan KFC, nasi lemak Mak Cik Kiah pun kita tidak boleh merasa.
Pada Jumaat lalu, Tatmadaw telah memerintahkan pembebasan lebih 23,000 tahanan dengan alasan untuk mengosongkan penjara yang sesak.
Menurut laporan akhbar kerajaan, Global New Light, Aung Hlaing turut menandatangani notis pembebasan 55 tahanan asing yang dipercayai dipenjarakan sewaktu zaman pemerintahan Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD).
Bagaimanapun, sehari sebelum kaum Tionghoa meraikan Tahun Baharu Cina, puluhan ribu rakyat Myanmar berhimpun di bandar dan kubu kuat tentera bagi melancarkan tunjuk perasaan.
Mereka menuntut pembebasan Suu Kyi dan melaungkan penolakan terhadap pemerintahan diktator Tatmadaw, selain protes tersebut adalah yang terbesar selepas tercetusnya Revolusi Saffron pada tahun 2007.
Lapor agensi berita antarabangsa BBC, situasi di beberapa lokasi termasuk Yangon sejak lebih lima hari lalu agak kecoh apabila pasukan keselamatan menggunakan tembakan peluru hidup, gas pemedih mata, meriam air dan peluru getah bagi menyekat kemaraan penunjuk perasaan.
Susulan tindakan tegas pihak berkuasa itu, kumpulan penunjuk perasaan di seluruh Myanmar bertindak protes secara aman dan ada yang mengenakan kostum adiwira serta melakukan aksi ala filem Hunger Games. Itu adalah demi menuntut kebebasan dan demokrasi yang sedang dikuburkan tentera junta.Kembali kepada situasi rakyat Malaysia, berapa sukarkah untuk kita hidup di tanah tumpah darah ini? Masihkah kita mahu memberontak seperti para marhaen di Myanmar itu?
Saban hari rakyat didedahkan dengan angka-angka positif Covid-19 yang berjangkit akibat kelalaian kita sendiri. Segala peraturan dan tindakan oleh kerajaan kita ada sebab dan musababnya. Mereka hanya menuntut kita bersabar dan patuhi prosedur operasi standard.
*Nurbaya Abdul Rezak ialah Penyunting Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca